Rakyat juga perlu faham sistem perundangan dan kerajaan

(Rencana ini telah disiarkan dalam kolum saya di Malaysia-Chronicle baru-baru ini) 

Tahun 2012, berkemungkinan akan merupakan tahun pilihanraya umum ke-13 (PRU13). Rakyat Malaysia kini sedang mendengar dan menyaksikan pelbagai jenis dan bentuk spekulasi hampir pada setiap hari berkenaan dengan tarikh pembubaran parliment hinggalah ke tarikh PRU13 yang akan datang, parti manakah yang dijangka menang dan kalah.

Untuk membuat keputusan sewaktu hari mengundi, adalah penting bagi setiap rakyat Malaysia untuk mengetahui dan memahami secara minima pelbagai lapisan yang terdapat di dalam sistem perundangan dan pentadbiran kerajaan, peranan dan tanggungjawab ahli-ahli parlimen (MP) yang dipilih, tugas menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco), ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli-ahli majlis tempatan dan sebagainya.

Ini adalah penting kerana setiap lapisan perundangan dan kerajaan baik pada peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri, mempunyai peranan dan proses pentadbiran dan tanggungjawabnya yang berbeza.

Pemulihan Pilihanraya Majlis Tempatan

Sehingga pada hari ini, rakyat di negara ini hanya berpeluang untuk mengundi bagi memilih dua daripada tiga badan perundangan sahaja, iaitu untuk parlimen bagi peringkat persekutuan dan dewan undangan negeri (DUN) bagi negeri-negeri masing-masing, manakala ahli-ahli majlis tempatan (majlis bandaraya, perbandaran dan daerah) masih dilantik secara langsung oleh kerajaan negeri masing-masing, walaupun terdapat desakan pelbagai pihak agar pilihanraya majlis tempatan dapat dipulihkan dengan segera.

Sebelum ini, isu untuk menghidupkan pilihanraya majlis tempatan telahpun dibangkit beberapa kali oleh kedua-dua kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang. Baru-baru ini juga, kerajaan negeri Pulau Pinang turut mengumumkan akan meneruskan hasratnya untuk mengeluarkan gazet negeri bagi mengecualikan majlis-majlis tempatan di Pulau Pinang daripada Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang dijangka akan memberi laluan kepada pilihanraya majlis tempatan walaupun terdapat beberapa siri bantahan daripada kerajaan persekutuan yang masih dikuasai oleh BN dan Umno.

Dengan bertapaknya mekanisma tersebut, rakyat akan berpeluang untuk mengundi bagi memilih ahli-ahli majlis tempatan, namum ianya tetap akan bergantung bilakah PRU13 akan diadakan.

Selain daripada itu, kerajaan negeri Selangor turut memberikan komitmen  mereka terhadap usaha tersebut dengan mengadakan satu siri pemilihan di kawasan parlimen Petaling Jaya dan kerajaan negeri kini juga sedang mewujudkan satu usahasama dengan beberapa pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam beberapa isu berhubung dengan pengurusan dan penyeliaan pilihanraya majlis tempatan, serta jadual perlaksanaannya.

Kefahaman Rakyat Masih Kurang

Setakat ini, majoriti rakyat di negara ini masih belum memahami dengan sepenuhnya proses dan sistem perundangan dan kerajaan serta bagaimana ianya berfungsi. Apajua bentuk masalah seperti jalanraya berlubang, longkang atau parit tersumbat dan sebagainya sering diajukan terus kepada ahli-ahli parlimen, ahli-ahli dewan undangan negeri dan ahli-ahli majlis tempatan secara serentak agar tindakan dapat diambil.

Sememangnya perbuatan ini telah mencacatkan peranan dan tanggungjawab asal yang sepatutnya dipikul oleh ahli-ahli parlimen, dewan undangan negeri dan majli tempatan ini.

Ahli parlimen adalah ahli majlis perundangan persekutuan atau juga dikenali sebagai Dewan Rakyat adalah dipertanggungjawabkan untuk mencadang, membahas, merangka serta meluluskan rang undang-undang untuk kepentingan negara dan rakyat. Selain itu, ahli-ahli parlimen ini juga berperanan untuk mengkaji pelan ekonomi, belanjawan kerajaan dan meniliti undang-undang yang sedia ada dan membaikpulihnya, mengumpul pendapat dan maklum balas daripada rakyat jelata melalui kawasan-kawasan parlimen yang diwakili oleh mereka.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parliamentary Select Committee) dibentuk bagi membincang dan mengkaji dengan lebih terperinci dasar-dasar kerajaan, undang-undang yang sedia ada, menyiasat dan menambahbaik sistem pentadbiran dan sebagainya. Contoh yang paling ketara sekarang adalah kewujudan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Mengkaji Pembaharuan Pilihanraya yang dibentuk berikutan tekanan dan desakan yang di buat melalui rapat umum Bersih 2.0 yang telah diadakan pada Julai 2011 yang lalu.

Ahli dewan undangan negeri juga memainkan peranan yang hampir sama sepertimana rakan sejawat mereka di peringkat parlimen, di mana perbezaan ini adalah peranan para ahli-ahli dewan undang negeri ini hanya terhad pada negeri masing-masing.

Walaubagaimanapun, peranan dewan undangan negeri pada hari ini adalah terhad kerana kebanyakan undang-undang yang berkaitan sistem pentadbiran dalam negeri telah diwujudkan diperingkat pusat dan ianya dikuatkuasakan oleh kementerian-kementerian yang berkenaan, misalannya perlantikan setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri, penasihat undang-undang negeri, pengurusan pelabuhan negeri, pengurusan dan penyeliaan bekalan air negeri serta undang-undang yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan.

Ini bermakna, banyak akta-akta yang digubal dan diluluskan di peringkat parlimen telah mengatasi undang-undang dan enakmen yang diluluskan oleh dewan undang negeri. Keadaan ini adalah lebih dikenali sebagai sentralisasi di mana kerajaan negeri memonopoli sepenuhnya kuasa ke atas kerajaan negeri. Yang kerajaan negeri dapat menguruskan pada hari ini adalah hanya hal-hal yang berkaitan dengan tanah, agama, sumber alam, belanjawan negeri yang terhad, majlis-majlis tempatan, jalanraya-jalanraya negeri dan daerah dan soal-soal kebersihan.

Akhirnya, ahli-ahli majlis tempatan, walaupun dianggap sebagai kedudukan yang paling “tidak lumayan” sekali jika dibandingkan dengan ahli parlimen dan dewan undangan negeri, ahli-ahli majlis tempatan ini lah yang paling dekat dengan rakyat dan masyarakat pada keseluruhannya kerana kefahaman mereka mengenai keperluan dan kehendak rakyat di peringkat akar umbi secara langsung seperti isu-isu yang berkaitan dengan kutipan sampah, pembikinan dan pembaikan kemudahan awam, penyelesaian masalah-masalah harian, perancangan bandar, pekan dan sebagainya.

Keadaan di Pulau Pinang dan Selangor

Pulau Pinang mempunyai 13 ahli parlimen dan 40 ahli dewan undangan negeri. Kedua-dua badan perundangan ini merangkumi wakil-wakil daripada parti-parti politik yang berbeza dan bertentangan pendapat, serta di kebanyakan situasi, masalah penyelarasan sering timbul di antara kedua-dua belah pihak.

Kesemua ini adalah bergantung pada tahap kefahaman dan profesionalisma setiap ahli parlimen atau dewan undangan negeri jika sekiranya mereka ingin memberikan khidmat terbaik mereka kepada rakyat jelata.

Perkara yang sama juga dapat disaksikan di negeri Selangor, yang kini mempunyai 22 ahli parlimen dan 56 ahli dewan undangan negeri. Pulau Pinang hanya mempnyai 2 majlis tempatan, manakala Selangor mempunyai 12 majlis tempatan. Sebuah majlis tempatan yang yang punyai keahlian yang penuh akan merangkumi 24 ahli majlis dan dengan ini, di Pulau Pinang akan mempunyai 48 ahli majlis, sementara di Selangor pula akan mempnyai 288 ahli majlis.

Masalah Perlaksanaan

Di dalam menguruskan pelbagai perlaksanaan, yang meliputi pelbagai peringkat pentadbiran, kerajaan negeri menghadapi dua bentuk cabaran. Pertama, apabila wakil-wakil rakyat daripada parti-parti politik yang bertentangan menguruskan isu-isu di dalam sebuah kawasan parlimen yang sama, bagaimanakah kerajaan negeri akan menangani isu-isu tersebut, terutamanya apabila ianya melibatkan dua jabatan kerajaan (negeri dan persekutuan) yang berlainan dan yang lebih mencabar lagi adalah apabila kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang kedua-duanya ditadbir oleh parti-parti politik yang bertentangan (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional)?

Untuk pengetahuan umum, kerajaan persekutuan yang di bawah BN telah membentuk Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sebagai usaha BN untuk menghalang bantuan dan peruntukan persekutuan daripada jatuh ke tangan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Contoh yang terkini adalah kerajaan negeri Pulau Pinang langsung tidak dimaklumkan mengenai pihak yang baru mengambil-ahli Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan cadangan untuk meluaskan kawasan operasi pelabuhan tersebut bagi menampung peningkatan perkapalan di negeri tersebut. Kerajaan negeri bertegas pihaknya perlu dimaklumkan memandangkan PPSB sedang beroperasi di kawasan tanah miliknya.

Yang keduanya adalah, oleh kerana terdapat tiga peringkat pentadbiran, kerajaan negeri perlulah memutuskan peringkat manakah yang harus dipertanggungjawabkan kepada siapa dan bagaimanakah ianya patut dilaksanakan.

Untuk itu, kedua-dua kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor mempunyai sistem mereka yang tersendiri di dalam menguruskan pentadbiran di kawasan masing-masing. Di Pulau Pinang umpamanya, ahli-ahli majlis tempatan dan ahli-ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) akan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kepada rakyat. Ahli-ahli majlis dan ahli-ahli JKKK ini akan memutuskan sesama mereka sendiri di dalam pembahagian tugas dan tanggungjawab bagi zon-zon atau kawasan-kawasan  yang telah “dipersempadankan” secara tidak formal.

Manakala di Selangor pula, ahli-ahli dewan undangan negeri dilantik sebagai wakil angkat di kawasan-kawasan yang tidak mempnyai wakil Pakatan Rakyat. Ahli-ahli majlis dan ahli-ahli JKKK sepertimana rakan sejawat mereka di Pulau Pinang juga dipertanggungjawabkan mengikut kawasan-kawasan yang telah dizonkan.

Isu yang kedua ini adalah amat mencabar kerana rakyat jelata kebanyakan masih kurang jelas atau langsung tidak mengetahui bagaimana sesuatu masalah atau aduan itu patut diajukan dan wakil atau jabatan mana yang patut dirujuk. Selalunya, masalah dan aduan ini akan diajukan kepada beberapa peringkat dengan harapan ianya akan mendapat lebih perhatian agar masalah tersebut dapat “diselesaikan” dengan segera.

Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukan sebanyak RM100,000 kepada setiap ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat bagi membantu membiayai kegiatan dan perlaksanaan mereka di kawasan masing-masing. Akan tetapi, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai peruntukan seumpama bagi ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat di negeri tersebut, kerana umumnya pemberian bantuan tersebut dianggap sensitif. Ini adalah kerana, pada teorinya, peranan ahli-ahli parlimen adalah ditentukan di peringkat persekutuan dan sebenarnya ahli-ahli parlimen ini tidak mempunyai kuasa untuk menentukan halatuju dan dasar kerajaan negeri.

Memandangkan masih ramai yang membawa isu-isu berbangkit dan masalah untuk perhatian ahli-ahli parlimen, adalah wajar, wakil-wakil rakyat ini diberikan peranan-peranan yang tertentu di dalam kerajaan negeri. Mereka yang punyai kepakaran dan pengetahuan di dalam sesuatu bidang sudah tentunya dapat memberikan sumbangan mereka kepada kerajaan negeri dan rakyat pada keseluruhannya.

Percanggahan masih ada

Percanggahan tugas dan tanggungjawab di antara ahli-ahli parlimen, dewan undangan negeri dan ahli-ahli majlis tempatan masih jelas dan ketara memandangkan rakyat masih tidak dapat membezakan peranan dan tanggungjawab ketiga-tiga jenis badan perundangan ini.

Secara teorinya, kita tahu bahawa para ahli parlimen dan dewan undangan negeri sepatutnya lebih bertumpu kepada perbahasan dan perlaksanaan dasar, sementara ahli-ahli majlis tempatan pula akan bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan perancangan bandar, daerah dan kampung dan memastikan agar kebajikan rakyat dipelihara oleh majlis-majlis tempatan.

Namum demikian, sehingga pada hari ini, kita masih dapati ahli-ahli parlimen dan dewan undangan negeri ini sering campurtangan, mengubah atau menghalang dasar-dasar majlis tempatan daripada dilaksanakan.

Ini adalah kerana, rakyat sering mengajukan aduan dan ketidakpuashati mereka kepada ahli-ahli “Yang Berhormat” ini yang sanggup menerima apajua tuntutan, permintaan dan aduan mereka tanpa merujuk terlebih dahulu prosedur-prosedur majlis tempatan yang sebenarnya.

Oleh itu, teori mengenai pembahagian kuasa dan tanggungjawab ini tidak semestinya akan menjadi kenyataan, walaupun ianya adalah sesuatu amalan yang baik dan efisien dari segi penetapan dan perlaksanaan dasar, namum hakikatnya adalah jelas, rakyat akan sentiasa mengharapkan “Yang Berhormat” yang dipilih mereka akan memenuhi citarasa mereka.

Pada suatu jangkamasa yang akan datang, rakyat perlu didedahkan dengan lebih jelas mengenai teori pembahagian kuasa di antara peringkat kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan agar ianya dapat dijalankan dengan lebih efisien dan tidak lagi dipercanggahkan dengan campurtangan pelbagai pihak yang tidak berkenaan.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork