Negara Sekular Mesti Kekal
Sistem sekular
yang diamalkan oleh sesebuah negara bukannya bermakna pemisahan terus amalan
keagamaan daripada budaya ataupun cara hidup sesebuah masyarakat yang
berkenaan, misalnya, agama Islam dengan orang-orang Melayu, agama Buddha dengan
masyarakat Cina, agama Hindu dengan kaum India, agama Kristian dengan
masyarakat Kadazan Dusun, Dayak dan sebagainya.
Di dalam
negara yang mengamalkan sistem sekular, amalan keagamaan pada
masyarakat-masyarakat yang berkaitan serta kebudayaan masing-masing kekal dan hidup
subur di kalangan mereka.
Di dalam
negara kita ini khususnya, kesilapan yang semakin serius dan salahtafsir
mengenai hubungan keagamaan dengan struktur negara ini telah menjadi semakin
buruk ekoran penyalahgunaan agama untuk dicampur-adukan dengan politik oleh pelbagai
pihak khususnya pihak pemerintah yang ada sekarang.
Disebabkan
oleh kesilapan tersebut yang kian menular di kalangan masyarakat, ianya telah
menjadi satu sebab utama kenapa ramai yang beragama Islam terasa agama yang
mereka sedang anuti itu sedang menghadapi ancaman apabila timbul sahaja
sebarang perbahasan ataupun perbincangan mengenai sistem sekular di dalam
negara kita ini.
Kenapa sistem sekular perlu dikekalkan?
Pokok utama
kenapa sistem sekular di dalam negara ini perlu dikekalkan adalah kerana negara
kita ini mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama, kebudayaan dan adat
resam.
Ya, kita
memang mengiktiraf kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi seperti yang
termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan kita juga mengiktiraf
orang-orang Melayu sebagai masyarakat yang terbesar di dalam negara kita ini.
Walaupun
Perlembagaan Persekutuan telahpun menyatakan bahawa Islam adalah merupaka agama
rasmi negara ini, ianya juga menyatakan bahawa agama-agama dan kebudayaan kaum
dan masyarakat yang lain adalah juga dibenar untuk diamalkan di dalam negara
ini secara bebas, adil dan saksama.
Perlembagaan
Persekutuan tidak pula menyatakan bahawa negara ini mengamalkan sistem
pemerintahan mengikut rukun Islam ataupun berdasarkan pada undang-undang
Syariah. Ianya secara terang telah menegaskan bahawa sistem yang ada pada
negara kita pada hari ini adalah berdasarkan sekular dan tidak mengaitkan
mana-mana agama.
Selain
daripada itu, sistem sekular perlu dikekalkan di dalam negara kita ini kerana
masyarakat kita yang berbilang kaum, budaya dan keagamaan. Sistem sekular
adalah diperlukan untuk mengukuhkan lagi agenda-agenda perpaduan di antara
kaum, kebudayaan dan keagamaan, pada masa yang sama, memastikan semua
masyarakat di dalam negara ini menerima layanan dan hak yang samarata, adil dan
saksama.
Jika negara
ini diperintah mengikut sistem dan amalan sesuatu agama, masyarakat ataupun
kaum yang lain yang berlainan agama dan kepercayaan mungkin akan disisihkan
ataupun berlakunya amalan ketidakadilan terhadap kaum, budaya dan keagamaan
mereka.
Sesebuah
negara yang memerintah berdasarkan satu sistem agama juga akan cuba
menguatkuasakan undang-undang keagamaan mereka terhadap rakyat berbilang kaum
dan kebudayaan yang berlainan agama. Hasil daripada itu,berkemungkinan akan
berlaku ketidakpuashati di kalangan golongan-golongan bukan majoriti yang telah
disisihkan, didiskriminasi ataupun diketepikan daripada apajua faedah, bantuan,
pinjaman, perkhidmatan dan sebagainya, walaupun mereka adalah rakyat di negara
tersebut.
Sistem sekular membenarkan rakyat berfikir
Memang
benar, bahawa sistem sekular di dalam sesebuah negara membenarkan rakyat jelata
berfikir secara bebas tanpa perlu takut pada sesuatu undang-undang yang
melarang mereka untuk berbuat demikian.
Sesebuah
negara sekular akan membenarkan rakyat jelatanya untuk menikmati semua bentuk
kebebasan untuk belajar, berfikir , menilai dan memahami segala bentuk amalan,
ajaran, kebudayaan dan keagamaan dan seterusnya membuahkan suatu keputusan yang
terbaik untuk diri setiap rakyat jelata.
Selain
daripada itu, di dalam sistem sekular, rakyat jelata akan berpeluang untuk
berfikir, menilai, memahami dan mengamalkan secara profesional proses pentadbiran
awam, pengurusan perniagaan, kewangan, ekonomi, perkhidmatan dan politik bagi
menggerakkan ekonomi dan pendapatan untuk negara ini agar ianya dapat mencapai suatu
kadar yang memastikan keselesaan setiap rakyat dan penduduk di dalam negara
ini.
Sekular tidak anti-agama
Sekali lagi
kita ingin tekankan di sini, sistem sekular tidak anti-agama seperti yang
sering didakwa oleh sesetengah pihak sehingga pada hari ini. Sistem sekular
membenarkan rakyatnya kebebasan untuk memilih apajua bentuk keagamaan ataupun
kepercayaan yang difikirkan bersesuaian dengan naluri dan kebolehan seseorang.
Dengan itu,
janganlah disalahtafsirkan bahawa sistem sekular ini akan membawa rakyatya
keluar daripada ajaran agama masing-masing. Sistem sekular akan memastikan agar
segala bentuk agama, kepercayaan, kebudayaan dan masyarakat akan menerima
layanan yang setaraf, adil dan saksama.
Mana-mana
pihak yang tidak henti-henti mendakwa sistem sekular akan menghapuskan amalan
keagamaan seseorang adalah merupakan pihak yang suka dan sering mempergunakan
sesuatu agama bagi melanjutkan kepentingan diri, kedudukan dan kekuasaan
politik mereka.
Pihak yang
menentang keras sistem sekular adalah mereka-mereka yang ingin mempergunakan
amalan sesuatu keagamaan untuk memperkayakan diri mereka dan pada masa yang
sama memastikan kuasa mereka akan kekal selama-lamanya. Pihak yang menentang
keras sistem sekular adalah mereka-mereka yang ingin mempergunakan amalan
sesuatu keagamaan untuk menguasai pemikiran dan naluri setiap rakyat agar seluruh
umat di dalam negara ini akan berada di bawah kekuasaan dan genggaman para pemimpin
mereka.
Tidak perlu kuatkuasakan agama
Masalah yang
paling serius di sini adalah, kenapa perlu kita menguatkuasakan undang-undang
bagi memastikan setiap rakyat mengikuti dan mengamalkan ajaran sesuatu agama?
Kenapa perlunya undang-undang bagi memaksa setiap rakyat untuk mengamalkan
ajaran sesuatu agama walaupun seseorang itu belum dapat berpeluang memahami dengan
lebih teliti isi kandungan ajaran agama tersebut?
Kenapa
perlunya suatu undang-undang yang menghalang seseorang untuk berfikir, mengkaji
dan menhayati dengan lebih mendalam ajaran sesuatu agama? Kenapa perlunya suatu
undang-undang yang sering memaksa seseorang itu mengikuti ajaran sesuatu agama
itu tanpa soal selidik berdasarkan pemikiran seseorang berkenaan?
Dan
akhirnya, kenapa perluya suatu undang-undang untuk menghukum seseorang yang
tidak dapat menerima atau belum dapat memahami ajaran sesuatu agama? Bukankah
kesemua bentuk amalan keagamaan memberikan penekanan terhadap amalan kasih
sayang dan ketidakpaksaan?
Jawapan yang
sebenarnya adalah, di dalam ajaran mana-mana agama, buku-buku agama atau kitab-kitab
pun tidak terdapat kandungan ajaran yang menekankan perlunya undang-undang
untuk memastikan orang ramai mengikuti ajaran sesuatu agama dan sekiranya
tidak, seseorang itu akan dihukum.
Mana-mana
ajaran agama hanya menekankan perlunya setiap insan memahami dengan terlebih
dahulu ajaran-ajaran yang diketengahkan sebelum menghayati dan seterusnya
mengikutinya setelah mencapai pemahaman yang kukuh. Mana-mana ajaran agama juga
tidak pernah mempunyai suatu rukun di dalam ajaran masing-masing yang memaksa
seseorang untuk menganuti agama tersebut dan menghukumnya jika sekiranya
seseorang itu belum dapat memahami ajaran agama tersebut.
Hakikatnya
adalah, kita tidak perlu untuk menguatkuasakan ajaran agama itu terhadap
seseorang ataupun terhadap sekumpulan masyarakat. Jika sekiranya undang-undang
digunakan bagi menguatkuasakan sesuatu ajaran agama, adakah seseorang itu
ataupun masyarakat berkenaan akan menghayati ajaran agama tersebut dengan rela
hati?
Yang ada
pada seseorang itu ataupun masyarakat berkenaan hanyalah perasaan takut dan
dendam yang terpendam di dalam hati dan pemikiran mereka kerana telah menjadi “tawanan”
yang dipaksa mengikuti sesuatu ajaran agama.
Apajua
bentuk ajaran agama pun tidak memberi penekanan kepada paksaan terhadap mereka
yang belum memahami ataupun tidak dapat menerima ajaran agama tersebut. Semua
bentuk ajaran agama di dalam dunia ini sememangnya menggalakkan orang ramai
agar meneliti, mengkaji, menilai dan memahami dengan terlebih dahulu
ajaran-ajaran setiap agama sebelum menerimanya sebagai pembimbing atau
pendorong hidup seseorang.
Jika adanya
undang-undang keagamaan, itu semuanya adalah ciptaan dan perbuatan manusia yang
inginkan kekuasaan dan bagi memastikan kedudukan mereka kekal khususnya di
dalam areana politik semasa dan pemerintahan negara.
Siapakah
yang sebenarnya memporakperandakan sesuatu agama selama ini? Sudah tentunya
bukan daripada ajaran agama tersebut yang berbuat demikian. Sebaliknya, golongan
manusia yang tidak bertanggungjawab itulah yang memporakperandakan sesuatu
agama untuk faedah dan kepentingan diri mereka, untuk memastikan kuasa mutlak kekal
di tangan mereka untuk selama-lamanya.