Campurtangan pentadbir IPTA dalam pilihanraya kampus, apa kata Kementerian Pengajian Tinggi?

Di dalam pilihanraya kampus institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang baru sahaja selesai minggu ini, didapati ramai pentadbir IPTA secara terbuka keluar berkempen untuk calon-calon pro-Aspirasi.

Malah ada ramai di kalangan pentadbir IPTA yang berani menyebut "Barisan Nasional" dan "Umno" sewaktu mereka mengadakan seesi kempen mereka di IPTA masing-masing. Yang lebih membimbangkan lagi adalah, ramai di antara pentadbir-pentadbir IPTA yang berkempen ini turut mengeluarkan kata-kata yang mengancam para pelajar dan hadirin yang berada di seesi ataupun kempen-kempen yang dianjurkan oleh golongan pro-Aspirasi.

Jadi, apa kata pihak kementerian pengajian tinggi, menteri dan timbalan menterinya mengenai gejala negatif tersebut? Sehingga pada hari ini, pihak di kementerian masih enggan mengulas mengenai kejadian para pentadbir IPTA yang campurtangan di dalam pilihanraya kampus. Berkemungkinan juga pada akhirnya, jika sekiranya mereka terus didesak, pihak kementerian sudah tentunya akan menafikan sekeras-kerasnya wujudnya gejala tersebut di kalangan pentadbir IPTA.

Kemenangan golongan pro-Aspirasi di kebanyakan IPTA telahpun diumumkan. Sewaktu kempen-kempen pilihanraya kampus tersebut, adalah didapati kebanyakan calon-calon pro-Aspirasi yang bertanding mempunyai sumber kewangan yang berlebihan. Dari manakah golongan ini memperoleh sumber-sumber kewangan yang begitu banyak sekali? Siapakah yang membantu mereka? Adakah pihak-pihak atau golongan-golongan pemerintah elit turut campurtangan memberi bantuan kewangan kepada para pelajar ini untuk berkempen?

Di dalam pihanraya-pilihanraya kampus yang lalu, apabila golongan pro-Mahasiswa yang mencapai kemenangan besar, pihak di sebelah pro-Aspirasi dan para pentadbir IPTA seringkali menuduh parti-parti pembangkang campurtangan dengan memberi bantuan kepada golongan pro-Mahasiswa sewaktu kempen pilihanraya kampus.

Tetapi di dalam isu kemenangan "besar" golongan pro-Aspirasi kali ini, sudah tentunya ada juga persoalan yang begitu banyak. Dari manakah golongan pro-Aspirasi ini memperoleh sumber dan bantuan kewangan yang begitu banyak sekali? Malah, terdapat beberapa orang calon pro-Aspirasi yang turut mendedahkan keanggotaan mereka di dalam Perkasa, berkempen secara terbuka, melaungkan slogan perkauman dan sebagainya.

Jangan dikatakan para pentadbir IPTA tidak tahu mengenai gejala tersebut. Bagaimana pula dengan kejadian calon-calon dan pemimpin pro-Mahasiswa yang dibelasah oleh segolongan pihak yang tidak dikenali sewaktu mereka sedang menjalankan kempen mereka di sekitar kampus? Ya, pihak pentadbir IPTA telahpun menjawab dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku, seterusnya berkata biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka. Siasatan dan masih dalam penyiasatan, sehingga kini, mereka-mereka yang terlibat di dalam keganasan pilihanraya kampus itu masih belum dikenalpasti ataupun ditahan. Agaknya, kes tersebut telahpun dilupakan dengan begitu sahaja.

Jadi, di manakah keadilan di dalam hal tersebut? Pihak-pihak yang seharusnya bertanggungjawab memastikan pilihanraya kampus di IPTA ini adil dan saksama, telah mengamalkan sikap sambil lewa dan tutup sebelah mata, oleh kerana tersangat hendak memastikan agar calon-calon daripada golongan pilihan mereka "selamat mengecapi kemenangan" biar apajua cara yang digunakan.

Nampaknya, elemen-elemen daripada BN dan Umno telahpun dan sedang meresap ke dalam politik kampus di kebanyakan IPTA-IPTA. Oleh itu, patutkah Pakatan Rakyat bersama dengan parti-parti pembangkang yang lain turut mengikut jejak langkah tersebut. Kita biarlah golongan pelajar sendiri yang membuat keputusan tersebut.

Sementara itu, seperti biasa, kementerian pengajian tinggi akan terus menafikan yang wujudnya campurtangan para pentadbir IPTA dan pihak luar di dalam pilihanraya dan politik kampus IPTA. Itulah sememangnya tabiat mereka.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork