Halang pilihanraya bersih bagaikan demokrasi dinafikan
(Rencana ini telah
disiarkan dalam portal berita Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Wan Ahmad mempersoalkan
kita semua, “apa lagi yang kamu nak?” Senang aje, berambuslah dari bumi ini
dengan segera!
Adakah
pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi ini akan merupakan proses
pemilihan yang adil dan saksama?
Ini adalah
persoalan yang asyik diketengahkan oleh ramai pihak yang sememangnya telah
mengetahui dan bimbang dengan gejala di mana pendatang asing akan diberikan
kerakyatan bagi membolehkan mereka mengundi. Kita telahpun mendengar dan
menyaksikan beberapa siri bukti menggerikan yang menunjukkan adanya ribuan
pengundi klon iaitu pengundi yang mempunyai lebih daripada dua tempat mengundi
di dalam senarai daftar pemilih, para penduduk tetap (permanent residents – PR)
yang dinaiktaraf dalam masa yang singkat dan diberikan hak mengundi, pengundi-pengundi
hantu seperti mereka yang telah meninggal dunia dan yang tidak wujud sama
sekali, tetapi nama-nama ini tetap wujud di dalam senarai daftar pemilih.
Disebabkan
oleh kesemua bentuk permasalahan yang serius ini yang gagal ditangani oleh
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga pada hari ini, Gabungan Pilihanraya
Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011
yang lalu walaupun kerajaan BN dan pasukan keselamatannya berusaha untuk
menyekat pergerakan mereka.
Perhimpunan
Bersih 2.0 ini terpaksa dianjurkan akibat daripada kedegilan SPR yang enggan
menerima dan duduk semeja dengan pihak Bersih bagi membincangkan masalah
tersebut yang disifatkan telah menjadi semakin berleluasa. Justeru daripada
itu, Bersih terpaksa berpaling ke perhimpunan di jalanan bagi menyatakan
pendirian teguh mereka untuk memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil.
Antara lapan
tuntutan utama Bersh 2.0 pada masa itu adalah membersihkan senarai daftar
pemilih, merombak semula undi pos, penggunaan dakwat kekal di dalam semua
pilihanraya, membenarkan hari berkempen selama 21 hari, memastikan semua parti
politik boleh menyalurkan maklumat kempen mereka secara bebas melalui media,
memperkukuhkan institusi-institusi awam, menghentikan rasuah dan politik wang
serta menghapuskan amalan politik yang jijik dan kotor.
Sejauh mana tuntutan pembaharuan ini akan diterima?
Ya, Bersih
2.0 telahpun mengemukakan lapan tuntutan mereka kepada kerajaan BN. Sejauh
manakah tuntutan-tuntutan tersebut akan dipenuhi oleh kerajaan BN dan persoalan
ini masih belum dijawab sehingga ke hari ini.
Sebagai
makluman, beberapa tuntutan yang disenaraikan itu boleh dikatakan patut
diterima dan dilaksanakan pada umumnya, sementara empat lagi tuntutan yang
disasarkan terus pada SPR itu adalah di dalam bidang kuasanya dan boleh
dilaksanakan dan tuntutan yang lain pula meliputi sektor-sektor yang lain
seperti kerajaan, parti-parti politik dan pihak awam di mana proses ini
sememangnya memerlukan lebih masa untuk dilaksanakan.
Selain itu,
kita memerlukan sebuah kerajaan yang sensitif terhadap keperluan rakyat
Malaysia bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap beberapa
institusi-institusi seperti polis, pejabat peguam negara, jabatan kehakiman,
perkhidmatan awam, media massa dan usaha membenteras rasuah. Parti memerintah
iaitu BN perlu peka dengan kesemua isu-isu tersebut dan jika sekiranya
pilihanraya umum diadakan, maka kerajaan yang ada (BN) akan hanya berperanan
sebagai sebuah kerajaan mengurus (caretaker government) dan oleh itu, perlu
membuka saluran-saluran medianya kepada semua parti-parti politik, termasuk
pembangkang bagi digunakan untuk berkempen.
Dalam soal
memperkukuhkan institusi awam, SPR sendiri perlu menyedari bahawa merekalah
yang perlu bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan
pengelola pilihanraya itu. Bersih 2.0 telahpun berkali-kali menyuarakan gesaan
mereka agar SPR menjalankan tanggungjawabnya dengan adil, saksama serta bebas
daripada pengaruh atau kongkongan sesetengah pihak seperti yang termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang mendukacitakan adalah sehingga pada hari
ini, SPR masih menunjukkan sifat-sifatnya yang hanya tunduk kepada kehendak
parti memerintah iaitu BN dan Umno.
SPR mendakwa
bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap mana-mana pihak,
di mana tatacaranya adalah berpandukan kepada makluman daripada pejabat peguam
negara, SPR bukanlah sebuah agensi penguatkuasa, politik kotor dan rasuah
adalah di bawah kawalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dan
sewaktu pilihanraya umum, kuasa yang ada pada SPR hanyalah untuk memastikan
poster-poster dan panji-panji parti politik mengikut garis panduan yang
ditetapkan sementara siri-siri ceramah adalah terletak di bawah bidang kuasa
polis. Pendek kata, SPR mendakwa tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap
apajua penyelewengan di dalam pilihanraya.
Akta Kesalahan Pilihanraya
Kata SPR,
mereka tidak mempunyai kuasa yang menyeluruh bagi menyelia dan memastikan
pilihanraya umum dijalankan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Kenapa pula
SPR mendakwa dirinya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian?
Bagaimana
pula dengan Akta Kesalahan Pilihanraya? Hakikatnya, kewujudan akta tersebut
sememangnya memberikan SPR kuasa untuk bertindak terhadap sebarang kesalahan
dan penyelewengan yang dilakukan sewaktu pilihanraya umum. Kuasa-kuasa tersebut
termasuk menyelia dan memantau kegiatan-kegiatan calon pilihanraya bagi
memastikan mereka yang bertanding ini mengikut undang-undang yang telah
ditetapkan. Penguatkuasaan tersebut termasuk membenteras rasuah, ancaman dan
pengaruh-pengaruh yang bertentangan dengan etika pilihanraya.
Adalah benar
bahawa SPR sememangnya tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa, tetapi mereka
adalah bertanggungjawab untuk melaporkan segala bentuk kesalahan yang dapat
dikesannya sewaktu pilihanraya umum.
Kes yang
paling jelas sekali berlaku pada pilihanraya kecil kawasan parlimen Sibu tahun
lalu di mana perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak cuba memujuk
pengundi di Rejang Park di Sibu dengan menyebut “saya tolong kamu, kamu tolong
saya”, “kamu semua mahukan RM5 juta? Saya mahukan Robert Lau (calon BN pada
masa itu) menang dan jika kamu mengundi Robert Lau pada Ahad ini, pada hari
Isnin juga, saya akan meminta cek (RM5 juta) itu disediakan”. Apa yang berlaku
adalah para pengundi memutus untuk tidak mengundi Robert Lau pada keesokan
hari.
Satu lagi
kes juga dilaporkan di Sarawak sewaktu pilihanraya negeri yang lalu, melibat
calon BN bagi kerusi dewan undangan negeri Tamin yang telah memberikan tiga
keping cek sejumlah RM10,000 kepada seorang ketua rumah panjang di kawasan
tersebut. Apabila cek-cek tersebut dimasukkan ke bank, salah satu daripada cek
tersebut ditolak atas alasan kekurangan dana di akaun si pemberi itu. Ketua rumah
panjang itu lantas mengadu dan kemudiannya mendedahkan bahawa wang tersebut
diberikan kepadanya dan para penghuni rumah panjang pimpinannya sebagai habuan
untuk mengundi BN pada pilihanraya tersebut.
Rasuah dan
pembelian undi adalah merupakan kesalahan pilihanraya dan yang mendukacitanya
adalah SPR langsung tidak mengambil langkah-langkah proaktif dengan bertindak
terhadap ahli-ahli politik yang melakukan perbuatan terkutuk itu, sekalipun
telah terdapat undang-undang yang boleh menangani gejala tersebut. Menurut
timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini, yang menyebut “kita
tidak pernah mendakwa sesiapa pun di mahkamah”.
Apakah peranan SPR sebenarnya dan di manakah halatujunya?
Dalam
keadaan seperti yang dijelaskan, kita telah melihat dan dapat menggambarkan
dengan jelas yang SPR ini hanya berperanan seolah-olah seperti sebuah syarikat
pengurusan acara di mana majikannya ialah kerajaan BN sekarang. Ia sentiasa
mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh majikannya itu.
Berdasarkan
keadaan tersebut, bagaimana SPR boleh menjadi sebuah badan pengelola
pilihanraya yang bebas dan adil? Mustahil, bukan?
Sepatutnya
pada tahun 2008, sebelum pilihanraya umu ke-12 diadakan pada masa itu, SPR
telahpun memutuskan untuk menggunakan dakwat kekal dan telah membeli bekalan
dakwat tersebut dengan begitu banyak dari negara India sebagai persediaan. Akan
tetapi, secara tiba-tiba, penggunaan dakwat kekal tersebut dibatalkan oleh Wan
Ahmad atas alasan ianya diarah oleh pejabat peguam negara dan laporan polis telah
dibuat bagi menyiasat kemungkinan terdapat elemen sabotaj dalam penggunaan
dakwat tersebut.
Namum,
sehingga ke hari ini, laporan polis itu terus menjadi misteri yang tidak ada
penghujungnya dan pihak polis seolah-olah telah lupa akan kes tersebut. Pelik
betul!
Penggunaan
dakwat kekal itu adalah murah dan memadai, dan ianya telahpun digunakan dengan
jayanya oleh beberapa buah negara termasuk India, sebuah negara demokrasi yang
terbesar. Menurut Wan Ahmad lagi, para pengundi boleh juga dipaksa untuk disapukan
dakwat kekal tersebut bagi menghalang mereka daripada mengundi. Ya, ianya
memang boleh berlaku, tetapi sekiranya ia berlaku, mangsa-mangsa yang terlibat
hendaklah membuat laporan polis. Ini bukan alasan yang kukuh untuk membatalkan
penggunaan dakwat kekal itu pada saat-saat akhir. Hanya alasan remeh yang cuba
melengah-lengahkan usaha tersebut.
Dan sekarang
SPR bercadang menggunakan sistem biometrik untuk mengenal pasti setiap pengundi
bagi menghalang gejala pengundi hantu daripada berlaku. Langkah tersebut
dilihat melibatkan kos yang begitu besar sekali. Bolehkah sistem ini berjaya
sebenarnya?
Kita
lihatlah pengalaman Jabatan Imigresen Malaysia yang juga telah menggunakan
sistem tersebut dan apa yang berlaku. Sistem tersebut didapati tidak dapat mengenal
pasti dengan jelas siapakah pendatang tanpa izin dan sebaliknya. Apakah yang
akan berlaku jika sekiranya sistem tersebut gagal berfungsi dengan sempurna di
hari pilihanraya umum itu diadakan? Sudah tentu ramai pengundi akan menjadi
mangsa dan tidak dapat menunaikan hak mereka pada hari itu.
Selain
daripada itu, sistem biometrik ini juga tidak dapat menjamin yang seseorang itu
tidak akan mengundi lebih daripada sekali.
Perkara
pokok yang perlu diberikan perhatian yang serius oleh SPR, seperti yang diketengahkan
oleh pengerusi bersama Bersih 3.0 Datuk S.Ambiga adalah senarai daftar pemilih
perlu dikemaskinikan dengan segera. Cadangan Datuk Ambiga adalah, agar sebuah
jawatankuasa khas dibentuk dan diberikan tempoh selama tiga bulan untuk
menyelesaikan masalah tersebut dan mengemukakan langkah-langkah perlu untuk
memperbaiki keadaan tersebut. Kenapa SPR tidak menyahut cadangan itu? Kerana
terlalu ego dan takut dengan kerajaan BN itu?
Masalah yang
paling besar di sini adalah mereka-mereka yang menjadi persuruhjaya di dalam
lembaga pengurusan SPR kebanyakan terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai
kanan kerajaan yang telah bersara. Dan mereka ini telahpun biasa dengan adat
mematuhi arahan dan menurut perintah daripada kerajaan. Yang lebih memburukkan
lagi keadaan adalah pengerusi dan timbalan pengerusi SPR adalah ahli Umno
selama ini.
Jadi, dengan
keadaan ini, bolehkah rakyat mempercayai yang SPR ini adalah sebuah badan
bebas, adil dan berintegriti? Dapatkah SPR ini membersihkan senarai daftar
pemilih dengan segera sebelum pilihanraya umum yang akan datang?
Selain dari
itu, isu-isu lain yang perlu diberikan perhatian serius adalah masalah
ketelusan undi pos dan jumlah hari berkempen kerana SPR sehingga pada hari ini
masih gagal memberikan sebarang jawapan yang memuaskan hati rakyat jelata.
Memang tidak
dapat dinafikan, bahawa himpunan-himpunan serta usaha Bersih 2.0 dan Bersih 3.0
telah membangkitkan kesedaran umum mengenai masalah tersebut. Rakyat telah juga
melihat dengan mata mereka sendiri yang SPR masih berdegil dan enggan
melaksanakan pembaharuan tersebut.
Jika
sekiranya pembaharuan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, adalah
dibimbangi lebih banyak penipuan dan penyelewengan mungkin akan berlaku dan
pada suatu hari nanti Malaysia mungkin juga akan mendapat sebuah kerajaan tidak
sepatutnya mendapat “mandat” untuk memerintah.