Siapakah yang tidak inginkan kestabilan?

Siapakah yang tidak inginkan kestabilan dalam negara kita ini? Kami rasa setiap rakyat teringin sangat akan kestabilan yang berkekalan di dalam negara kita ini. Bukan sahaja rakyat biasa daripada kelas pekerja, bahkan para peniaga dan orang-orang yang kaya raya juga inginkan kestabilan.

Jika tinjau keadaan di peringkat akar umbi dan menemuramah orang ramai, baik orang Melayu, Cina, India mahupun yang berbangsa Kadazan, Dayak dan sebagainya, kesemua mereka akan memeberikan jawapan yang sama iaitu, mereka mahukan keamanan dan kestabilan yang sejagat bagi menjana ekonomi dan pendapatan harian mereka.

Kestabilan politik dalam negara ini adalah juga bergantung penuh kepada kerajaan yang ada sekarang, sama ada ianya dapat mengurus-tadbir negara ini dengan baik, mengamalkan ketelusan dan keadilan untuk semua rakyat, memastikan kewangan, pengurusan dan pentadbiran negara bebas daripada cengkaman rasuah serta memastikan kebajikan rakyat senantiasa terpelihara.

Jadi apa yang disebut oleh perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak baru-baru ini bahawa kestabilan negara kita ini adalah bergantung kepada rakyat adalah tidak logik sama sekali.

Kestabilan negara kita ini adalah berdasarkan bagaimana negara ini diuruskan oleh kerajaan yang ada sekarang. Kita tengoklah keadaan dan suasana politik disekeliling kita pada hari ini. Ianya penuh dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan peruntukan dan kewangan, penipuan dan perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal, skandal-skandal yang melibatkan kerugian berbilion-bilion Ringgit, ketidakadilan di dalam sistem pengurusan pilihanraya, politik perkauman yang semakin ekstrim dan banyak lagi.

Gejala-gejala negatif yang kian berleluasa di dalam negara ini telah menimbulkan ketidakpuasan di kalangan rakyat jelata. Jadi siapakah yang menyebabkan rakyat jelata tidak puashati, lalu bangkit membantah pemerintahan kerajaan yang ada sekarang? Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pelbagai masalah dan ketidakstabilan yang semakin runcing sekarang?

Kita ingin menasihati Najib agar tidak menuding jari dan menyalahkan rakyat jelata di atas ketidakstabilan ekonomi dan politik yang melanda negara kita sekarang ini. Kerajaan BN pimpinan Najib haruslah memikul tanggungjawab tersebut kerana kelemahan pentadbiran beliau yang penuh dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang tidak terkawal.

Jikalau kerajaan tidak cekap mahupun telus, dan senantiasa mengamalkan rasuah, adakah para pelabur asing akan berasa yakin untuk datang ke negara kita ini untuk melabur? Sudah tentunya tidak.

Kita semua inginkan kestabilan, kerana dengan adanya kestabilan, rakyat dapat keluar memperoleh pendapatan, bekerja, berniaga, mendapatkan keperluan harian, menghantar anak-anak ke sekolah, bercampur gaul dengan masyarakat berbilang kaum, mengeratkan perpaduan dan sebagainya.

Oleh itu, harap Najib atau para pemimpin BN yang lain tidak putarbelitkan keadaan sekarang dan jangan menyalahkan rakyat di atas kepincangan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara kita sekarang. Jangan lari daripada tanggungjawab itu!

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork