Dataran Merdeka - Siapa yang memilikinya?

(Rencana ini telah disiarkan di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)

Sejak bertahun-tahun lamanya, Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh Umno telah mempermain dan mempersendakan parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di dalam isu penggunaan tempat-tempat awam bagi menjalankan kegiatan mereka.

Beberapa tahun sebelum unu, presiden Gerakan dan ketua menteri Pulau Pinang pada masa itu, Dr Koh Tsu Koon telah menafikan hak DAP sebagai parti politik untuk menggunakan Padang Kota untuk mengadakan perhimpunannya dengan mengarahkan agar padang tersebut ditembus dengan tanah merah dengan alasan padang tersebut sedang menjalani kerja-kerja menaiktaraf. Pada beberapa bulan yang lalu, pelbagai bentuk penghalang diletak dan dipasang di sebuah padang perbandaran di Kuantan, Pahang oleh kerajaan negeri tersebut sebagai usaha untuk menghalang para peserta Himpunan Hijau daripada berkumpul di sana secara aman bagi menyatakan bantahan mereka terhadap projek pemprosesan sisa buangan daripada Australia.

Umno yang mahukan keganasan

Cara Najib dan para menteri kabinetnya memberi kenyataan dan melakukan kesemua perbuatan tersebut memberikan gambaran kepada umum yang seolah-olahnya apa yang berada di luar sana semuanya adalah milik Umno.

Najib juga memberikan gambaran bahawa pusat pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya adalah milik mutlak Umno sepenuhnya dan ahli-ahli Umno perlu mempertahankannya sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir bagi mengelakkannya daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR), sekaligus memberikan satu implikasi yang Umno sanggup bertindak ganas membelakangkan demokrasi untuk mempertahankan “kubu” miliknya itu.

Apabila Najib menyebut “badan yang hancur berkecai”, beliau tidak pula merujuk pada dirinya ataupun badan isterinya yang begitu besar sekali, tetapi terhadap rakyat jelata yang bakal menjadi mangsa sekiranya perkara ini benar-benar berlaku.

Bersih 3.0, London 1965 dan Dataran kita

Sebelum himpunan Bersih 3.0 bermula, menteri di jabatan perdana menteri Datuk Nazri Aziz mengatakan bahawa Dataran Merdeka itu dimiliki sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ataupun lebih dikenali sebagai “Dewan Bandaraya Umno” kononnya. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang bukannya dipilih oleh rakyat tetapi dilantik oleh kerajaan pusat yang dikuasai sepenuhnya oleh Umno, sememangnya akan menjadi seperti “pak turut” dan yang lebih teruk lagi sebagai “pengampu” kepada Umno.

Datuk Bandar yang berkedudukan sedemikian sememangnya tidak mempunyai sebarang kelayakan langsung untuk menduduki kerusi tersebut. Adalah jelas segala perlakuan dan tindakan yang dilakukan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur itu terhadap rakyat jelata adalah didorong oleh kuasa ketuanan yang ditunjukkan oleh Datuk Nazri dan menteri dalam negeri Datuk Hishammuddin Hussein.

Kita tengoklah suatu peristiwa yang berlaku di kotaraya London, United Kingdom pada tahun 1965. Satu rapat umum yang besar-besaran anti-nuklear yang dianggarkan telah menarik seramai 200,000 orang penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan muda, yang berusia, orang kurang upaya (OKU), kaum ibu yang mendukung anak-anak mereka, para pemimpin NGO, kesatuan sekerja dan sebagainya.

Datuk Bandar London yang dipilih oleh rakyat itu adalah merupakan seorang pemimpin yang berpendidikan tinggi, profesional, menghormati kebebasan sivil dan taat kepada konsep hak asasi kemanusiaan. Setelah mendapatkan permohonan untuk mengadakan rapat umum, beliau telah mendapatkan bantuan daripada pihak polis metropolitan London untuk menutup beberapa jalanraya dan mengawal lalulintas bagi membolehkan para peserta rapat umum tersebut berhimpun dan berarak dengan teratur bagi menyatakan bantahan mereka terhadap isu-isu yang berkait dengan tenaga dan senjata nuklear.

Anggota-anggota polis metropolitan London yang mengawal keadaan pada masa itu tidak menggunakan sebarang senjataapi, ataupun gas pemedih mata dan berada ratusan meter daripada kawasan rapat umum tersebut.

Berbeza dengan apa yang telah berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini, pada perhimpunan Bersih 3.0, pihak polis di sini telah menggunakan gulungan kawat berduri, gas pemedih mata, pancutan air yang mengandungi bahan kimia dan juga senjata api hidup untuk menghalang para peserta Bersih 3.0 daripada berhimpunan secara aman bagi menyatakan bantahan mereka terhadap sistem pilihanraya yang tidak telus, rasuah dan ketidakadilan pemerintah.

Ingin kami memperingatkan semula para pemimpin Umno dan BN yang sedang berkuasa di Putrajaya itu bahawa seluruh negara ini, malah setiap inci tanah pun adalah kepunyaan rakyat jelata. Ini juga bermakna, semua jenis dan bentuk kemudahan awam hendaklah disediakan untuk kegunaan orang ramai bagi menjalankan aktiviti mereka dengan aman. Inilah yang disebut penyertaan secara demokrasi atau “participative democracy”.

Kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur itu yang menegaskan bahawa Dataran Merdeka itu hanya digunakan untuk upacara dan majlis kerajaan jelas merupakan satu dusta dan pembohongan yang amat besar sekali.

Terdapat beberapa contoh di mana banyak aktiviti dan keramaian anjuran pihak bukan kerajaan telah diadakan di Dataran Merdeka baru-baru ini seperti, Larian Hari Olimpik yang diadakan pada 20 Julai 2011, Acara Berbasikal Bank OCBC Malaysia pada 20 Oktober 2011, Perlumbaan Formula Drift Malaysia pada 20 Disember 2011, Festival Pemuda BN Malaysia yang diadakan pada 20 Februari 2012, Larian Hari Buah Pinggan Sedunia pada 20 Mac 2012, dan Acara Penyediaan Teh Tarik Bersama Penjaja pada 27 Mei 2012 yang turut dihadiri oleh Najib dan Rosmah.

Kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, janganlah ingat bahawa rakyat boleh dipersenda atau  diperbodoh-bodohkan sewenang-wenangnya sepanjang masa. Rakyat sedang memerhati setiap keadaan yang telah dan sedang berlaku di sekeliling kita.

Jika sekiranya rakyat jelata mula menunjukkan hak dan kuasa mereka, apajua senjata api, gas pemedih mata, pancutan air beracun ataupun mesingan sama sekali tidak akan dapat menghalang kemaraan rakyat yang semakin membara.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork