Sistem Dua Parti Akan Hadkan Demokrasi

Sejak daripada tahun 2008 lagi, iaitu selepas pilihanraya umum ke-12, di mana parti-parti pembangkang yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) telah mencapai kemenangan yang memberangsangkan di mana mereka berjaya memecahkan majoriti dua pertiga yang selama ini dipegang dengan kukuh oleh Barisan Nasional (BN), ramai di kalangan kita asyik mengketengahkan cadangan agar sistem dua parti dapat diamalkan di negara kita ini bagi memastikan parti-parti politik yang menguasai kerajaan ataupun menjadi pembangkang utama itu tidak menjadi terlalu berkuasa dan memonopoli keseluruhan politik dalam negara kita ini.

Namun demikian, sistem dua parti tersebut, walaupun ada kebaikannya untuk menandingi parti politik yang masih berkuasa, ianya juga ada yang tidak baik dari segi amalan demokrasi pada keseluruhannya. Kenapa perlu kita menghadkan amalan demokrasi di negara kita ini dengan hanya membariskan dua parti sahaja di dalam arena politik dan pilihanraya umum? Adakah kita inginkan suatu kesenangan sewaktu memilih ataupun mengundi? Adakah rakyat kita tidak lagi yakin dengan parti-parti politik yang lain yang berkemungkinan dapat menyumbang kepada aspirasi dan pembangunan negara? Kenapa pula rakyat perlu menolak dan tidak memberikan peluang kepada parti-parti politik lain yang berada di luar gabungan BN dan Pakatan?

Yang perlu kita fahami di sini adalah amalan demokrasi yang sejagat bukan bermakna amalan politik yang berpecah belah. Amalan demokrasi ini bermaksud Sistem Pelbagai Parti yang akan memberikan peluang yang lebih luas kepada parti-parti politik yang berkenaan untuk mengketengahkan agenda negara ataupun manifesto mereka untuk tatapan umum agar rakyat jelata dan pengundi dapat mengkaji dan menganggapnya sebagai satu lagi pilihan alternatif bagi negara.

Selain daripada itu, jikalau sistem dua parti (saingan di antara BN dan Pakatan sahaja) yang menjadi tumpuan di negara ini, adalah dibimbangi kedua-dua gabungan parti kerajaan dan pembangkang ini akan menjadi terlalu berkuasa, dominan dan pada masa yang sama akan menimbulkan satu suasana di mana rakyat jelata atau pengundi akan tidak mempunyai sebarang pilihan lagi selain daripada BN dan Pakatan. Kenapa pula kita perlu melalui keadaan yang sebegini sedangkan di dalam amalan demokrasi, rakyat jelatalah yang sepatutnya menjadi penentu mutlak dan bukannya ahli-ahli serta para pemimpin politik.

Dengan sistem dua parti ini, ianya akan menyebabkan rakyat jelata dan pengundi berada di dalam keadaan yang tidak menentu, berkeadaan seperti seakan-akan "terpaksa berbuat demikian" oleh kerana tidak ada pilihan lain lagi selain daripada BN dan Pakatan. Jikalau bukan BN, maka Pakatan lah yang akan berkuasa dan jika Pakatan tidak memuaskan, maka BN akan dikembalikan, itu sahaja? Akibatnya adalah, rakyat akan kehilangan hak penentu mereka tidak lama lagi kerana pilihan mereka hanyalah terhad kepada dua parti berkenaan. Sememangnya ianya tidak akan membawa faedah kepada rakyat jelata dalam jangkamasa yang panjang, kerana di dalam konteks dan amalan ini, rupa-rupanya ahli-ahli serta pemimpin politik yang akan menguasai rakyat dan keadaan politik di dalam negara kita ini.

Rakyat perlu juga menyedari bahawa mereka lah penentu halatuju negara ini dan hak mutlak mereka adalah untuk memastikan agar negara ini ditadbir dengan sempurna, kerajaan yang dipilih itu perlu melaksanakan pembangunan yang arif, adil dan saksama untuk rakyat jelata, sementara di pihak pembangkang pula, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memastikan agar jentera kerajaan dan pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan itu dijalankan dengan sempurna, mengikut peraturan, memastikan rakyat jelata menerima faedah tersebut serta bebas daripada sebarang amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan elemen-elemen negatif yang lain.

Apa kata jika sekiranya di dalam sistem dua parti tersebut, kedua-dua BN dan Pakatan telahpun mempunyai pengalaman memerintah, dan pada masa yang sama kedua-dua BN dan Pakatan turut mempunyai kelemahan-kelemahan yang mengecewakan? Rakyat tidak akan mempunyai pilihan yang lebih luas, lantas terpaksa memilih parti yang "pernah mengecewakan" mereka oleh kerana parti yang ada sekarang telah "mengecewakan" mereka.

Selain daripada parti-parti politik yang bergabung di bawah BN dan Pakatan, negara kita juga mempunyai parti-parti politik yang lain yang juga mampu memberikan khidmat mereka kepada rakyat jelata jika sekiranya mereka ini diberikan peluang untuk berbuat demikian, seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Hijau Malaysia (GPM), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Reformasi Negeri (Star), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Hak Asasi Manusia (HRP), Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) dan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia (PPM).

Kenapa pula kita perlu hanya menumpukan perhatian dan tenaga mereka kepada BN dan Pakatan sahaja sementara banyak parti-parti politik yang masih berada di sana yang telah sedia untuk memberikan khidmat mereka untuk rakyat, bukannya untuk merebut kuasa. Kedua-dua BN dan Pakatan kini telah menjadi lebih berkuasa dan berpengaruh masing-masing dan sedang bersaing dengan begitu hebat sekali sehinggakan kepentingan negara berkemungkinan akan dilupakan semata-mata kepentingan politik kedua-dua gabungan tersebut.

Oleh yang demikian, parti-parti politik yang berada di luar BN dan Pakatan masih diperlukan bagi memastikan agar amalan periksa dan perseimbangan (check and balance) itu dapat dikekalkan dan kepentingan rakyat jelata akan senantiasa mendapat perhatian yang sewajarnya.

Fikirkanlah. Masa depan negara ini berada di dalam tangan kita sendiri. 

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork