Pemberontakan dan Rampasan Kuasa 2009 Umno Perak masih hantui Zambry

Pada 4hb Februari 2009 yang lalu, ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN) Perak daripada Umno telah mengadakan "persidangan dewan undangan negeri" mereka di bangunan Umno Perak dan mengumumkan tiga orang ADUN Pakatan Rakyat telah berpaling tadah dan menyertai BN dan Umno, lantas daripada itu, Umno Perak secara spontan melancarkan pemberontakan nekad di dalam usaha mereka untuk menggulingkan kerajaan negeri Pakatan yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Siri pemberontakan dan rampasan kuasa yang didalangi oleh Umno Perak itu sebenarnya dirancang oleh Najib Razak dan pengerusi Umno Perak pada waktu itu, Ahmad Zahid Hamidi telah berjaya menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Nizar, dengan adanya sokongan daripada pihak polis, cawangan khas polis dan kor risik tentera.

Apa daya kerajaan negeri pimpinan Datuk Nizar pada masa itu, terpaksa berundur daripada kedudukannya setelah diasak dan diancam oleh pihak berkuasa kerajaan persekutuan, walaupun Datuk Nizar telah memohon izin untuk mengadap Sultan Perak bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar pilihanraya negeri dapat diadakan semula. Namum, permohonan Datuk Nizar hanya sampai ke telinga mereka-mereka yang pekak dan cacat pendengaran.

Selepas itu, Speaker DUN V.Sivakumar pula diusir daripada jawatan beliau dan digantikan dengan seorang lantikan yang tidak dipilih rakyat, R.Ganesan daripada MIC. Dengan itu, bermulalah era pemerintahan oleh kerajaan pemberontak negeri Perak yang diterajui oleh Umno Perak yang dipimpin oleh menteri besar pemberontak Dr Zambry Abd Kadir.

Tiga tahun sudah berlalu, namun peristiwa pahit tersebut masih jelas di dalam ingatan setiap rakyat negeri Perak yang sayangkan demokrasi. Malah seorang veteran Umno turut mengakui bahawa rakyat negeri tersebut masih tidak dapat melupakan kejadian tersebut yang hampir mencetuskan huru-hara. Kebangkitan rakyat negeri Perak ditekan kemaraannya secara sistematik oleh pihak berkuasa bagi mengekang pengaruh Pakatan daripada terus mendapat sokongan orang ramai.

Bagaimana pula dengan menteri besar pemberontak, Dr Zambry Abd Kadir? Peristiwa tersebut masih turut menghantui beliau setelah sekian lama telah berlalu. Rakyat telah melihat beliau sebagai seorang ketua kerajaan negeri yang tidak sah dan tidak direstui oleh rakyat negeri tersebut. Begitu juga dengan kerajaan negeri pimpinan beliau, yang ramai menganggapnya sebagai tidak sah dan diperoleh melalui satu pemberontakan serta rampasan kuasa dan bukannya melalui suatu proses pilihanraya.

Sejak Dr Zambry mengambil-ahli tampuk pemerintahan negeri Perak, beliau didapati masih tidak dapat menyatukan Umno Perak yang kini telah berpecah kepada tiga puak, iaitu yang terbesar dipimpin oleh bekas menteri besar Tajol Rosli, satu lagi puak yang diterajui oleh menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, manakala satu lagi dipimpin oleh beliau.

Semua orang amat jelas bahawa Umno Perak masih berada di bawah genggaman Tajol dan Zahid manaka Dr Zambry sendiri sehingga pada hari ini juga masih tidak dapat memperkukuhkan kedudukannya walaupun telah menjawat jawatan menteri besar dan pengerusi perhubungan Umno Perak.

Malah yang lebih teruk lagi adalah ramai di antara ketua-ketua bahagian Umno di negeri tersebut langsung tidak menghormati Dr Zambry selaku menteri besar dan pengerusi perhubungan Umno negeri. Kebanyakan keputusan-keputusan yang penting bagi Umno Perak masih ditentukan oleh Tajol dan Zahid. Apakah daya Dr Zambry yang hanya terpaksa akur kepada keadaan tersebut dan menerima "arahan" tersebut daripada kedua-dua pemimpin puak yang terrbesar dalam Umno Perak.

Terdapat juga khabar angin daripada akar umbi Umno bahawa Zahid mungkin akan menggantikan Dr Zambry sebagai menteri besar selepas pilihanraya umum yang akan datang dan sekiranya Umno dan BN dapat menguasai semula negeri tersebut. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa Dr Zambry hanya dilihat sebagai "pemangku menteri besar" dan akan diarah untuk memberi laluan kepada Zahid selepas itu.

Adakah Dr Zambry mendapat sokongan daripada parti-parti komponen BN yang lain dalam negeri tersebut, khususnya MCA, MIC, Gerakan dan PPP? Ya, keempat-empat parti komponen BN inilah yang menyokong kuat Dr Zambry, tetapi apakah daya MCA, MIC, Gerakan dan PPP untuk mempertahankan Dr Zambry daripada asakan oleh puak-puak dalaman Umno yang lebih berkuasa?

Apakah relevannya MCA, MIC, Gerakan dan PPP di negeri Perak? MCA hanya ada satu ADUN sahaja, manakala MIC, Gerakan dan PPP telahpun lenyap ditelan arus pada pilihanraya umum pada tahun 2008 yang lalu. Jelasnya, MCA, MIC, Gerakan dan PPP sudah tidak relevan lagi di negeri tersebut. Malah, presiden MIC Datuk G.Palanivel yang pernah disebut akan bertanding di Perak turut bimbang dan tidak yakin dengan sebarang kemenangan di negeri tersebut lalu memindahkan hasrat beliau ke kawasan yang lebih selamat, iaitu Cameron Highlands yang kini disandang oleh seorang lagi pemimpin MIC.

Oleh itu, dapatkah Dr Zambry berbuat sesuatu untuk mempertahankan kedudukannya? Beliau tidak dapat berbuat apa-apa, kerana hubungan beliau dengan presiden Umno pun telah disekat oleh Tajol dan Zahid. Terdapat juga sumber-sumber dalaman Dr Zambry yang turut mengakui bahawa BN tidak akan dapat memenangi semula Perak pada pilihanraya umum yang akan datang dan para penyokong beliau ada menyeru agar beliau jangan bertungkus-lumus lagi kerana manfaat tersebut akan dirampas oleh para pemimpin Umno yang lain.

Orang-orang dalam Umno sendiri tidak menyokongnya; MCA, MIC, Gerakan dan PPP yang menyokong kuat tetapi tidak lagi relevan, dapatkah Dr Zambry menagih simpati daripada rakyat jelata bagi menyelamatkan kedudukannya? Jawapannya adalah, rakyat negeri tersebut masih mengingati peristiwa pemberontakan dan rampasan kuasa yang berlaku pada bulan Februari 2009 yang lalu.

Itulah hakikat yang Dr Zambry terpaksa hadapi! Bukan sahaja rakyat jelata yang menentang beliau, malah orang-orang Umno juga tidak menyukainya dan menentangnya dari dalam parti.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

No action against YBs without speaker's consent