Rombakan kepimpinan PKR negeri Selangor
Sejak rombakan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Selangor diumumkan oleh pucuk pimpinan pusat parti itu, pelbagai reaksi telah dikemukakan oleh pihak-pihak yang menyokong, bertentangan dan berlawanan.
Ada yang memandangnya dari sudut positif dan ada yang meberikan pandangan yang negatif, sementara ada juga yang berpendapat ianya adalah langkah profesional yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum ini.
Ya, pelbagai reaksi demi reaksi yang kadang-kala telah banyak mengelirukan rakyat kita. Ini adalah kerana negeri Selangor ini bukanlah sebuah negeri yang mudah ditadbir seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang bertelagah. Selangor adalah antara negeri yang paling padat penduduknya, paling membangun dari segi perindustrian, pelaburan, perniagaan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, kita tidak boleh mengatakan bahawa negeri Selangor ini adalah seperti Pulau Pinang, Kedah, Perak ataupun Perlis. Itu salah, salah sepenuhnya.
Langkah pucuk pimpinan PKR pusat untuk memisahkan pengurusan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri baru-baru ini perlulah dilihat sebagai suatu tindakan yang wajar dilakukan. Selain daripada itu, tindakan pucuk pimpinan PKR pusat itu juga menunjukkan bahawa mereka serius di dalam memastikan agar Selangor akan terus stabil dan maju ke hadapan.
Di dalam rombakan tersebut, naib presiden PKR Azmin Ali telah dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan parti negeri bagi menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah meletakkan jawatan beliau bagi menumpukan sepenuh perhatian beliau terhadap pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Kami lihat langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PKR pusat ini sebagai suatu tindakan yang berani di dalam mengharungi suasana politik di negeri tersebut yang amat berlainan sekali jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.
Pengurusan PKR di Selangor dan pentadbiran kerajaan negeri perlulah diasingkan kerana jentera pentadibran negeri tersebut memerlukan pengurusan oleh seseorang profesional yang berlatarbelakangkan sains pengurusan dan perkhidmatan seperti Tan Sri Khalid.
Pentadbiran kerajaan negeri tersebut perlulah diuruskan secara teliti, profesional dan berdisiplin bagi mengekang gejala-gejala kurang sihat daripada bermaharajalela seperti yang berlaku sewaktu zaman pemerintahan Umno yang dahulu.
Sementara di sebelah kepimpinan parti negeri yang kini berada diluar kerajaan negeri pula, Azmin perlu memahami peranan baru beliau adalah untuk memastikan kestabilan parti tersebut diperingkat negeri berkekalan dan juga pada masa yang sama boleh memainkan satu lagi peranan yang penting, iaiitu membawa PKR ke peringkat akar umbi dengan lebih mendalam serta membantu mengekang pengaruh negatif yang sering dibawa oleh Umno dan sekutunya daripada BN di serata negeri tersebut.
Kata bekas menteri besar Umno Dr Mohd Khir Toyo bahawa kononnya PKR lemah kerana memerlukan dua orang untuk menguruskan parti dan kerajaan negeri dan parti tersebut kini sedang berpecah. Kata-kata Dr Mohd Khir itu adalah umpama hantu yang cuba menakut-nakutkan orang ramai.
Ya, memang betul kata Umno bahawa mereka mampu menguruskan Selangor yang terdahulu dengan hanya seorang menteri besar yang juga ketua perhubungan Umno negeri. Sebab itulah gejala penyalahgunaan kuasa, rasuah, jenayah, pemborosan, kehilangan, kecurian, penindasan serta banyak pembinaan istana-istana dan mahligai-mahligai besar yang amat berleluasa di negeri tersebut.
Itulah Selangor yang dahulunya dikuasai oleh Umno, yang miskin menjadi lebih miskin, yang melarat menderita teruk, yang kaya menlonjak menggelar diri mereka golongan bangsawan yang punyai hak dan darjat ketuanan yang lebih tinggi daripada Raja-raja, malah undang-undang pun seringkali dilanggari sewenang-wenangnya.
Dan kebudayaan Umno itulah perlu kerajaan Pakatan Rakyat di negeri tersebut mengikis dengan seberapa segera yang boleh bagi menghapuskan sama sekali penyakit dan bakteria yang dibawa Umno sebelum ini.
Oleh yang demikian pentadbiran yang berkaliber gandingan Khalid-Azmin adalah perlu bagi memantapkan lagi suatu budaya baru yang bersih dan amanah di negeri tersebut. Tan Sri Khalid yang punyai latarbelakang profesionalisma pengurusan dan perniagaan yang boleh membawa perubahan di dalam jentera kerajaan negeri, menjadi daya penarik pelaburan.
Sementara Azmin pula yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam arena politik dan sistem kepimpinan parti boleh memainkan peranan beliau membantu memantapkan lagi kedudukan PKR di setiap peringkat di negeri tersebut dan pada masa yang sama dapat menumpukn perhatian penuh beliau untuk memerangi musuh nombor satu rakyat negeri Selangor, iaitu Umno.
Satu gandingan yang mantap dan berkesan.