Isu murtad, BNlah yang perlu jelaskan!

Kecaman yang begitu hebat sekali terhadap ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah anwar baru-baru ini berikutan kenyataannya mengenai kebebasan beragama telah menimbul pelbagai tanda tanya mengenai keikhlasan sebenarnya mereka-mereka yang hebat melemparkan kecaman tersebut.

Menurut kebanyakan saluran media massa utama yang dimiliki oleh Umno dan kerajaan pusat, ahli parlimen dari PKR itu telah "melanggar" akidah Islam dengan menyeru agar kebebasan beragama perlu diberikan kepada orang-orang Melayu yang ingin meninggalkan Islam dan Nurul Izzah perlu dikenakan dengan hukuman yang setimpal dengan kenyataan beliau itu.

Daripada kita asyik menumpukan perhatian terhadap segala-gala kecaman yang tidak berfaedah itu, marilah kita lihat dengan lebih jelas dan dengan secara realiti mengapa perlakuan murtad itu telah menjadi semakin berleluasa. Adakah ianya diakibatkan oleh perbuatan parti-parti pembangkang pada keseluruhannya?

Siapakah yang sedang memerintah negara ini sekarang? Semua orang ada jawapannya. Ya, BNlah yang sedang memerintah negara ini sejak daripada tahun 1957 lagi. Di dalam BN, Umnolah yang paling berkuasa dan ketuanannya di dalam BN sememangnya tidak boleh dicabar oleh mana-mana parti komponen di dalam gabungan tersebut.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah pihak berkuasa agama kerajaan pusat. Seorang menteri daripada Umno bertanggungjawab memastikan Jakim menuruti segala-gala dasar yang telah ditetapkan oleh parti tersebut.

Tiba-tiba pula kes murtad di kalangan umat Islam telah menjadi semakin berleluasa, malah ada seorang ahli parlimen pro-BN yang telah memberanikan diri mendakwa bahawa terdapat lebih daripada 100,000 umat Islam di negara ini yang telah murtad, sambil melemparkan sebab-sebab tersebut terhadap Pakatan Rakyat seolah-olah gabungan pembangkang tersebutlah yang menjadi penyebab utama umat-umat Islam murtad dan meninggalkan agama.

Seorang lagi ahli parlimen yang dahulunya daripada PKR tetapi kini telah melompat ke pihak Umno juga telah mendakwa sekurang-kurangnya 5,000 orang Melayu telah keluar meninggalkan agama Islam dengan menyalahkan PKR dan DAP sebagai penyebab utama kejadian murtad tersebut.

BN dan Umno telah menggunakan jalan yang mudah dengan menyalahkan segala-galanya mengenai murtad terhadap parti-parti pembangkang.

Salah pembangkang?

Betulkah, parti-parti pembangkang begitu berkuasa dan berpengaruh di dalam menyebabkan ramai orang-orang Melayu keluar daripada Islam? Siapakah sebenarnya yang sedang mengurus dan mentadbir negara ini? Adakah PKR atau DAP sedang menerajui kerajaan pusat dan menguasai Jakim? Tak masuk akal langsung.

BN dan Umno yang telah mengurus tadbir negara ini berdekad-dekad lamanya. Bidang kehakiman Syariah pun di bawah kekuasaannya, Jakim pun diuruskan oleh Umno (di bawah jabatan perdana menteri dan menteri). Pendek kata, kalau isu dan kejadian murtad itu telah menjadi semakin serius, carilah Umno dan BN, kerana merekalah yang sedang mentadbir negara ini.

Kenapa, sepanjang pemerintahan Umno di negara ini, kejadian murtad itu dibiarkan berkembang dengan subur? Umno seolah-olah sedang membiarkan kejadian tersebut meningkat agar ia dapat dijadikan satu modal dan senjata untuk menyerang parti-parti pembangkang sambil melabelkan mereka ini sebagai penyebab utama kejadian murtad.

Ini jelas, fokus dan serangan Umno yang bertubi-tubi terhadap Nurul Izzah dan Pakatan Rakyat hanya gimik semata-mata bagi tujuan mengalihkan  perhatian rakyat jelata terhadap kelemahan Umno di dalam menguruskan hal-ehwal keagamaan tersebut.

Ianya merupakan satu kegagalan Umno dan BN sebagai pemerintah di dalam mempertahankan Islam selaku agama rasmi negara ini daripada ancaman-ancaman luar. Apa yang didakwa Umno berjaya mempertahankan  maruah orang-orang Melayu dan Islam selama ini adalah semuanya karut  belaka.

Apa yang Umno sedang buat sekarang? Adakah Umno itu betul-betul Islam? Adakah Umno itu betul-betul Melayu tulen? Di kalangan mereka sendiri, terdapat ramai yang berselindung di sebalik agama dan bangsa semata-mata untuk membolot dan menikmati segala faedah yang sepatutnya hanya diperuntukan kepada orang-orang Melayu-Islam sahaja. Di kalangan mereka, terdapat juga ramai yang berselindung di sebalik kedudukan Bumiputra semata-mata untuk membolot dan menikmati segala-gala faedah dan kekayaan hasil yang sepatutnya diperuntukan kepada orang-orang Bumiputra sahaja.

Golongan inilah yang sebenarnya murtad kerana telah mengkhianati bangsa dan agama selama ini dengan merampas kesemua bentuk keistimewaan, kekayaan dan sumber-sumber yang ada di negara ini dan sepatutnya diperuntukan kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukannya.

Malah, ramai di kalangan orang-orang Melayu mula tertanya-tanya sama ada perlunya satu perbezaan yang lebih jelas di antara mereka yang "tulen" dan yang sebaliknya, berselindung di sebalik sebagai seorang Melayu, Islam dan Bumiputra.

Kelemahan BN terbongkar

Kegagalan BN, khususnya Umno sememangnya telah jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Umno, melalui BN telah memerintah negara ini sejak sekian lamanya dan segala bentuk selok-belok petadbiran dalam negara ini  adalah di bawah pengaruh Umno selama ini.

Jadi, jika terdapat kejadian murtad di kalangan umat Islam yang semakin berleluasa, itulah kelemahan pemerintahan Umno yang sebenarnya. Kelemahan dan kegagalan Umno jelas terbongkar dengan ketidakyakinan mereka yang berterusan terhadapp keimanan umat-umat Islam dalam negara ini apabila terdapat sahaja perdebatan mengenai Islam dilakukan secara terbuka.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork