Kembalikan PRM ke parlimen dan dewan undangan negeri
Parti Rakyat Malaysia atau lebih
dikenali sebagai PRM dalam singkatan umumnya adalah merupakan sebuah parti
politik yang tertua di Malaysia. PRM dibentuk pada tanggal 11 November 1955
oleh tiga tokoh pejuang kemerdekaan terkemuka pada masa itu, iaitu Ahmad
Boestaman, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Mohamad.
PRM yang dibentuk pada hujung
tahun 1955 adalah sebuah parti nasionalis berhaluan kiri yang telah memulakan
perjuangan menuntut kemerdekaan untuk Malaya daripada penjajahan British.

Di tahun 1950an, PRM melalui
gabungannya dengan sebuah lagi parti iaitui Parti Buruh untuk membentuk Barisan
Sosialis dan bertanding di dalam pilihanraya umum pada tahun 1959 di mana
kedua-dua parti tersebut berjaya memenangi 8 kerusi parlimen dan puluhan kerusi
di peringkat majlis bandaraya dan perbandaran.
Manakala di dalam pilihanraya
umum tahun 1969, PRM juga pernah memenangi dua kerusi dewan undangan negeri di
Pahang dan satu kerusi dewan undangan negeri di Pulau Pinang.
Akan tetapi, disebabkan oleh
sekatan demi sekatan, serta propaganda yang memburukkan keududukan fahaman
berhaluan kiri dan dianggap sebagai sebuah parti ala-komunis oleh kerajaan
Perikatan (kini Barisan Nasional – BN) pada masa itu, serta ramai di antara
pemimpinnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ada yang
diugut, pengaruh PRM mulai menurun dan selepas itu tidak dapat memenangi
sebarang kerusi di parlimen dan dewan undangan negeri sehinggalah kini.
Namun demikian, walaupun tidak
mempunyai perwakilan terpilih di parlimen dan dewan undangan negeri sehingga
pada hari ini, PRM masih tetap unggul dan terus bersama rakyat, untuk
meneruskan hasrat murni mereka yang belum tercapai iaitu ke arah perjuangan
adil, saksama, progresif dan bersatu untuk masyarakat Malaysia.
PRM,
dalam era baru
PRM yang dipimpin oleh presiden
partinya yang baru Dr Rohana Ariffin kini giat menjalankan aktiviti khidmatnya
di peringkat akar umbi, di beberapa buah kawasan parlimen yang pernah
diwakilinya bagi menangani pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi oleh
rakyat jelata.
Selain daripada itu, PRM juga
bekerjasama rapat dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang
perjuangannya seiringan dengan fahaman parti itu bagi merealisasikan matlamatnya
untuk melihat suatu masyarakat yang adil, saksama, progresif dan bersatu padu.
Usaha dan khidmat murni PRM
tersebut turut mendapat perhatian dan pengiktirafan beberapa buah parti
pembangkang yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS apabila
para pemimpin PRM sering dijemput untuk menghadiri persidangan tahunan DAP dan
PAS.
Komitmen PRM turut terbukti
dengan penglibatan aktif parti tersebut di beberapa siri perjuangan yang
menuntut keadilan dan kebajikan untuk rakyat, seperti di perhimpunan Bersih
(Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil), Himpunan Hijau (perhimpunan yang
menentang pembinaan kilang pelupusan sisa toksik di Gebeng, Pahang) serta
banyak lagi perjuangan yang memanfaatkan rakyat jelata seperti sosio-ekonomi,
pendidikan, buruh, hak asasi manusia dan hak kesamarataan di kalangan
masyarakat.
Adakah
Umno ini pembangkang berkesan?
Di dalam pilihanraya umum tahun
2008 yang lalu, kita telahpun melihat Pakatan Rakyat yang meliputi gabungan
PKR, DAP dan PAS telah berjaya meretakkan kekuatan BN dengan pengurangan
majoriti dua pertiga BN di parlimen serta menewaskannya di beberapa buah negeri
seperti Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, di samping mengekalkan
kedudukannya di Kelantan.
Dengan tertubuhnya
kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Kedah, Selangor, Perak (tumbang pada
Februari 2009 berikutan rampasan kuasa Umno) dan Pulau Pinang, kita telahpun
melihat bagaimana Umno mengambil peranannya sebagai pembangkang di
negeri-negeri tersebut.
Selaku pembangkang di negeri-negeri
yang pernah dikuasainya selama beberapa dekad, Umno sememangnya masih tidak
dapat menerima hakikat yang para ahli-ahli dewan undangan negerinya terpaksa
berada di kedudukan yang bertentangan dengan kerusi kerajaan negeri.
Sebagai pembangkang di negeri-negeri
tersebut, Umno gagal menunjukkan kematangannya di dalam politiknya secara
profesional.
Jika di negeri Perak, Umno
menggunakan cara dan helah yang begitu kotor dan jijik dengan memebelanjakan
sejumlah besar wang rakyat untuk memeras-ugut, merasuah, menipu dan mengancam
bagi mendapatkan semula kuasa di negeri tersebut.
Manakala di negeri-negeri
Selangor dan Pulau Pinang umpamanya, Umno asyik menggunakan isu-isu perkauman,
agama Islam dan Raja-raja Melayu (3R – Race, Religion and Rulers) untuk mengancam
kedudukan dan kestabilan kedua-dua kerajaan negeri tersebut.
Di negeri Kedah pula, Umno akan
mempergunakan sekutu Bnnya iaitu MCA dan Gerakan untuk mempersendakan kerajaan
negeri pimpinan PAS itu dan menghasut rakyat bukan beragama Islam yang kononnya
hukum hudud dan undang-undang Syariah yang kononnya akan berlaku tidak adil, menyeksa
dan membawa pelbagai masalah kepada masyarakat bukan Islam di negeri tersebut.
Cara Umno yang berperanan sebagai
pembangkang di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat ini hanya
bertumpu kepada politik perkauman yang bertujuan untuk membangkitkan api
kemarahan, kebencian dan ketidakstabilan di kalangan rakyat yang bakal tidak
akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat jelata.
Jadi, hasil bangkangan Umno yang
sedemikian akan menjejaskan kestabilan dan ekonomi negeri-negeri tersebut,
seterusnya membawa kepada lebih perasaan syak-wasangka di kalangan masyarakat
yang berbilang kaum yang boleh mengakibatkan perpecahan di masa yang terdekat.
Adakah ini yang kita inginkan?
Adakah Umno memainkan peranannya sebagai memeriksa dan mengimbangi (check and
balance) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran di dalam kerajaan-kerajaan
negeri di bawah Pakatan Rakyat? Nampaknya tidak, kerana sehingga pada hari ini
Umno masih sibuk dengan urusan untuk memecahbelahkan perpaduan kaum,
menyemarakkan api kemarahan dan kebencian.
Oleh itu, adakah Umno ini
merupakan pembangkang yang berkesan untuk negara kita ini?
PRM
berperanan untuk menjadi pembangkang baru
Menurut kenyataan yang
dikeluarkan oleh ahli dewan undangan negeri Selangor kawasan Subang Jaya,
Hannah Yeoh baru-baru ini, BN tidak dapat menjadi kerajaan yang sempurna, malah
menjadi pembangkang pun gagal sama sekali.
Sebagai pembangkang, Umno gagal
menumpukan perhatiannya terhadap isu-isu utama berkait dengan masyarakat
seperti ekonomi, pendidikan, pengangkutan awam, inflasi, kesihatan, pekerja dan
pembenterasan rasuah.
Oleh itu, PRM perlu memikul
tanggungjawab tersebut untuk membentuk dan mengetuai satu barisan pembangkang
baru yang profesional jika sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menerajui kerajaan
persekutuan di Putrajaya pada pilihanraya umum yang akan datang.
Biarkanlah Umno dan BN berkubur
sekaligus kerana terbukti mereka gagal berperanan dengan sempurna sebagai pembangkang.
Pakatan
tidak perlukan majoriti dua pertiga
Menurut ketua umum PKR yang juga
ketua pembangkang parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat tidak
memerlukan majoriti dua pertiga untuk memerintah negara ini dan sebaliknya
hanya mengharapkan majoriti mudah.
Ini adalah kerana, menurut
beliau, majoriti yang terlalu kukuh itu akan membawa kepada kerakusan dan
ketamakan pemerintah, jadi peranan pembangkang adalah masih diperlukan bagi
mamainkan peranan “check and balance” terhadap pemerintah di dalam pelbagai
soal yang berkepentingan seperti ekonomi, pendidikan, pengangkutan awam,
inflasi, kesihatan, pekerja dan pembenterasan rasuah.
Di samping tidak lagi sesuai
untuk menjadi kerajaan, Umno dan BN juga tidak sesuai untuk menduduki kamar
pembangkang baik di parlimen mahupun di dewan-dewan undangan negeri oleh kerana
politik jijik 3R yang sehingga kini masih menghantui pemikiran politik mereka
dan ini menunjukkan yang kematangan politik mereka langsung tidak wujud
walaupun Umno dan BN telah memerintah negara ini selama lebih daripada 50
tahun.
Wujudkan
barisan pembangkang baru
Adalah menjadi tanggungjawab
setiap pengundi di negara ini bagi memastikan keseimbangan kuasa politik
kerajaan dan pihak pembangkang di dalam parlimen dan dewan-dewan undangan
negeri.
Oleh yang demikian, PRM perlu
dikembalikan ke parlimen dan dewan-dewan undangan negeri untuk mengambil
peranan sebagai pembangkang. Di samping PRM, turut perlu diberikan peluang
adalah Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Parti Sosialis Malaysia
(PSM), Parti Reformasi Negeri (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), serta
parti-parti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan Umno dan BN.
Umno dan BN telah lebih daripada
50 tahun memerintah dan sehingga kini telah gagal menangani pelbagai masalah serius
yang melanda negara ini seperti rasuah, salahguna kuasa, politik wang, inflasi,
ketidakstabilan ekonomi dan sebagainya. Apabila diberi pula peluang untuk
berperanan sebagai pembangkang di beberapa buah negeri, prestasi mereka adalah
lebih buruk daripada dijangka apabila mereka hanya bertumpu kepada kemarahan,
kebencian, hasad dengki dan dendaman.
Jadi, tibalah masanya kita
memikir semula masa depan politik negara ini di luar petak dengan mengundi
memasukkan semula PRM ke dalam parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Selain
PRM, kita juga berilah peluang kepada PSM, KITA, STAR dan SAPP untuk
bersama-sama mewujudkan satu barisan pembangkang yang baru apabila Pakatan
Rakyat menerajui Putrajaya nanti (Malaysia-Chronicle).