Pertelagahan Dalam Parti-Parti Politik

Dalam musim pilihanraya yang kini sedang berjalan, gabungan parti memerintah, Barisan Nasional (BN) dan para pemimpinnya asyik memberitahu rakyat jelata bahawa terdapat banyak pertelagahan di dalam parti-parti pembangkang utama di dalam gabungan mereka, Pakatan Rakyat (PR). Kata mereka, pertelagahan di dalam PR itu sememangnya menunjukkan bahawa mereka "sukar dan tidak layak untuk mentadbir" sesebuah negara.

Hanya PR ataupun parti-parti pembangkang yang lain sahaja yang bertelagah? BN tak bertelagahkah? Para pemimpin BN yang berkata demikian seolah-olah gagal melihat kepada apa yang telah dan sedang berlaku di dalam parti-parti komponen BN mereka sendiri.

Hakikatnya adalah, di dalam mana-mana parti politik, BN ataupun PR, ataupun mana-mana parti-parti pembangkang di dalam negara ini, sememangnya ada pertelagahan di antara mereka. Ini adalah budaya politik. Biar parti-parti politik yang besar, mahupun parti-parti politik yang sederhana atau kecil, kesemuanya ada pertelagahan di antara satu sama lain.

Pertelagahan di dalam parti-parti politik ini berlaku adalah kerana banyak sebab politik. Antaranya adalah, budaya berpuak-puak di dalam parti, para pemimpin sesebuah parti yang mempunyai jumlah pengikutnya yang tersendiri akan senantiasa mengambil kesempatan ke atas lawannya. Persaingan di antara puak di dalam sesebuah parti memang selalunya berlaku. Kadangkala, pertelagahan di antara puak di dalam parti-parti boleh membawa kepada terbubarnya parti-parti tersebut.

Contoh yang paling ketara adalah Umno, yang diharamkan oleh mahkamah sebelum ini, kerana terdapat banyak cawangan-cawangan parti itu yang tidak berdaftar dan menghantar perwakilan yang tidak sah ke perhimpunan agung tahunannya. Setelah Umno dipulihkan, pertelagahan di antara "warlord" di dalam parti tersebut masih berterusan. MCA juga tidak terlepas, perbalahan dan pertelagahan di antara puak itu berlanjutan sehinggalah ke generasi-generasi pemimpin yang seterusnya sehinngalah sekarang. Malah di dalam Gerakan pula, ianya juga pernah bertelagah sehinggakan keadaan getir yang memecahbelahkan parti tersebut. Begitu juga dengan PPP, setelah pemergian dua orang tokoh parti tersebut, para pemimpin berbalah di antara satu sama lain kerana masing-masing mendakwa diri mereka presiden parti yang sah.

Pertelagahan di antara puak di dalam parti juga boleh mengakibatkan terbubarnya sesebuah parti apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mendapat kepastian yang menyeluruh mengenai siapakah yang sebenarnya memimpin parti-parti yang bertelagah itu. Contoh yang paling ketara pernah berlaku adalah PBDS dan SNAP. Pihak ROS terpaksa menggunakan kuasanya untuk membubarkan kedua-dua parti tersebut setelah puak-puak di dalam kedua-dua parti tersebut gagal mencapai kata sepakat mengenai siapakah pemimpin sebenarnya parti-parti berkenaan.

Parti-parti utama di dalam PR juga tidak terkecuali daripada pertelagahan dalaman. Contoh yang dapat kita lihat dengan jelas adalah PKR, di mana saingan di antara pemimpin tertingginya yang menjadi semakin ketara apabila populariti parti itu di kalangan rakyat telah sampai ke kemuncak selepas pilihanraya umum tahun 2008. Begitu juga dengan DAP, sebelum 2008, DAP sememangnya mempunyai jumlah keahlian yang paling kecil di kalangan parti-parti komponen PR. Akan tetapi, selepas tahun 2008, keahlian di dalam DAP mula meningkat dengan mendadak sehinggakan puak-puak di dalam parti tersebut turut bertambah.

Kedua, pertelagahan juga boleh berlaku di waktu musim pilihanraya seperti yang sedang berlaku sekarang. Sewaktu calon-calon pilihanraya belum diumumkan, semua pemimpin-pemimpin parti didapati bersatu hati dan berjuang untuk parti masing-masing.

Akan tetapi, sebaik sahaja pengumuman calon-calon pilihanraya dibuat, maka para pemimpin parti-parti ini akan bertelagah, bertelagah kerana tidak dapat menjadi calon, bertelagah kerana pencalonan bertindih dengan parti seteru, bertelagah kerana tidak dapat menentukan calon-calon yang sesuai, bertelagah kerana terlalu banyak pemimpin yang melobi untuk menjadi calon dan sebagainya.

Pada mulanya kita dapat melihat dengan jelas pertelagahan di antara pemimpin dari PR, malah di dalam parti-parti komponen PR itu sendiri, PKR, DAP dan PAS turut bertelagah. Ada juga pertelagahan di antara parti-parti komponen PR kerana pertindihan kerusi. Di dalam keadaan tersebut, PSM yang turut ingin bertanding bersama pihak PR untuk melawan BN juga bertelagah dengan PKR dan DAP mengenai kerusi-kerusi yang sedang disandangnya.

Sebaik sahaja BN mengumumkan calon-calon pilihanrayanya, parti memerintah itu mula menampakkan pertelagahan secara terang, di mana mereka-mereka yang tidak dapat menjadi calon meletak jawatan dan keluar parti. Ianya berlaku di dalam Umno, MCA, MIC dan Gerakan, di mana ramai pemimpin-pemimpin tempatan yang mendapati diri mereka tidak tersenarai di dalam senarai calon-calon yang akan bertanding mula memberontak dengan bertindak menutup sekaligus pusat-pusat operasi pilihanraya mereka.

Hakikatnya adalah, pertelagahan dalam parti-parti politik berlaku di mana-mana sahaja. Bukan sahaja di dalam negara kita, malah di negara-negara maju seperti Jepun, Australia, Korea, Taiwan dan China turut menyaksikan pertelagahan di dalam parti-parti utama, baik di pihak pemerintah, mahupun di pihak pembangkang.

Sebab utamanya adalah, masing-masing mempunyai citarasa politik yang berlainan, justeru daripada itu, perbezaan pendapat akan wujud. Yang keduanya adalah apabila parti politik itu mempunyai jumlah keahlian yang begitu besar, bilangan cawangan-cawangan yang banyak, hasil daripada itu, timbul budaya berpuak-puak di kalangan pemimpin yang masing-masing ingin mengejar kedudukan. Anehnya, ada parti-parti yang kecil turut bertelagah di antara satu sama lain.

Pertelagahan berlaku kerana politik. Di dalam politik, sememangnya persaingan tidak dapat dielakkan. Yang tidak bersaing dan bertelagah itu bukannya disebut politik.

Dan jika sekiranya ada mana-mana pemimpin parti politik yang mendakwa bahawa parti mereka langsung tidak ada pertelagahan dan senantiasa bersatu hati, itu adalah merupakan satu pembohongan yang hanya sekadar membenamkan kepalanya dengan pasir.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork