Kenapa BN menentang keras pilihanraya kerajaan tempatan?

(Rencana ini telah disiarkan di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)

Di atas permukaan, Barisan Nasional (BN) mungkin bersetuju dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam dua perkara: penyertaan wakil-wakil pelbagai kaum dan agama, dan pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan.

Konsep 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang diilhamkan oleh perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak adalah merupakan jawapan balas pihak BN terhadap konsep Ketuanan Rakyat dan dasar  Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diketengahkan oleh PR.

Namun demikian, kedua-dua BN dan PR kini berbeza pendapat dalam satu perkara: pilihanraya kerajaan tempatan. Sementara negeri Pulau Pinang dan Selangor telahpun menghubungi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan, BN pula menentang keras cadangan tersebut.

Persoalannya adalah, kenapa BN menentang habis-habisan cadangan untuk menghidupkan semula pilihanraya kerajaan tempatan yang sangat diperjuangkan oleh para pemimpin PR?

Pilihanraya parlimen dan negeri?

Najib membantah keras cadangan pilihanraya kerajaan tempatan kerana menurutnya, akan mengakibatkan terlalu banyak politik. Jelas beliau, mereka yang bertanding untuk jawatan ahli majlis akan lebih menumpukan perhatian mereka untuk berkempen dan berpolitik daripada menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan.

Jika diperlogikkan kenyataan Najib itu, kita juga tidak sepatutnya mengadakan pilihanraya parlimen dan negeri kerana ahli-ahli parlimen dan dewan undangan negeri yang “dilantik” oleh kerajaan akan membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan kerana mereka tidak perlu melalui sebarang proses pilihanraya.

Dan jika begitu, ahli-ahli Dewan Negara atau Senator adalah merupakan pegawai perkhidmatan politik yang “paling efisien” dalan negara ini.

Menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Nazri Aziz turut menyatakan tentangannya terhadap pilihanraya kerajaan tempatan berdasarkan konflik antara pentadbiran atau peringkat yang bakal timbul. Menurut Nazri, rakyat akan menerima akibatnya sekiranya kerajaan tempatan yang dipilih tidak sependapat dengan kerajaan negeri. Nazri turut menekankan bahawa sipemenang haruslah memiliki segala kuasa dan dengan itu, kerajaan pusat akan dapat menguruskan pembahagian peruntukan dan kewangan dengan lebih mudah.

Dan jika diperlogikkan kata-kata Nazri itu, adalah lebih baik jangan diadakan pilihanraya dewan undangan negeri dan hanya pilihanraya parlimen sahaja diadakan. Dengan itu, mana-mana parti yang berjaya menguasai kerajaan pusat akan menguasai semua kerajaan negeri dan justeru dari itu, akan dapat menguruskan pembahagian peruntukan dan kewangannya dengan lebih mudah.

Setelah kita melalui ulangtahun keempat tsunami politik  yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu, adakah kita akan menerima keadaan di mana negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sepatutnya terus di bawah genggaman BN bagi mempermudahkan pentadbiran dan pembangunan kononnya?

Implikasi yang berasingan di antara dia gabungan BN dan PR tersebut mengenai pilihanraya kerajaan tempatan adalah jelas: BN menentang keras pendemokrasian sementara PR mahukan demokrasi kerajaan tempatan dipulihkan dengan segera. Secara teorinya, BN mencadangkan sistem yang lebih inklusif dan efisien dengan demokrasi yang terhad untuk negara ini, manakala PR pula menawarkan sistem yang lebih inklusif, lebih efisien dan ruang demokrasi yang lebih luas untuk rakyat dan negara kita.

Sekiranya anda semua mempercayai bahawa peristiwa yang berlaku pada 8 Mac 2008 yang lalu adalah merupakan titik permulaan rakyat jelata telah mula memiliki hak mereka untuk menentukan halatuju politik negara ini, maka kepercayaan itulah yang kini sedang ditentang oleh BN.

Anak yang sepadan dengan bapa

Bagi Najib, tujuan sesebuah kerajaan dilihatnya adalah hanya untuk memberikan “perkhidmatan yang baik”  mengikut kehendak parti pimpinannya dan bukannya rakyat jelata yang menentukan bagaimana negara ini harus diperintah.

Mendiang ayah Najib, perdana menteri yang kedua, Tun Abdul Razak juga memandang serong terhadap demokrasi. Tun Razak pada masa itu pernah berkata, “pandangan kami mengenai sebuah kerajaan demokrasi adalah suatu bentuk pemerintahan yang boleh diterima pakai selagi ianya diperlihara dan keadaan tersebut boleh diubah mengikut keadaan yang bersesuaian dengan ekonomi semasa”.

Kenapa Tun Razak hanya ingin mengekalkan bentuk kerajaan yang demokratik dan tidak pula terhadap amalan demokrasi yang sejagat? Ini adalah kerana beliau telah memerhati keadaan yang tidak bersesuaian di antara demokrasi dan perpaduan antara kaum. Dalam tahun 1973 yang lalu, beliau ada dipetik sebagai berkata, “di dalam masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini, di mana ianya berdasarkan manifestasi perkauman, sebarang bentuk pemikiran dan kegiatan politik akan berdasarkan garis pemisahan kaum yang jelas dan ianya akan menambahkan jurang di antara kaum di kalangan rakyat”.

39 tahun kemudian, anaknya Najib turut menyebut perkara yang hampir sama memgenai pilihanraya kerajaan tempatan, “kita merasakan ianya akan meningkatkan kegiatan berpolitik di peringkat kerajaan tempatan, jika pilihanraya kerajaan tempatan itu diadakan, kerana pada amnya semua pihak akan hanya lebih bertumpu kepada proses politik daripada perkhidmatan untuk rakyat”.

Pilihanraya pertengahan penggal

Tentangan Najib terhadap cadangan pilihanraya kerajaan tempatan berkemungkinan ada rasionalnya. Sekiranya seseorang pemimpin ingin mengekalkan sistem satu parti, beliau akan memastikan pilihanraya dihadkan sebanyak mungkin di semua peringkat.

Pilihanraya kerajaan tempatan boleh membawa masalah kepada golongan autokrat dalam pelbagai cara: bukan sahaja ianya akan menambah bilangan pilihanraya, bahkan ia akan juga dijadikan sebagai pemilihan pertengahan penggal untuk kerajaan pusat dan negeri-negeri di mana rakyat jelata mungkin akan menggunakan saluran pengundian tersebut untuk menunjukkan protes mereka terhadap sesuatu dasar kerajaan pusat atau negeri.

Pilihanraya pertengahan penggal ini telah memberikan satu cabaran dan tamparan buat BN sejak dari tahun 1959 lagi di mana pemilihan tersebut diadakan pada masa dan di kawasan yang berbeza dan walaupun perbezaannya adalah tidak ketara (beberapa bulan sebelum pilihanraya parlimen), namun kesannya masih dapat dirasai. Akibatnya, BN tewas teruk di Kelantan dan Terengganu pada masa itu.

Bermula tahun 1964, BN telah mengusahakan pelbagai langkah bagi memastikan pilihanraya parlimen dan dewan undang negeri diadakan serentak bagi kesemua negeri kecuali Kelantan, Sarawak dan Sabah di mana ketiga-tiga negeri tersebut mengadakan pilihanraya pada masa yang berlainan.

Dalam tahun 1965 pula, perdana menteri pada masa itu,Tunku Abdul Rahman telah menggantung pilihanraya kerajaan tempatan atas alasan keselamatan negara dan beliau telah berjanji akan memulihkan demokrasi kerajaan tempatan setelah konfrontasi Indonesia tamat.

Akan tetapi, pilihanraya kerajaan tempatan dimansuhkan terus apabila rang undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976 diperkenalkan.

Jika SPR masih enggan

Kita semua sudah menjangka bahawa SPR tidak akan melayan sama sekali permintaan kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor agar pilihanraya kerajaan tempatan diadakan di kedua-dua negeri tersebut berikutan bantahan terbuka perdana menteri.

Sekiranya SPR enggan memberikan kerjasama, apakah yang patut dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor? Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Menteri Besar Khalid Ibrahim mempunyai tiga pilihan:

  • Menerima penolakan SPR dan menyalahkan undang-undang persekutuan yang sedia ada yang menghalang usaha tersebut, seterusnya menggugurkan hasrat tersebut,
  • Mencabar SPR dengan membentangkan enakmen negeri yang boleh memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengarahkan SPR untuk mengelolakan pilihanraya kerajaan tempatan, atau,
  • Mengadalah pemilihan secara olok-olok dan melantik calon-calon yang menang sebagai ahli majlis.
Kita harus memahami dengan jelas keadaan di mana kedua-dua SPR dan kerajaan pusat BN bukanlah pihak yang menjadi penentu mutlak sama ada pilihanraya kerajaan tempatan itu harus diadakan atau sebaliknya.

Untuk menegakkan demokrasi, kerajaan-kerajaan negeri PR berhak untuk menentukan halatuju negeri masing-masing dan kami sememangnya berharap agar mereka (kerajaan negeri PR) dapat menunjukkan kepada rakyat jelata perbezaan mereka daripada pihak BN.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork