Kabinet bayangan Pakatan perlu ada pendekatan yang jelas
(Rencana ini telah disiarkan
di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)
Baru-baru
ini, terdapat banyak komentar berkenaan dengan senarai kabinet bayangan yang
diumumkan oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sebagai persediaan awal
pakatan parti-parti pembangkang tersebut untuk mengambil-alih kerajaan
persekutuan di dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.
Ulasan para
pemimpin BN mengenai senarai kabinet bayangan PR itu adalah jelas, para
pemimpin PR masih tidak dapat bersependapat mengenai pembahagian
portfolio-portfolio di kalangan parti-parti gabungan PR, maksud BN, PR masih
berpecah dan tidak teguh, justeru daripada itu tidak layak memerintah negara
ini.
Pendapat
daripada kalangan umum pula, barisan kabinet bayangan PR itu tidak jelas dan
tidak menonjolkan siapakah sebenarnya yang akan menjawat jawatan-jawatan
menteri di dalam kerajaan persekutuan yang baru, sekiranya PR berjaya menguasai
Putrajaya pada PRU13 yang akan datang nanti.
Di dalam
kabinet bayangan yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan PR, terdapat 16 menteri
termasuk jawatan perdana menteri dan timbalannya seperti yang berikut:
a) Perdana
Menteri
b) Timbalan
Perdana Menteri
c) Menteri
Kewangan
d) Menteri
Pendidikan
e) Menteri
Dalam Negeri
f) Menteri
Pertahanan
g) Menteri
Undang-undang (baru)
h) Menteri
Kesihatan
i) Menteri
Pengangkutan
j) Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri
k) Menteri
Pertanian
l) Menteri
Hal-ehwal Luar
m) Menteri
Wilayah Persekutuan dan Pembangunan Luar Bandar
n) Menteri Alam
Sekitar
o) Menteri
Hal-ehwal Wanita
p) Menteri
Hubungan Kaum dan Dialog Antara Agama (baru)
Biarpun
jawatan-jawatan kabinet PR itu adalah kurang daripada BN dan boleh menampakkan suatu
usaha penjimatan, namun didapati terlalu banyak nama terikat kepada setiap
jawatan kabinet tersebut dan ianya telah menimbulkan banyak tanda tanya di
kalangan umum mengenai siapakah yang akan menjadi menteri, timbalan menteri
ataupun setiausaha parlimen dan sama ada nama-nama yang tertera di barisan
pertama akan menjadi menteri, manakala barisan kedua akan menjadi timbalan
menteri dan sebagainya.
Jawatankuasa Parlimen Berportfolio
Daripada
menyumbat terlalu ramai orang pada setiap kementerian-kementerian, adalah lebih
baik jika para pemimpin PR membentuk Jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen
Berportfolio bagi memerhati dan memantau prestasi setiap kementerian yang ada.
Dengan
adanya jawatankuasa-jawatankuasa yang sedemikian, ianya akan dapat memastikan
prestasi, perjalanan pengurusan dan belanjawan di setiap kementerian dilaksanakan
secara cekap, telus, amanah dan bebas daripada sebarang salahguna kuasa ataupun
penyelewengan.
Sebagai
makluman, sistem jawatankuasa-jawatankuasa parlimen berporfolio ini telahpun
dilaksanakan dengan jayanya di beberapa buah negara seperti New Zealand,
Australia, Great Britain, Amerika Syarikat dan Kanada. Contohnya, Jawatankuasa
Parlimen bagi Pertahanan di Australia yang mengawasi perjalanan pentadbiran di
dalam Kementerian Pertahanan Australia; Jawatankuasa Kongress bagi Perisikan
Amerika yang mengawasi prestasi semua jabatan-jabatan perisikan di Amerika
Syarikat; Jawatankuasa Senat bagi Kewangan di New Zealand dan lain-lain lagi.
Keahlian
jawatankuasa-jawatankuasa peringkat parlimen seperti di atas adalah terbuka dan
diagihkan kepada ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang. Dan jika
sekiranya, PR berjaya menguasai kerajaan persekutuan di dalam PRU13 yang akan
datang, mereka juga hendaklah membentuk sistem yang sedemikian di parlimen yang
akan merangkumi wakil-wakil daripada PR, BN serta parti-parti pembangkang yang
lain.
Selain
daripada itu, pakar-pakar daripada luar dan para penyelidik (bukan ahli-ahli
parlimen) juga boleh dijemput untuk menduduki jawatankuasa-jawatankuasa
peringkat parlimen ini untuk memberikan khidmat nasihat pakar yang perlu bagi
membolehkan ahli-ahli parlimen membuat keputusan mereka dengan lebih adil dan
tepat untuk kepentingan umum.
Pakatan kurang pengalaman mentadbir
Menurut para
pemimpin BN, pemimpin-pemimpin PR sememangnya tidak mempunyai pengalaman
langsung di dalam pentadbiran kerajaan. Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa
BN mempunyai pengalaman lebih daripada 50 tahun di dalam pentadbiran kerajaan
dan pada masa yang sama, pengalaman mereka di dalam bidang rasuah,
penyelewengan dan salahguna kuasa juga amat meluas di kalangan pemimpin BN.
Sepanjang
pemerintahan BN, defisit belanjawan negara sentiasa meningkat pada setiap tahun
dan begitu juga dengan kadar inflasi. Skandal-skandal yang berlaku dan yang
sedang berlaku telah banyak merugikan kerajaan kerana ianya melibatkan
kehilangan berbilion-bilion Ringgit yang telah lesap dengan begitu sahaja.
Sementara di
negeri-negeri Pulau Pinang dan Selangor pula yang kini diperintah oleh PR sejak
daripada April 2008 lagi, prestasi kewangan dan ekonomi di kedua-dua negeri telah
menampakkan pencapaian yang amat positif sekali di mana defisit di kedua-dua
negeri tersebut telah banyak dikurangkan dan pelaburan semakin meningkat.
Hutang Pulau
Pinang telah berjaya dikurangkan daripada RM630 juta kepada RM30 juta sementara
tabung perbendaharaan negeri Selangor telah meningkat sebanyak RM1.9 bilion
pada tahun akhir 2011. Dan ini adalah merupakan satu pencapaian yang berjaya
dibuktikan oleh para pemimpin PR yang tidak mempunyai pengalaman mentadbir
kerajaan sebelum ini.
PRU13 kian dekat
dan para pemimpin PR perlu menyedari bahawa rakyat masih belim begitu yakin
dengan kebolehan mereka untuk mentadbir kerajaan persekutuan walaupun sudah
terdapat contoh pencapaian di peringkat negeri, kerana berdasarkan barisan
kabinet bayangan yang ada sekarang tidak menampakkan pendekatan yang jelas dan
semangat perpaduan di kalangan parti-parti gabungan PR yang masih belum kukuh
dan asyik diambil kesempatan oleh BN apabila terdapat isu-isu sensitif yang
berbangkit.