Apakah niat sebenarnya kerajaan BN mengagihkan sejumlah besar wang kepada umum? Wang dari syurga kononnya!
(Rencana ini telah disiarkan
dalam portal berita Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Dengan BN lah, negara kita ini mungkin akan kembali ke era tahun 1511 di
mana negara ini akan kembali dijajah dan dibahagi-bahagikan oleh kuasa-kuasa
asing.
Secara umumnya kami merasa amat terkejut dengan langkah
kerajaan BN baru-baru ini yang telah mengagihkan sejumlah besar wang ringgit
kepada umum dan selepas itu, kerajaan BN terus menjanjikan habuan yang lebih
besar di masa yang terdekat lagi, sedangkan ekonomi dunia kini sedang
menghadapi kegawatan di mana kerajaan di kebanyakan negara sedang mengambil
langkah-langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat bagi menjamin kestablian
ekonomi negara masing-masing.
Persoalannya adalah, adakah Malaysia ini tidak terasa
langsung dengan kegawatan ekonomi dunia sekarang? Adakah negara kita ini punyai
ekonomi yang sekuat negara gergasi seperti Amerika, China, Jepun ataupun Korea
yang membolehkan mereka mengagihkan sejumlah besar wang kepada orang ramai
seperti tidak ada apa-apa yang sedang berlaku?
Ingin kami ketengahkan, walaupun negara sekuat mana pun
baik Amerika, China, Jepun mahupun Korea, mereka ini akan tetap merasakan baham
kegawatan tersebut dan negara-negara gergasi inilah yang paling cepat mengatur
langkah-langkah untuk mengimbangi ekonomi negara masing-masing. Hairanya jika
sekiranya kerajaan BN pimpinan perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak ini
dapat mengatakan kepada orang ramai bahawa ekonomi negara ini langsung tidak
tergugat oleh kegawatan ekonomi sedunia ataupun serantau.
Kalau hendak membohongi mereka-mereka yang tidak
berpendidikan ataupun mereka yang menduduki kawasan pendalaman dan perkampungan
yang terpencil yang tidak dapat menikmati sebarang kemudahan asas, mungkin
ianya berjaya dilakukan. Bagi rakyat yang berpendidikan, mempunyai daya
pemikiran yang bijak, tahu mengenai selok-belok politik dan hal-ehwal negara
ini, berdaya maju, mempnyai pengetahuan dan kepakaran yang mencukupi di dalam
semua bidang, bolehkah Najib melanjutkan skim penipuannya terhadap golongan
ini? Sudah tentunya tidak.
Pelbagai bantuan mengejut
Kita tengoklah berbagai-bagai bentuk skim kewangan
diwujudkan kerajaan BN baru-baru ini yang bertujuan untuk menggembirakan rakyat
jelata. Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berjumlah RM500 seorang, skim
bantuan tunai segera RM100 seorang untuk semua pelajar dari tahun satu
hinggalah ke tingkatan lima.
Selain daripada itu, baucar buku yang bernilai RM200
turut disalurkan kepada setiap penuntut universiti, matrikulasi dan para
pelajar tingkatan enam tanpa sebarang syarat. Dan pada awal tahun ini juga,
skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara1M) turut ditawarkan kepada setiap isirumah
dengan janji pulangan tetap sebanyak RM50 sebulan.
Untuk mengagihkan sejumlah besar wang ringgit ini kepada
rakyat jelata, kerajaan BN telah melantik beberapa buah bank-bank utama di
negara ini untuk berbuat demikian. Apa yang rakyat perlu adalah pergi ke bank
yang terdekat untuk menunaikan wang tersebut setelah mengemukakan baucar
ataupun surat pembayaran mereka kepada kaunter bank tersebut.
Adalah dianggarkan sebanyak RM100 juta telah diagihkan
melalui bank-bank yang dilantik itu. Dari manakah jumlah sebanyak RM100 juta
itu datang? Sudah tentunya asalnya wang tersebut adalah daripada kalangan
rakyat jelata yang telah sekian lama membayar cukai pada setiap tahun.
Persoalannya adalah apabila wang tersebut dihabiskan
secara spontan untuk rakyat jelata, bagaimanakah kerajaan BN ini dapat menabung
semula dengan begitu cepat sekali? Adakah Bank Negara telah diarah untuk
mencetak lebih banyak wang bagi mengisi semua perbendaharaan negara? Ada
kemungkinan juga? Atau mungkinkah kerajaan BN ini akan menggadaikan aset-aset
negara bagi mendapatkan pinjaman dari negara-negara kaya.
Jawapan yang tepat adalah sukar didapati.
Kenaikan mendadak gaji
perkhidmatan awam
Pada suku pertama tahun ini juga, kerajaan BN telah
mengumumkan penyusunan semula gred gaji dan jawatan-jawatan di dalam sektor
perkhidmatan awam melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan
melibatkan lebih daripada 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.
Untuk makluman umum, perkhidmatan awam di negara kita ini
adalah merupakan majikan yang terbesar di Asia Tenggara.
Walaubagaimanapun SBPA telah menampakkan kecacatannya
dari segi pengagihan kadar kenaikan gaji untuk mereka yang berpangkat rendah
hinggalah ke yang paling tinggi kedudukan dan ini menyebabkan Kongress Kesatuan
Sekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah dengan keras skim SBPA itu yang
disifatkannya sebagai tidak adil untuk mereka yang berpangkat lebih rendah.
Akibat daripada bantahan Cuepacs, kerajaan BN terpaksa
membatalkan perlaksanaan SBPA itu dan merengkok kembali kepada skim yang lama
iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM).
Perkara pokok di sini adalah, kenapa para pegawai kanan
kerajaan memerlukan kenaikan gaji yang begitu mendadak sekali, walaupun di
dalam skim lama SSM? Kenapa tidak pula diseimbangkan kenaikan gaji para
kakitangan awam yang berpangkat yang lebih rendah untuk diselaraskan dengan
kemampuan mereka berdasarkan kenaikan kos harian dan kadar inflasi yang begitu
tinggi?
Dan jika sekiranya ianya tidak ditangani dengan segera,
adalah dibimbangi jurang perbezaan di antara mereka-mereka yang kaya, sederhana
dan miskin akan bertambah buruk lagi dan di suatu hari nanti, mungkin golongan
yang berpendapatan sederhana ini akan lesap sama sekali di negara ini.
Jadi cadangan asal kerajaan BN yang ingin menggembirakan
semua kakitangan awam dengan skim saraan yang baru itu tidak mendapat sambutan
malah menerima bantahan pula daripada Cuepacs.
Adalah jelas langkah terburu-buru oleh kerajaan BN itu
adalah bertujuan untuk memastikan sokongan para kakitangan awam untuk BN di
dalam pilihanraya umum yang akan datang yang merupakan suatu langkah jangka
pendek yang menelan belanja yang begitu besar sekali.
Banyak agihan wang
disalahgunakan
Kita tengoklah contoh yang pertama iaitu agihan wang di
bawah BR1M (sebanyak RM500 seorang). Walaupun BR1M itu pada asalnya disasarkan
untuk golongan yang berpendapatan RM3000 dan ke bawah, namum kita dapati
pengagihan wang tersebut telah banyak kali disalahgunakan oleh pihak-pihak yang
tertentu.
Akibat daripada itu, kita dapati ada di kalangan golongan
kaya raya turut menikmati pemberian wang sejumlah RM500 seorang itu. Malah kita
juga dapati beberapa orang yang bergelar Datuk turut mendapat bantuan wang tersebut.
Apa yang sudah terjadi? Kenapa mereka yang kaya raya
turut menikmati faedah tersebut?
Dalam pada itu, pemberian wang sejumlah RM100 untuk semua
pelajar sekolah rendah dan menengah itu turut disalahgunakan, malah ada pihak
yang cuba memalsukan butiran anak-anak mereka, jumlah pelajar di sesebuah
sekolah “ditambah” bagi mendapatkan wang berlebihan tersebut dan banyak lagi
bentuk penipuan.
Bagi baucar buku RM200 itu pula, ramai penuntut, apabila
menerima baucar tersebut dengan segera mengiklankan baucar-baucar tersebut di
dalam laman Facebook untuk jualan kepada umum dengan harga yang lebih murah
untuk mendapatkan tunai yang cepat. Ianya untung apabila baucar RM200 itu
dijual dengan harga RM150, yang si penjual itu akan mendapat untung kerana tidak
mengeluarkan modal, malah yang membeli itu turut untung kerana mendapat diskaun
RM50.
BN menyemaikan budaya
negatif
Adalah amat tepat sekali bahawa kerajaan BN telah
menyemaikan budaya yang negatif dengan agihan sejumlah besar wang ringgit
kepada umum, terutamanya di kalangan anak-anak muda kita.
Apabila mendapatkan wang tersebut, akan disangka bantuan
tersebut akan berterusan selama-lamanya, dan apabila pemikiran tersebut timbul,
wujud pula sikap tidak perlu bekerja keras untuk menampung masa depan mereka
kerana wang akan datang terus kepada mereka dengan senang.
Akibat daripada itu, golongan muda mudi ini akan menjadi
boros berbelanja tanpa merasakan bertapa susahnya untuk memperoleh pendapatan
dan perlunya untuk bekerja keras untuk mendapatkan wang tersebut. Apakah akan
terjadi di suatu hari nanti? Anak-anak muda kita ini akan menjadi malas, tidak
mahu bekerja, tidak berdaya saing, tidak mahu berusaha, tidak
bersungguh-sungguh di dalam komitmen mereka dan berbagai-bagai elemen yang
negatif lagi.
Persepsi yang disemaikan oleh kerajaan BN ini semata-mata
untuk mendapatkan populariti murahan dan sokongan untuk pilihanraya umum yang
akan datang. Memang keji akan perbuatan tersebut.
Sudahlah dengan merosakkan negara ini dengan pelbagai
salahguna kuasa, penyelewengan kewangan, rasuah, penipuan dan peras ugut,
ditambah pula dengan kerosakan ke atas pemikiran rakyat jelata khususnya di
kalangan anak-anak muda kita.
Bayangkanlah apakah yang akan berlaku pada generasi yang
akan datang jika sekiranya BN terus diberi “mandat” untuk memerintah selepas
pilihanraya umum yang akan datang?