Skandal kapal selam Scorpene, BN usah terlalu gembira
Sebaik sahaja ada berita yang mengatakan Altantuya Shaariibuu tidak pernah menjejak kakinya di Perancis, ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) segera melafazkan rasa gembiranya mereka dan segera membidas pertubuhan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan menuduhnya cuba memburukkan imej negara dan perdana menteri.
Wahai para pemimpin BN, siasatan yang kini sedang diusahakan oleh tribunal kehakiman Perancis di Paris itu masih berjalan dan ianya akan mengambil masa yang agak panjang bagi mengesahkan segala maklumat yang diperolehi daripada kenyataan-kenyataan yang sedang, telah dan akan diberi oleh ramai saksi-saksi yang telah disenaraikan.
Kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh seseorang saksi itu berkemungkinan tidak tepat dan ada yang bertujuan untuk melindungi diri dan kedudukan mereka sendiri, malah ada yang memberikan kenyataan seperti yang diarah oleh pihak-pihak yang tertentu bagi memastikan hubungan diplomatik di antara Perancis dan Malaysia tidak akan terjejas akibat daripada skandal tersebut.
Yang berharap sekarang adalah agar tribunal kehakiman yang menyiasat dan mengkaji dengan lebih mendalam skandal tersebut akan bertindak seadil yang boleh di samping melaksanakan amanatnya secara profesional. Tak perlu bergesa-gesa untuk menyelesaikan kes tersebut jika sekiranya skandal tersebut didapati sangat rumit untuk disiasat atau dikaji.
Laporan terbaru beberapa agensi berita mengesahkan bahawa Altantuya sememangnya berada di Paris, Perancis sewaktu urusniaga jual-beli kapal selam tersebut dibuat oleh kedua-dua pihak. Malah ada beberapa gambar yang jelas menunjukkan Altantuya sedang bergembira di kotaraya Paris.
Jika skandal tersebut melibatkan mereka-mereka yang sangat berkuasa, perkara-perkara yang aneh juga berkemungkinan boleh berlaku bagi menutup atau memadam seberapa banyak yang boleh bukti-bukti yang boleh mensabitkan kesalahan mereka-mereka yang memegang tampuk kekuasaan di atas sana.
Oleh itu, kami menasihati Najib, Abdul Razak Baginda dan semua pemimpin BN agar usah bergembira dengan begitu cepat ataupun dengan nada yang tinggi menuntut agar Suaram meminta maaf. Tribunal kehakiman Perancis itu masih wujud dan sedang menjalankan prosidingnya dengan teliti.