Keahlian haram Isa Samad dalam KPF
(Rencana ini telah disiarkan
di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)
Di harap para peneroka
Felcra tidak akan terpedaya dengan perangkap Umno ini.
Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang
telah membekukan kedudukan Datuk Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Koperasi
Permodalan Felda Berhad (KPF) dan keahliannya dalam KPF, koperasi tersebut kini
bergerak tanpa seorang pengerusi, walaupun ianya telah mengadakan mesyuaratnya
baru-baru ini.
Perintah mahkamah tersebut dikeluarkan berdasarkan
Undang-undang Tubuh KPF yang mensyaratkan keahlian KPF adalah hanya terbuka
kepada para peneroka Felda, ahli-ahli keluarga peneroka Felda dan para pekerja
Felda sahaja. Datuk Isa ataupun keluarganya tidak pernah pun menjadi sebahagian
daripada rumpun Felda selama ini dan oleh itu beliau tidak mempunyai sebarang
hak untuk menjawat apa-apa jawatan ataupun kedudukan di dalam KPF.
Bagaimana Isa dapat menjadi
“ahli” KPF?
Persoalannya adalah, bagaimana Datuk Isa dapat menyeludup
masuk ke dalam KPF dan menjadi ahli, seterusnya menjawat jawatan sebagai
pengerusi koperasi tersebut?
Di dalam Undang-undang Tubuh KPF, adalah jelas, untuk
menjadi ahli KPF seseorang itu hendaklah daripada kalangan para peneroka Felda,
ahli-ahli keluarga peneroka Felda ataupun seorang pekerja ladang Felda
sedangkan Datuk Isa itu tidak pernah pun menjadi sebahagian daripada rumpun
Felda tersebut. Jadi bagaimana Datuk Isa dapat menyeludup masuk ke dalam KPF
tanpa disedari oleh orang ramai?
Malah, apabila aduan dikemukakan oleh sekumpulan 16 orang
peneroka Felda terhadap kedudukan Datuk Isa yang tidak sah itu kepada
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ianya ditolak mentah-mentah oleh para
pegawai-pegawai SKM sebagai “tidak ada isu”. Malah presiden Umno Datuk Najib
Razak turut menyelar tindakan 16 orang peneroka Felda itu dan mengecapkan
mereka sebagai “pengkhianat”.
Ini menunjukkan bahawa para pegawai SKM itu sememangnya
sama ada cacat penglihatan kerana tidak nampak apa yang tertera di dalam
Undang-undang Tubuh KPF ataupun hanya sengaja menutup sebelah mata oleh kerana
sipenjawat pengerusi KPF itu adalah orang kuat Umno. Alasan para pegawai SKM
itu yang menyatakan bahawa tidak ada peruntukan khas untuk menyingkirkan Datuk
Isa itu telah menjadi suatu bahan ketawa umum.
Selain daripada kecacatan pada pihak SKM, kecacatan itu
turut disengajakan di pihak lembaga pengarah KPF untuk memberi laluan kepada
Datuk Isa menjadi pengerusi KPF mungkin kerana takut dengan kuasa dan pengaruh
pemimpin Umno itu terhadap koperasi tersebut.
Datuk Isa adalah bekas naib-presiden Umno yang pernah
digantung keahliannya disebabkan oleh karenah politik wangnya di pemilihan
parti yang lalu dan beliau kini adalah seorang ahli dewan undangan negeri dan
ahli majlis tertinggi Umno.
Alasan tak masuk akal
Apabila sekumpulan 16 orang peneroka Felda itu mengajukan
aduan mereka kepada SKM terhadap kedudukan Datuk Isa yang tidak sah di dalam
KPF, para pegawai SKM pula memberikan alasan bahawa tidak ada peruntukan khas
di dalam Undang-undang Tubuh KPF yang boleh menyingkirkan beliau daripada
jawatan pengerusi koperasi tersebut.
Apakah “peruntukan khas” yang dimaksudkan oleh SKM itu?
Undang-undang Tubuh KPF sememangnya jelas menyatakan bahawa Datuk Isa bukannya
merupakan seorang ahli dan pengerusi KPF yang sah kerana beliau tidak layak
menjadi ahli KPF pada mulanya.
Keperluan “peruntukan khas” seperti yang dikatakan oleh
para pegawai SKM itu adalah tidak masuk akal, bodoh dan alasan tersebut sengaja
dibuat, agar 16 orang peneroka Felda itu akan menjadi keliru dan seterusnya
menerima ketetapan tersebut.
Akan tetapi, 16 orang peneroka Felda itu tidak “bodoh”
seperti yang disangka oleh SKM, malah terus membawa isu tersebut ke mahkamah
untuk dituntut kembali hak-hak mereka.
Sudah menjadi konspirasi pada
mulanya
Sebenarnya, sudah menjadi jelas bahawa ada konspirasi di
pihak Umno untuk mengambil-alih KPF selama ini. KPF adalah pemegang
berkepentingan di dalam Felda Global Ventures Berhad (FGVB) yang kini telah
disenaraikan di dalam Bursa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Untuk memperoleh saham-saham FGVB melalui penyenaraian,
Umno perlu menguasai sepenuhnya jalan keluar masuk di dalam KPF agar semua ahli-ahli
koperasi tersebut dapat diangkat menyokong usaha tersebut. Dengan itu, timbul
komplot untuk menyeludup Datuk Isa masuk ke dalam KPF untuk diangkat menjadi
pengerusi KPF bagi mempermudahkan komplot tersebut.
Dan apabila sebahagian ahli-ahli KPF mendapat tahu dan
membantah komplot tersebut, Umno pula terpaksa mengeluarkan wang berbilion
Ringgit daripada Perbendaharaan untuk dihadiahkan RM15,000 kepada setiap
keluarga Felda sebagai usaha untuk menyogok dan memaksa mereka mengikut
kehendak Umno bagi memastikan
penyenaraian FGVB berjaya.
Ini jelas merupakan satu bentuk rasuah, ancaman dan peras
ugut dan ianya sedang berlaku. Tetapi apa yang para peneroka Felda ini berdaya?
Bolehkah mereka melawan balik? Apakah yang akan terjadi jika sekiranya mereka
bangkit melawan?
Bagi mencapai tujuan politik dan kekuasaannya, Umno
sanggup berbuat apa sahaja walaupun perbuatan tersebut adalah terkutuk, keji
dan bertentangan dengan ugama. Selepas Felda, Umno mungkin akan menghalakan
keris dan tombaknya kepada Felcra pula.