Umno boleh berubah kononnya

Di dalam perjumpaan pra-perhimpunan agung Umno yang diadakan pada Ahad yang lalu, presiden Umno dan perdana menteri Najib Razak telah berikrar bahawa Umno dan BN sememangnya telah bersedia untuk berubah bagi memantapkan lagi jentera pentadbiran kerajaan dan sambil itu, Najib juga menyeru rakyat agar terus memberikan mandat kepada BN pada pilihanraya umum yang akan datang supaya Umno dapat terus menerajui arus "perubahan" tersebut.

Masalah utama di sini adalah, bolehkah Umno ataupun BN berubah, setelah memerintah negara ini lebih daripada 55 tahun lamanya dengan semua kaedah dan cara pemerintahan yang agak kuno dan ketinggalan zaman? Dengan adanya kebanyakan pemimpin lama yang masih menduduki takhta dengan begitu lama masih berkuasa dengan mereka-mereka daripada kalangan golongan elit pemerintah yang masih mengamalkan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan penggelapan wang yang berterusan, adakah Najib dapat merubah keadaan tersebut dengan secepat mungkin bagi membersihkan negara ini daripada lautan yang penuh dengan kejahatan dan kejijikan dalam politik?

Sejak dari mula dahulu lagi, usaha Umno untuk berubah teryata gagal. Pada zaman Mahathir, katanya nak memperlihatkan kewujudan Bangsa Malaysia, adakah ia berhasil? Di era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, katanya Islam Hadhari dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum kerana kreativiti Islam yang menarik, adakah ianya berjaya? Dan sekarang pula, Najib dengan slogan 1Malaysia yang dihasilkannya itu, apakah sebenarnya kejayaan yang ada pada slogan tersebut?

Semuanya gagal, kerana sentimen perkauman di negara ini semakin menebal. Golongan ekstremis yang pro-Umno pula semakin bertambah dan bercambah dengan begitu subur sekali. Akhbar harian milik Umno pula meliputi laporan-laporan yang berbaur perkauman, menghasut dan membenci hampir pada setiap hari tanpa had.

Selain daripada itu, rasuah dan penyalahgunaan kuasa berterusan. Malah pemimpin Umno yang telah didapati bersalah kerana rasuah pun boleh dilantik untuk menduduki tempat teratas di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan selesa. Skandal-skandal yang melibatkan kerugian berjuta-juta Ringgit, tetapi hanya segelintir sahaja yang diheret ke muka pengadilan, sementara yang lainnya dibenarkan terus lari daripada hukuman. Yang lebih memburukkan lagi adalah ada dua, tiga orang menteri Umno yang mengatakan rasuah di dalam negara ini adalah suatu perkara yang biasa dan tidak dapat dielakkan.

Siapakah yang rugi? Rakyat jelata yang terpaksa menanggung segala akibat tersebut. Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon pernah diberikan tanggungjawab untuk menerajui usaha untuk menyemaikan perpaduan di antara kaum dan agama melalui sebuah panel. Apa yang terjadi? Dr Koh sebaliknya menjadi bahan ketawa dan panel penyelarasan itu akhirnya diambil-alih oleh seorang yang cukup perkauman.

Perkasa yang disingkatkan daripada nama penuhnya, Pertubuhan Pribumi Perkasa, apakah sumbangannya terhadap kemajuan pribumi di negara ini? Tak ada langsung. Sebaliknya, Perkasa itu hanya penuh dengan wang ringgit Umno, asyik mengancam nak menyembelih orang lain sahaja, memastikan perpecahan berterusan, memastikan kebencian berterusan, memastikan agar rakyat jelata akan terus salahfaham dan terpesong daripada keadaan sebenarnya.

Dan apa kata naib-presiden Umno dan menteri dalam negeri Hishammuddin Hussein? Kata menteri tersebut, semua orang berhak meluahkan perasaannya. Tetapi di belakang, kementerian dalam negeri terus membelasah orang ramai sehingga ke peringkat akar umbi. Demokrasi kononnya, tetapi demokrasi itu hanya dikhaskan untuk para penyamun dan penjahat politik.

Polis dan SPRM pula terus dipergunakan oleh Umno sebagai unit Gestaponya untuk menakut-nakut rakyat jelata. Jenayah dibiarkan subur agar rakyat terus hidup dalam ketakutan. Dengan itu, bisnes CCTV dan alat-alat penggera yang dimiliki oleh kroni-kroni BN akan terus meningkat dengan mendadak.

Kemudahan dan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini terus disenaraikan sebagai yang paling buruk dengan kadar pemilikan kenderaan peribadi semakin meningkat dan hilang kawalan. Ini adalah untuk membiayai Proton yang melarat. MAS terus rugi dengan teruk. Petronas terpaksa menyerahkan keuntungannya kepada GLC-GLC yang tiada prestasi positif, KWSP pula terpaksa menggadaikan wang yang dipinjam kepada mereka-mereka daripada kalangan krono-kroni Umno dan BN.

Kerajaan BN terus melemparkan wang rakyat tidak tentu arah melalui beberapa jenis skim yang seolah-olah seperti bantuan atau insentif. Jadi, benarkah Umno itu boleh berubah?

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Federal Constitution that Safeguards the Legitimate Rights and Interest of All Malaysians