Malaysia tak Merdeka?

Tidak cukup dengan itu, kerajaan BN dan para pemimpin Umno sekarang mengeluarkan beberapa kenyataan yang memutarbelitkan sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan dan memberikan tanggapan bahawa mana-mana pihak yang mengusahakan perjuangan kemerdekaan sejak sebelum Perang Dunia Kedua sehinggalah tahun 1945 adalah komunis dan pengganas, tak kira siapa sebenar mereka, baik kaum Melayu, Cina mahupun India, asalkan jika ada wujudnya para pejuang kemerdekaan yang bertahan sehinggalah ke tahun 1945, maka mereka itulah semuanya pengganas dan komunis belaka.
Tujuan BN dan Umno berbuat demikian adalah untuk mengikat terus Muhammad Sabu dengan pengertian komunis sekaligus mengelar beliau sebagai pengkhianat negara, agar beliau dapat ditangkap dan dipenjarakan segera, kalau tidakpun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Malaysia tak pernah dijajah
Baru-baru ini Majlis Professor Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Professor Datuk Dr Zainal Keling mengecam Muhammad Sabu dan menggelarnya pendukung dan penyokong komunis berikutan ulasan yang di buat oleh pemimpin PAS itu di dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Seberang Perai.
Dan setelah Dr Zainal gagal membuktikan yang kenyataan Muhammad Sabu itu betul-betul mempunyai elemen menyokong atau mendukung fahaman komunis, beliau kemudiannya mengeluarkan satu lagi kenyataan yang mengatakan bahawa negara kita ini “tidak pernah pun dijajah” oleh British selama ini, tetapi sebaliknya negara ini hanya ditadbir di bawah naungan atapun protektorat pihak British.
Kalau benar kata-kata Dr Zainal itu, jika sekiranya benar dengan fakta, kenapa negara kita perlu menyambut Hari Kemerdekaan selama 54 tahun lamanya? Kenapa Dr Zainal tidak menyuarakan bantahan terhadap sambutan Hari Kemerdekaan dari awal lagi? Dan kenapa pula hanya sekarang Dr Zainal berbuat demikian.
Jika kita kaji kenyataan Dr Zainal dengan lebih teliti, kita boleh dapati bahawa fahaman beliau mengenai kedudukan British di Malaya pada masa itu adalah malap sekali. Kalau kata dia itu pakar sejarah pun bukan kerana beliau hanyalah pensyarah bidang sosiologi. Jadi apa tujuan beliau memutarbelit sejarah Malaysia sebenarnya.
Jikalau benar kata-kata Dr Zainal itu, kenapa ada ratusan pegawai British yang berkhidmat di dalam kerajaan Malaya pada masa itu? Kenapa pula seorang pegawai British yang menjadi jeneral tentera memerintah tentera di Malaya pada masa itu?
Kenapa Raja-raja Melayu pada masa itu langsung tidak mempunyai kuasa terhadap pemerintahan negeri masing-masing, sebaliknya terpaksa mengikut segala jejak langkah yang diputuskan oleh para residen-residen British yang ditempatkan di istana-istana Raja-raja Melayu pada masa itu? Kenapa jawatan menteri besar atau ketua menteri tidak wujud pada masa itu?
Sama ada Malaya di bawah naungan (protektorat) ataupun dijajah, ianya tetap tanah jajahan British kerana Malaya pada masa itu di bawah arahan Pejabat Tanah Jajahan British di London. Malah, sewaktu merundingkan untuk mendapatkan kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman hanya dibenarkan untuk berbuat demikian dengan Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British (Secretary of State for Colonies) dan bukannya berunding terus dengan Perdana Menteri Britain.
Dan jika Dr Zainal masih berkeras mempertahankan kenyataannya bahawa Malaya tidak pernah dijajah, jadi apakah Tunku dan rakan-rakan parti Perikatannya buat di London pada masa itu? Sedang bercuti atau memuaskan nafsu mereka di dalam kelab-kelab malam di metropolitan London?
Nak menyepitkan peristiwa Bukit Kepong
Kami tahu, bahawa tujuan Dr Zainal berbuat demikian adalah untuk menyepit apa yang telah berlaku di dalam peristiwa di Bukit Kepong di mana pada masa itu Balai Polis Bukit Kepong diserang hendap oleh kumpulan pejuang Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Muhamad Indera dan ianya berlaku pada tahun 1950 di mana hakikatnya pada tahun itu, Malaya masih di bawah jajahan British.
Ini dengan jelas telah membuktikan bahawa sesiapa yang berkhidmat di dalam kerajaan Malaya pada masa itu adalah pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan British. Kami juga difahamkan bahawa pada masa itu, semua pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan Malaya masih diwajibkan menyanyi lagu kebangsaan Britain iaitu “God Save The Queen” pada setiap minggu sebagai melafazkan taat setia mereka kepada “British Crown”, jelas ianya simbol penjajahan British di Malaya.
Nak menyepitkan Peristiwa Bukit Kepong supaya orang ramai akan lupa bahawa ia berlaku dalam tahun 1950 iaitu waktu Malaya masih dijajah British, supaya Muhammad Sabu dapat dicapkan sebagai pengkhianat negara dengan sewajarnya.
Pejuang awal kemerdekaan semuanya haram
Hakikat yang sebenarnya adalah, Malaya sudahpun mempunyai sekumpulan pejuang kemerdekaan yang tulen dan aktif sebelum wujudnya Umno.
Pada waktu itu, Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Kesatuan Demokratik Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Pembela Tanah Air, Gerakan Angkatan Muda, Parti Komunis Malaya (pada waktu itu parti politik sah) dan sebagainya telahpun wujud dengan sekian lama dan berjuang secara aktif untuk memperoleh kemerdekaan untuk Malaya.
Hanya kerana denga hasutan demi hasutan oleh Umno yang bekerjasama rapat dengan kerajaan British pada masa itu, parti-parti yang wujud sebelum lahirnya Umno semuanya diharamkan dengan label komunis sebagai alasannya agar Umno dapat merampas peranan kemerdekaan daripada pejuang-pejuang awal dan sekaligus memadamkan sejarah-sejarah perjuangan kemerdekaan silam.
Bertapa kejinya Umno yang memadamkan sejarah silam mengenai pejuang-pejuang awal kemerdekaan negara kita ini agar rakyat dan generasi kita yang akan datang akan hanya tahu Umno lah yang memerdekakan Malaya.
Umno masuk perangkap sendiri
Bagaimanapun, Umno kini terperangkap dengan jerangkap yang dipasangnya sendiri apabila Professor Dr Zainal mengatakan Malaya tidak pernah dijajah. Jadi apa Umno buat di London pada masa itu dan kenapa Tunku Abdul Rahman melaung-laungkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, dan kenapa pula kita menyambut Hari Kemerdekaan sedangkan negara kita tak pernah pun dijajah, seperti yang dikatakan oleh Dr Zainal itu.
Siapakah berada di dalam alam pembohongan sekarang?