Kerakyatan tercicir: Kenapa baru sekarang nak berebut buat baik?
(Rencana ini telah disiarkan dalam kolum saya di
Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Pemerhatian yang
teliti telah kami buat beberapa hari yang lalu berhubung dengan insiden seorang
pemimpin PKR yang teruk dibelasah oleh sekumpulan ahli-ahli pemuda MIC sewaktu
berada di hadapan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pemimpin PKR
tersebut adalah sebahagian daripada rombongan ahli-ahli PKR bersama dengan
keluarga seorang pelajar berbangsa India yang sehingga kini tidak diberikan kad
pengenalan (MyKad), dalam perjalanan mereka untuk ke JPM untuk menuntut
berjumpa dengan perdana menteri mengenai masalah pelajar tersebut yang sebelum
ini tidak dapat mendaftarkan diri untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
Adakah usaha yang
dilakukan oleh rombongan PKR itu salah dan melanggari undang-undang sehinggalah
sekumpulan ahli-ahli pemuda MIC bertekad
untuk menghalang rombongan PKR itu daripada sampai ke JPM?
Kenapa baru sekarang
MIC hendak berebut dengan PKR untuk berbuat baik? Apakah MIC telah buat untuk
masyarakat India selama ini? Kenapa baru sekarang MIC sedar bertapa ramainya di
kalangan masyarakat India yang kerakyatan mereka tercicir dengan begitu lama?
Ke mana pergi MIC sebelum ini?
Kami juga telah
mendapati bukan sahaja pelajar tersebut yang menghadapi masalah tidak mendapat
MyKad. Sebelum ini terdapat juga puluhan kes di kalangan masyarakat India yang
sehingga kini masih belum diberikan kerakyatan walaupun telah disahkan yang
kebanyakan mereka ini dilahirkan di Malaysia.
Apakah punca
sebenarnya? Bermacam-macam bentuk masalah yang telah diketengahkan sebelum ini,
yakni masalah surat beranak hilang, tidak mendaftarkan kelahiran, ibu atau bapa
bukan warganegara, masalah buta huruf,
pelbagai karenah dan birokrasi di dalam Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN), permohonan yang tidak lengkap, tiada khidmat nasihat yang sempurna dan
berbagai-bagai masalah yang tidak terhingga.
Masalahnya adalah,
ke mana perginya para pemimpin MIC sebelum ini? Kenapa isu-isu ini tidak
ditangani oleh MIC sejak dari awal lagi sehinggalah mangsa-mangsa tersebut
terpaksa beralih ke parti-parti lain, seperti PKR untuk meminta bantuan?
Siapakah yang gagal
menangani masalah tersebut? MIC atau PKR?
Kejadian tersebut
jelas menunjukkan bahawa para pemimpin pemuda MIC berasa amat cemburu dan
dengki terhadap usaha-usaha murni beberapa pemimpin PKR yang berjaya
mendapatkan perhatian umum mengenai masalah kerakyatan di kalangan masyarakat
India baru-baru ini.
Selain itu, kejadian
tersebut juga telah membuktikan yang MIC langsung tidak berniat ikhlas untuk membantu
masyarakat India yang didakwa “diwakilinya” selama ini.
Apa gunanya dapat MyKad di hari tua?
Kita telah lihat di
kalangan parti-parti komponen BN yang lain juga, dah terlewat baru nak sedar
akan kesilapan mereka yang lalu.
Bukan sahaja MIC,
bahkan MCA turut bersikap sedemikian. Di kalangan masyarakat India dan Cina
selama ini, terdapat ramai di antara mereka yang gagal mendapatkan kerakyatan
mereka sehingga ke hari tua mereka, malah ada di antara usia mereka yang telah
melanjut hingga he tahun 90an.
Barulah MIC dan MCA
ini nak berlumba-lumba dengan PKR atau DAP untuk mendapatkan kerakyatan untuk
mereka yang tidak mendapatkan hak mereka selama ini. Dan apabila MyKad untuk
golongan ini telah siap, MIC dan MCA dengan segera memanggil sidang akhbar untuk
mengumumkan kebaikan dan usaha mereka. Apa gunanya apabila umur seseorang itu
telah menjangkau lebih daripada 50 tahun barulah berjaya memperolehi kerakyatan
mereka?
Apa gunanya
mereka-mereka yang kini telah bergelar datuk-datuk dan nenek-nenek baru
sekarang mendapatkan kerakyatan mereka setelah mencubanya berdekad-dekad yang
lalu tanpa dipedulikan sangat oleh para pemimpin MIC dan MCA.
Usia muda
mangsa-mangsa ini terbazir dengan begitu sahaja,, bukan itu sahaja, bahkan
peluang pendidikan mereka juga terlepas dengan begitu sahaja yang menyebabkan
mereka buta huruf sehinggalah ke usia tua mereka.
Dah terlewat. Baru
sekarang MIC dan MCA nak berbuat baik. Golongan yang kini telah bergelar
datuk-datuk dan nenek-nenek ini tidak akan terhutang budi terhadap MIC dan MCA
lagi kerana mereka sedar bahawa usia muda dan peluang mereka sebelum ini telahpun
hancur dan tidak punyai harapan lagi.