Pemusnahan Rekod dan Dokumen Kerajaan

Tarikh pilihanraya umum ke-13 (PRU13) sedang menjelang dan semakin dekat. Akibat daripada itu, ramai di antara kita pun semakin tidak sabar lagi untuk keluar mengundi dan menunggu keputusan PRU13 yang dijangka akan diumumkan secara berperingkat-peringkat bermula daripada malam 5hb Mei 2013, iaitu selepas proses pengundian dijalankan pada siang hari Ahad tersebut.

Dan sewaktu kita dengan tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu tarikh PRU13 dan peluang kita untuk mengundi pada hari itu, kita telahpun mendengar dan mendapat makluman secara tidak rasmi daripada kalangan orang ramai dan para pemimpin politik yang tertentu yang mengatakan bahawa proses pemusnahan rekod dan dokumen kerajaan sedang dijalankan di pusat pentadbiran kerajaan pusat di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Mengenai kebenaran ataupun kesahihan makluman tersebut, kita sememangnya kurang pasti daripada manakah sumber tersebut berasal, tetapi kejadian pemusnahan rekod dan dokumen kerajaan ini bukannya perkara baru pada hari ini, kerana ianya pernah dan telahpun berlaku sewaktu selepas pilihanraya umum yang lalu (PRU12) pada 8hb Mac 2008 di mana bekas ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor pada waktu itu didapati telah bergegas ke pejabat masing-masing dengan kumpulan kakitangan mereka untuk mengambil dan mengeluarkan banyak rekod dan dokumen kerajaan-kerajaan negeri untuk dimusnahkan, dibakar ataupun disimpan untuk kegunaan peribadi mereka.

Persoalan di sini, bukannya berpandukan kepada makluman yang disebarkan baru-baru ini, tetapi lebih berpandukan kepada pengalaman pahit yang lalu, adalah, adakah perkara atau kejadian sedemikian keji akan berulang selepas PRU13 nanti? Adakah menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri serta perdana menteri dapat memberikan jaminan mereka yang perbuatan yang keji ini tidak akan berulang? Sudah semestinya mereka ini tidak akan berbuat demikian.

Sebalikya, tanggungjawab tersebut adalah terletak penuh di atas bahu Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Adalah merupakan tugas dan tanggungjawab ynag suci bagi para penjawat awam ini di dalam memastikan bahawa kesemua rekod-rekod dan dokumen-dokumen rasmi kerajaan adalah selamat di bawah jagaan mereka ataupun para pegawai tugasan mereka masing-masing dan pada masa yang sama memindahmilik kesemua rekod dan dokumen kerajaan tersebut kepada para peneraju baru kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri serta menteri-menteri kabinet yang baru dilantik.

KSN dan para SUK hendaklah mengingati dengan jelas bahawa sewaktu mereka menerima lantikan sebagai penjawat awam, mereka telahpun melafazkan sumpah taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Dipertuan Agong, Ke Bawah Duli Sultan-sultan yang memerintah negeri-negeri dan Yang Dipertua Negeri-negeri bahawa mereka akan menlaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi, amanah dan berintegriti demi menjaga dan memastikan jentera pentadbiran kerajaan-kerajaan pusat dan negeri-negeri akan senantiasa berkecuali dari semua aspek fahaman poltik ataupun mana parti-parti politik yang tertentu.

Sudah lupakah Tan Sri KSN  dan para Datuk-datuk Seri SUK mengenai sumpah taat setia yang pernah tuan-tuan lafazkan sebelum ini? Persoalannya di sini adalah dapatkah KSN dan para SUK mengingati apakah tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya apabila berhadapan dengan keadaan yang sebegini rupa? Kejadian selepas PRU12 pada 2008 yang lalu masih jelas dalam ingatan kami semua, di mana para SUK yang lalu di negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor telah gagal menghalang pemusnahan rekod-rekod dan dokumen-dokumen kerajaan-kerajaan negeri daripada dilakukan oleh para pemimpin bekas parti yang memerintah bagi menghapuskan segala bukti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan yang lalu.

Gejala dan perbuatan yang keji itu (pemusnahan rekod dan dokumen kerajaan) sememangnya tidak boleh diulangi dengan sewenang-wenangnya dan KSN serta para SUK adalah bertanggungjawab penuh di dalam memastikan kejadian sedemikian keji rupanya tidak akan berulang selepas PRU13 pada Ahad ini. Perlulah diingatkan sekali lagi bahawa perbuatan melesapkan atau memusnahkan rekod-rekod dan dokumen-dokumen rasmi kerajaan adalah sama seperti suatu perbuatan khianat yang bertujuan untuk menderhakai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Kedaulatan Negara.

Memandangkan makluman mengenai kejadian tersebut dijangka berulang, dapatkah KSN dan para SUK tampil ke hadapan untuk memberikan kepastian penuh mereka kepada rakyat jelata bahawa kejadian tersebut tidak akan berlaku dan mereka akan memastikan kawalan keselamatan di semua pejabat-pejabat dan bangunan kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan akan dipertingkatkan?

Cabaran tersebut kami tujukan kepada KSN dan para SUK sekarang, bagi memastikan sama ada para pegawai-pegawai kanan kerajaan ini berani tampil ke hadapan untuk memberika jaminan mereka bagi menegakkan keadilan dan bersumpah di bawah nama Yang Dipertuan Agong bahawa kejadian tersebut sememangnya tidak akan berlaku.

Buktikanlah Integriti tuan-tuan sekalian!

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork