IPCMC bukan pilihan tetapi satu kemestian
(Rencana ini telah disiarkan
di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)
IPCMC
kini adalah satu kemestian dan ia adalah keputusan rakyat yang muktamad.
Ketua polis
negara, Tan Sri Ismail Omar telah cuba menyakinkan rakyat jelata bahawa anggota
polis bawahannya telah menjalankan tugas mereka dengan baik, manakala para
pemimpin Umno pula asyik mengecam rakyat yang seringkali mengkritik pihak
polis.
Masalah
utama di sini bukannya cara masyarakat umum menilai prestasi Polis Di Raja
Malaysia (PDRM) tetapi lebih kepada segala tindak tanduk PDRM itu sendiri yang
telah banyak membangkitkan persoalan sama ada PDRM itu benar-benar efektif dan
kenapa sehingga pada hari ini kerajaan pusat sangat takut dan enggan membentuk
Suruhanjaya Aduan Dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti yang disyorkan oleh
Suruhanjaya Di Raja Bagi Penambahbaikan PDRM.
Banyak kita
telah dengar dan saksikan, daripada kes merogol, ketuk ketampi berbogel sewaktu
dalam tahanan sehinggalah penyalahgunaan kuasa dan kematian mengejut
tahanan-tahanan di dalam balai polis, tugas dan tanggungjawab PDRM kini
dipersoal bukan sahaja oleh parti-parti pembangkang, malah rakyat turut bangkit
membantah dan menentang secara terbuka ekoran siri kekejaman PDRM yang semakin
berleluasa dan tidak dapat dikawal lagi.
Pada tahun
yang lalu, Tan Sri Ismail telah menyeru masyarakat umum agar mengemukakan
cadangan yang bernas bagaimana kadar jenayah dalam negara ini dapat
dikurangkan. Sungguh aneh, bukankah tugas dan tanggungjawab ini sepatutnya
dipikul oleh para pegawai-pegawai tinggi PDRM di Bukit Aman? Kenapa pula rakyat
diheret ke dalam kancah tersebut?
Yang lebih
pelik adalah baru-baru ini , Tan Sri Ismail telah mendakwa bahawa 26 bentuk
inisiatif PDRM di bawah program NKRA telah menunjukkan pencapaian positif
dengan rakyat jelata telah “tampil” ke hadapan untuk menawarkan diri mereka
untuk menyumbang kepada usaha pencegahan jenayah. Jadi, apa gunanya membayar
gaji kepada puluhan pegawai-pegawai tinggi PDRM yang berpangkat persuruhjaya
polis di Bukit Aman?
Dan jikalau
benar rakyat jelata telah tampil ke hadapan untuk membantu PDRM di dalam usaha
pencegahan jenayah, apakah PDRM buat untuk membalas jasa baik rakyat? Bagaimana
Tan Sri Ismail dapat menjelaskan beberapa siri kematian yang seringkali berlaku
di dalam lokap polis dan ketidakyakinan rakyat jelata terhadap PDRM yang
semakin meningkat?
Kes yang
terbaru, iaitu pada 13 Ogos 2012 yang lalu, seorang mangsa yang bernama Cheah
Chin Lee yang berumur 36 tahun, mempunyai pekerjaan yang tetap dan berkeluarga
telah didapati mati secara tiba-tiba sewaktu beliau berada di dalam tahanan
Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Petani, Georgetown, Pulau
Pinang.
Siasatan dan
bedah siasat PDRM mendapati Cheah telah mati di dalam lokap akibat membunuh
diri dengan cara menggantung dirinya di dalam lokap tersebut. Ahli keluarga
Cheah membantah dan mempersoal kenapa Cheah perlu membunuh diri sedangkan
beliau hanya ditahan pada jangkamasa tidak sampai lima jam? Dapatkah ketua
polis negara menjelaskan apakah sebenarnya telah berlaku pada hari tersebut?
Mengikut
statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, seramai 147 orang telah mati sewaktu berada
di dalam tahanan polis di antara Januari 2000 hinggalah Februari 2010. Angka
kematian tersebut terdiri daripada 64 Melayu, 30 berbangsa Cina, 28 kaum India,
8 orang dari kalangan lain-lain bangsa dan 14 orang warga asing. Tetapi
statistik tersebut tidak pula menjelaskan sebab-sebab kematian di dalam tahanan
yang begitu ramai sekali.
Dengan
statistik yang telah mendedahkan keadaan sebenarnya yang sedang berlaku,
dapatkah Tan Sri Ismail mempertahankan dakwaan kononnya keselamatan pihak umum
adalah keutamaan PDRM?
Kekejaman dan salahguna PDRM perlu dihapuskan
Pegawai
tertinggi PDRM juga boleh menyalahgunakan kuasa mereka. Contoh yang paling
ketara adalah bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor yang kini telah
menjadi seorang “tokoh korporat” di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Setelah
beliau memberikan satu tumbukan yang kuat terhadap bekas timbalan perdana
menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan mata beliau menjadi lebam
pada tahun 1998, Tan Sri Rahim memberanikan diri dengan mengatakan bahawa Datuk
Seri Anwar telah mencederakan dirinya sewaktu berada di dalam tahanan polis.
Malah bekas
perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut menyokong kenyataan Tan
Sri Rahim pada masa itu
Pada 26 Mei
2011 yang lalu, seorang pelajar berbangsa India berumur dalam 20an, S. Ganesan
telah dibelasah teruk dan dicaci dengan kata-kata perkauman oleh
anggota-anggota polis yang menahannya pada satu sekatan jalanraya di Rembau,
Negeri Sembilan. Setelah dibelasah, Ganesan diberikan amaran keras oleh
beberapa pegawai polis agar tidak mendedahkan kejadian tersebut sebelum beliau
dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Pada tahun
yang sama juga, seorang aktivis wanita Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang
ditahan telah dipaksa untuk membogelkan dirinya di hadapan anggota-anggota
polis lelaki. Selain dari itu, 36 ornag aktivis PSM yang laim turut ditahan
tanpa sebab, dibelasah, dimaki dan dicaci oleh anggota-anggota polis yang
bertugas.
Tidak kurang
daripada itu, terdapat juga laporan anggota-anggota polis mencabul kehormatan
tahanan-tahanan wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang dan Ipoh, dan apabila
aduan disampaikan, pegawai-pegawai penyiasat polis tersebut memaklumkan bahawa
siasatan terhadap salahlaku polis tersebut akan mengambil masa selama 6 bulan.
Pada
November 2011, seorang akauntan bertauliah yang berumur 39 tahun telah
mengemukakan aduan yang beliau diperkosa oleh beberapa anggota polis, tiba-tiba
mendapati dirinya ditahan di dalam lokap polis dan akan didakwa di atas satu
“kesalahan” yang dilakukannya 7 tahun yang lalu. Apakah ini masuk akal?
Pada tahun
2009, seorang konstabel polis telah membelasah seorang suspek, A.Kugan sehingga
mati sewaktu di dalam tahanan dan anggota polis itu hanya didenda dan
dibebaskan oleh mahkamah pada tahun 2011.
Pada 18 Jun
2008, seorang anggota polis yang sedang bertugas di balai polis Putra Heights
telah merogol seorang gadis belasan tahun setelah teman lelakinya ditahan
kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
IPCMC bukan lagi satu pilihan
Dengan laporan
kematian dalam tahanan yang terbaru , kerajaan pusat yang diterajui oleh
Barisan Nasional (BN), khususnya Umno telah kehabisan modal dan sebab-sebab
untuk menghalang pembentukan IPCMC.
Pembentukan
IPCMC itu bukan lagi suatu pilihan, tetapi ianya telah menjadi satu kemestian
memandangkan tekanan daripada masyarakat umum kian meningkat. Kerajaan pusat BN
sudah tidak ada lagi alasan untuk cuba melenyapkan IPCMC.
Daripada
tahun 1999 hinggalah 2003, terdapat
lebih daripada 5800 bentuk aduan salahlaku dan jenayah terhadap PDRM dan ianya
juga telah disyorkan agar prestasi PDRM perlu dipantau oleh sebuah badan bebas.
Pada tahun
2005, laporan setebal 634 mukasurat yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Di Raja
Bagi Penambahbaikan PDRM telah mendapati pihak polis sememangnya kejam, tidak
berperikemanusiaan dan merupakan antara agensi kerajaan yang paling rasuah di
dalam negara ini.
Pembentukan
IPCMC sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Sehingga pada hari ini, pihak
polis sendiri yang menyiasat kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh anggota
polis dan kami percaya majoriti kes-kes tersebut telah dan akan ditutup dengan
begitu sahaja dengan harapan orang ramai akan mudah lupa.
Menteri
dalam negeri dan naib-presiden Umno Datuk Hishammuddin Hussein turut cuba untuk
mengelak daripada pembentukan IPCMC dengan memberikan alasan yang IPCMC itu
tidak kena pada masanya dan ianya tidak akan membantu penambahbaikan PDRM.
Jadi, apakah langkah-langkah yang paling sesuai mengikut budaya ala-Umno?
Rakyat tidak
mudah lupa seperti yang sedang dialami oleh Dr Mahathir sendiri. Ingatan rakyat
jelata mengenai kekejaman dan salahlaku polis masih jelas terpapar.