Politik BN yang jahiliah akan memudaratkan negara ini

Kenapa kita katakan bahawa politik yang dipelopori oleh Barisan Nasional (BN) sekarang adalah politik jenis jahiliah? Sebab utamanya adalah kerana BN, khususnya Umno menggunakan cara berpolitik yang ketinggalan zaman, seolah-olah di zaman purba kala.

Politik dalam BN yang ditentukan oleh Umno itu selalunya berpandukan kepada politik perkauman, kebencian, dendaman, pembohongan, melemparkan fitnah dan tohmahan, memburuk-burukkan pihak pembangkang, menindas mereka yang tidak menyetujui BN, mengancam keselamatan orang ramai, menggunakan kekerasan untuk mencapai tujuan politik, mengheret Raja-raja Melayu ke dalam kancah politik, mempergunakan Raja-raja Melayu untuk menutup kelemahan mereka, tidak berperikemanusiaan, tidak menghormati hak asasi kemanusiaan, tidak menghormati hak dan kebebesan bersuara, mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan dasar pecah dan perintah.

Itulah politik BN yang dikatakan ketinggalan zaman. BN tidak berani mengetengahkan polisi mereka untuk menandingi polisi yang dikemukakan oleh barisan pembangkang. Apabila barisan pembangkang ingin mengetengahkan polisi mereka untuk tatapan umum dan diperdebatkan agar rakyat dapat mengadilinya, BN hanya gemar mempersendakan dan mengutuk tidak tentu arah polisi yang dikemukakan oleh pihak lawan, tanpa memberikan gambaran yang penuh apakah kebaikan yang ada pada polisi BN selama ini.

Setiap kali pihak pembangkang ingin mengemukakan dasar alternatifnya kepada umum, yang BN akan sasarkan terhadap dasar alternatif tersebut adalah orang Melayu akan kehilangan kuasa, Islam akan pupus, penderhaka Raja, republik Kristian, hudud dan banyak lagi. Apa gunanya karenah-karenah ini digunakan? Apakah faedah semua ini kepada negara.

Di dalam keasyikan BN untuk menumbangkan lawannya dengan cara yang ketinggalan zaman ini, para pemimpin BN telah lupa akan pembangunan ekonomi, pembenterasan rasuah, menegakkan keadilan sosio-ekonomi, mengeratkan lagi perpaduan di antara rakyat yang berbilang kaum, memastikan jentera kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama, memastikan kesemua bentuk agenda yang mengutamakan rakyat tidak mengira latar belakang kaum, agama, jantina dan kebudayaan, pembasmian kemiskinan dan banyak lagi.

Bagaimana BN cuba untuk kekal berkuasa? Senang sahaja! Menggunakan pihak berkuasa, seperti polis, MACC dan angkatan tentera, menguatkuasakan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara, menangkap dan memenjarakan sesiapa sahaja yang berhimpun, mengkritik ataupun menentang kerajaan, menggunakan taktik dan helah yang kotor untuk menumbangkan pihak lawan dan menggunakan wang ringgit untuk merasuah pihak lawan untuk berpaling tadah.

Kita tengoklah bagaimana kempen politik dan pilihanraya diadakan di negara-negara maju khususnya di Amerika Syarikat. Kita bukan memuja Amerika ataupun budaya barat seperti yang didakwa oleh BN dan Umno. Yang kita ingin ketengahkan adalah penampilan politik yang moden, professional, adil dan saksama yang diamalkan di Amerika apabila adanya pilihanraya umum.

Contoh yang paling ketara sekarang, iaitu pilihanraya presiden Amerika yang kini sedang berjalan. Di dalam kempen untuk meraih undi dan sokongan rakyat, logo-logo parti-parti Demokrat dan Republikan langsung tidak kelihatan. Yang dipamerkan pada sepanduk-sepanduk, poster-poster hanyalah nama-nama dan gambar-gambar calon presiden. Bendera parti-parti yang bertanding tidak dikibarkan tetapi sebaliknya panji-panji negara digunakan bagi tujuan untuk memasti perpaduan erat di kalangan rakyat.

Di dalam pilihanraya presiden Amerika itu, calon-calon presiden daripada kedua-dua belah pihak dibenarkan untuk menggunakan semua bentuk saluran media dan akhbar untuk menyampaikan dasar-dasar yang diketengahkan oleh mereka untuk rakyat jelata. Calon-calon presiden dan naib-presiden mereka juga diberikan ruang yang amat luas untuk berdebat di khalayak ramai agar mesej mereka dapat disampaikan kepada rakyat jelata untuk menilai keberkesanan dasar masing-masing.

Di dalam pilihanraya presiden Amerika tersebut, pihak berkuasa tidak memihak kepada sesiapa baik Demokrat mahupun Republikan. Calon-calon daripada kedua-dua parti politik yang bertanding itu diberikan kawalan dan perlindungan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa, mengawal lalulintas, memastikan perhimpunan di kedua-dua belah pihak berjalan dengan lancar dan sebagainya.

Jadi apa yang ada pada BN? Yang ada pada mereka hanyalah kebencian, dendaman, mengancam dan memecahbelahkan rakyat jelata. BN masih berada di bawah tempurung dan enggan menerima hakikat perubahan politik semasa.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

No action against YBs without speaker's consent