Siapakah akan memantau pembaharuan pilihanraya?
(Rencana ini telah disiarkan dalam portal berita
Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Bagi
mendidik dan memastikan rakyat jelata sedar dan faham akan hak asasi mereka,
Jawatankuasa Pengelola Bersih seharusnya meneruskan beberapa siri program murni
mereka ke seluruh pelusuk tanahair bagi menjelaskan kepada rakyat jelata mengenai
perlunya pembaharuan di dalam pilihanraya itu dilaksanakan dengan segera bagi
memastikan hak mengundi rakyat kita terjamin dan kedudukan politik negara kita
ini tidak terus dicerobohi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang
kebanyakannya telah berjaya menyusup masuk ke dalam senarai daftar pemilih..
Ada beberapa
pihak yang mengemukakan cadangan mereka agar Jawatankuasa Pilihan Parlimen
(PSC) bagi Pembaharuan Pilihanraya dinaiktarf menjadi satu PSC yang tetap bagi
memerhati dan mengawalselia pembaharuan
sistem pilihanraya di negara ini dalam semua aspek dan jadual perlaksanaan, dan
pada masa yang sama PSC itu juga boleh bertindak sebagai satu badan pemantau
dan penasihat kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Di pihak SPR
pula, menurutnya mereka telahpun mengumumkan dengan begitu cepat sekali bahawa
mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang
akan datang pada bila-bila masa. Persoalannya adalah bagaimana dengan 32
cadangan pembaharuan yang telah dikemukakan oleh PSC bagi Pembaharuan
Pilihanraya sebelum ini?
Apakah
perkembangan terbaru mengenai hasil perlaksanaan 32 cadangan yang diketengahkan
oleh PSC itu? Adakah SPR betul-betul telah menjalankan tanggungjawabnya dengan
perlaksanaan 32 cadangan tersebut? Siapakah yang akan memantau perlaksanaan
pembaharuan tersebut? Inilah persoalan yang masih tidak dapat dijawap oleh SPR
sehingga ke hari ini. Sama ada pihak pengurusan SPR itu degil atau hanya tunduk
kepada arahan para pemimpin Umno dan BN, itu kita tidak dapat pasti.
Pada bulan
Februari 2012 yang lalu, kerajaan pusat BN telah memberi arahan perlaksanaan
agar dakwat kekal itu digunakan pada PRU13 yang akan datang bagi memastikan
agar para pengundi tidak mengundi lebih daripada sekali. Pada hujung April 2912
pula, SPR telah mengumumkan bahawa pihaknya telah berjaya mengurangkan bilangan
pengundi yang tidak dapat dikenalpasti, tersalah senarai, tidak wujud, nama
palsu dan sebagainya daripada senarai daftar pemilih kepada 40,803 daripada
jumlah sebelum ini iaitu pada 42,000 pada Januari 2012 yang lalu.
Walaubagaimanapun,
sejauah manakah pembaharuan pilihanraya itu telah dilaksanakan dan bagaimanakah
ianya dijalankan masih menjadi tanda tanya dan dipersoal banyak pihak akan
kesahihannya.
Selain
daripada itu, SPR juga didapati tidak serius di dalam menangani masalah senarai
daftar pemilih yang mempunyai ramai pengundi yang tidak dapat dikenalpasti,
tersalah senarai, tidak wujud, nama palsu dan kes-kes terlalu ramai pengundi
yang bermastautin di dalam satu alamat rumah. Ekoran daripada itu, PSC juga
telah mencadangkan agar MIMOS Berhad dipertanggungjawabkan memantau masalah
tersebut dan melaksanakan proses mengemaskinikan senarai daftar pemilih. Namun
begitu, cadangan tetap cadangan dan ianya masih belum dilaksanakan sehingga ke
hari ini.
PSC sebelum
ini juga telah mengesyorkan agar SPR segera mempamerkan senarai daftar pemilih
kepada umum dalam masa 45 hari sebagai salah satu daripada langkah awal untuk
mengemaskinikan senarai tersebut. Setelah lebih daripada 7 minggu cadangan PSC
itu dikemukakan, SPR masih gagal mengambil langkah tersebut yang disifatkan
rakyat jelata sebagai keterlaluan dan kurang ajar.
Saranan jadikan PSC badan tetap
Oleh keraa
SPR tidak prihatin dan sehingga pada hari ini gagal mengambil langkah-langkah
pembaharuan yang sewajarnya seperti yang telah disyorkan oleh PSC, jawatankuasa bertaraf parlimen tersebut
seharusnya dilantik semula dan dinaiktarafkan sebagai sebuah badan tetap bagi
memantau pembaharuan-pembaharuan yang perlu dilaksanakan, menjalankan kerja-kerja
mengaudit perlaksanaan di dalam SPR, memeriksa sistem dan pengurusan dari masa
ke semasa dan sebagainya.
Walaupun PSC
itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarah SPR untuk melaksanakan beberapa siri
pembaharuan tersebut, namum PSC seperti yang telah disebut tadi dapat memainkan
peranan mereka dari segi pemantauan, sebagai juruaudit atau pemeriksa urus dan
pada masa yang sama memberikan penekanan yang berterusan melalui sidang
parlimen agar ianya dapat diajukan kepada SPR sebagai arahan untuk perlaksanaan
tersebut dijalankan.
Selain
daripada itu, hasil usaha dan pengalaman ahli-ahli PSC yang lalu tidak
seharusnya disiar-siarkan dengan begitu sahaja dan peranan mereka wajar
diteruskan bagi memastikan agar perlaksanaan pembaharuan pilihanraya tersebut dijalankan
dengan sepenuhnya.
Kurangnya usaha dan pendekatan politik
Kenapa
apabila ahli-ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat mengemukakan beberapa usul
agar SPR dipantau mengenai cadang pembaharuan tersebut, ahli-ahli daripada BN
pula yang menentang keras dengan mengatakan bahawa perlaksanaan pembaharuan di
dalam SPR itu tidak memerlukan campurtangan politik?
Bukankah
telah disahkan baru-baru ini yang pengerusi dan timbalan pengerusi SPR adalah
juga ahli-ahli Umno? Akibat daripada itu, SPR jelas telah diUmnokan.
Dan jikalau
pembaharuan tersebut tidak dipantau dengan desakan-desakan politik, yakinkah
pembaharuan tersebut akan dilaksanakan dengan sepenuhnya? Jawapannya adalah
tidak, kerana sekiranya rakyat biasa atau NGO yang akan memberikan penekanan tersebut,
adakah ianya akan berkesan? Tidak! Kerana SPR akan menjawab balas dengan
mengatakan rakyat jelata dan NGO tidak dapat berbuat demikian kerana pengurusan
dalam SPR adalah tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Walaupun ada
cadangan agar PSC bagi Pembaharuan Pilihanraya harus dikekalkan dan dijadikan
sebagai sebuah badan tetap, terdapat perbezaan pendapat di kalangan umum yang
mengatakan PSC itu tidak mempunyai pendekatan politik yang berkesan bagi
memastikan agar cadangan dan usulnya digunapakai dengan sepenuhnya.
Oleh kerana
tidak ada undang-undang yang memperuntukan PSC itu untuk menguasai proses dan
perlaksanaan, kerajaan tidak semestinya akan mengikuti segala cadangan dan usul
yang dikemukakan PSC tersebut.
Selain
daripada itu, jumlah keahlian yang terbahagi di antara ahli-ahli parlimen BN,
Pakatan dan Bebas itu juga didapati tidak seimbang. Oleh kerana bilangan
ahli-ahli BN adalah lebih ramai, BN juga dapat mengambil kesempatan dengan
menggunakan majoriti mereka untuk menolak sebarang cadangan dan pendapat yang
dikemukakn oleh ahli-ahli Pakatan dan Bebas.
Dalam pada
itu, secara teknikal, sesebuah PSC itu
adalah di bawah parlimen dan jika sekiranya parlimen dibubarkan, maka PSC itu
akan juga terbubar secara automatik.
Negara kita
ini telahpun mempunyai pelbagai institusi-institusi dan ianya sudah mencukupi
untuk menggerakkan sesuatu perlaksanaan dasar pada umumnya. Namun, kelemahan
pada sistem yang ada sekarang adalah kerana kurangnya pendekatan politik
terhadap usaha-usaha tersebut. Kelemahan tersebut adalah disebabkan kerajaan BN
yang mempnyai majoriti di dalam parlimen tidak dan enggan menghormati
sepenuhnya proses demokrasi tulen dan konsep perkongsian kuasa di negara ini
dengan amalan ketelusan, kejujuran, kecekapan dan akauntabiliti bagi
membolehkan sistem perkhidmatan awam negara ini menjadi sebuah badan
profesional.
Oleh yang
demikian, kita tidak mempunyai pilihan lagi, walaupun rakyat jelata dan para
NGO tidak mempnyai kuasa untuk memantau, namum, rakyat jelata dan para NGO yang
begitu ramai masih mempunyai kekuatan yang tidak terbilang jumlahnya melalui
Bersih 2.0 dan 3.0 dapat berkumpul dan berhimpun secara beramai-ramai di
seluruh negara bagi membantah ketidakprihatinan dan kediktatoran kerajaan BN
yang cuba menyekat dan mengekang amalan demokrasi.