Janganlah diperbankrapkan negara ini!
(Rencana ini telah disiarkan dalam kolum saya di Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Nampaknya
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu-Baru (Umno) sudah tidak dapat berubah
lahi. Dah dicuba pelbagai jenis ubat-ubatan, namum sehingga ke hari ini sakit
barah di dalam Umno ini terus merebak ke seluruh organisasi parti tersebut yang
menyebabkan Umno kini semakin tenat.
Di dalam
perhimpunan agong Umno yang telah diadakan pada Disember 2011 tahun lalu, mesej
yang jelas disampaikan oleh kebanyakan pemimpin parti itu menunjukkan perasaan
syak-wasangka dan kebencian mereka terhadap masyarakat bukan Melayu di negara
ini kian memuncak. Beberapa pemimpin Umno pada masa itu juga telah mengulangi
ancaman mereka terhadap para penganut dan masyarakat Kristian agar “tidak
melampaui batas” mereka.
Selain itu,
daripada telatah beberapa orang perwakilan dalam perhimpunan agong Umno itu
juga menunjukkan bertapa gilanya mereka ini untuk memastikan kemenangan di
dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang walau dengan apajua cara pun,
diikuti dengan ancaman bahawa pertumpahan darah akan berlaku sekiranya mereka
dikalahkan di dalam PRU yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Ya, penyakit
barah di dalam Umno ini sememangnya tidak dapat diubati lagi, apatah lagi
dengan para pemimpin parti itu yang turut menghidapi penyakit tersebut.
Yang anti-1Malaysia adalah Umno sendiri
Daripada apa
yang sering dilaung-laungkan oleh presiden Umno dan perdana menteri Najib Razak
telah membongkarkan kepada umum yang beliau dan para pemimpin Umnolah yang
sebenarnya anti-1Malaysia selama ini.
Sejak
mengambil-alih pucuk pimpinan dalam Umno, Najib sering tidak menghiraukan dan
membenarkan budaya mengeluarkan ancaman dan membakar semangat kebencian
berkembang subur terutamanya apabila perhimpunan agong Umno itu diadakan pada
setiap tahun. Biarpun apabila Najib berdepan dengan parti-parti komponen
Barisan Nasional (BN) yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP, SUPP, Upko, PBS
dan LDP, lain pula lakonan beliau.
Yang
menyebabkan penyakit barah di dalam Umno ini semakin parah adalah setelah dua
hari perhimpunan agong Umno itu pada Disember tahun lalu, Najib secara rasmi
merayu bantuan dan sokongan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang ekstrim, radikal dan ganas, iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah
Malaysia (Pekida) bagi memastikan kemenangan mutlak Umno walau dengan apajua
cara di dalam PRU yang akan datang (yang bermakna boleh juga membelakangkan
amalan demokrasi, mengadakan huru-hara, serta menyebabkan pertumpahan darah).
Dan
kenyataan Najib ini jelas telah memaku 1Malaysia dan seterusnya menamatkan
riwayat hidup slogan ciptaan beliau itu.
Kronisme dalam Umno makin teguh
Selain
daripada ekstrimisme dalam Umno yang semakin membara, kronisme di dalam parti
tersebut turut menjadi semakin teguh dan kukuh.
Kronisme
yang teguh dalam Umno itu jelas terpapar apabila ramai pemimpin tertinggi Umno
yang giat berusaha melindungi ketua wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil yang kini
sedang menghadapi asakan berikutan skandal penyelewengan peruntukan kerajaan
oleh syarikat milik suaminya, National Feedlots Corporation Sdn Bhd (NFC) yang
telah menyebabkan kerajaan persekutuan mengalami kerugian berjuta-juta Ringgit.
Mungkin
hanya terdapat di antara dua hingga tiga pemimpin Umno yang mendesak perletakan
jawatan Shahrizat sebagai menteri kabinet, senator dan ketua wanita Umno, namum
kalangan majoriti pemimpin Umno mahu Shahrizat dikekalkan jawatan beliau di
dalam kabinet dan parti.
Bolehkah Umno berubah?
Persoalannya
adalah, bolehkah Umno berubah menjadi baik? Sebagai rakan paling besar dan
“kuat” di dalam kerajaan BN, bolehkah Umno maju ke hadapan untuk melindungi hak
rakyat jelata yang berbilang kaum dan memastikan kebajikan serta kedudukan
masyarakat Cina, India, Kadazan, Dayak, Iban dan sebagainya di dalam negara ini
agar terjamin? Bolehkah Umno menghapuskan rasuah di dalam parti tersebut?
Bolehkah Umno menghentikan pemberian kontrak dan projek kepada kroni-kroni
dalam parti yang bertaraf golongan bangsawan yang menjadikan mereka ini semakin
kaya raya pada setiap hari? Dapatkah Umno menyelamatkan negara ini daripada
ambang inflasi yang semakin runcing dan keadaan ekonomi negara yang semakin
tenat?
Sewaktu
perhimpunan agong Umno pada tahun lalu, satu laporan akhbar ada menyebut, “Umno
dijangka akan memenangi PRU yang akan datang tetapi tidak akan dapat memimpin
negara yang berbilang kaum ini dengan berkesan”.
Ini
bermakna, harapan kita, selaku rakyat Malaysia terhadap para perwakilan Umno
ini di dalam menjadi penentu halatuju dan wawasan negara telah dibalas pula
dengan pelbagai bentuk persembahan mereka yang sungguh mendukacita serta
memalukan.
Daripada
membentangkan dasar-dasar yang dapat menggorakkan negara ini untuk maju ke
hadapan, para perwakilan Umno ini asyik berdebat dengan isu-isu yang kuno dan
bersifat jahiliah, seperti mengancam orang-orang yang berada di luar Umno,
melakukan ejekan terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, mengancam masyarakat
Cina dan India, membincangkan cara-cara untuk membalas dendam dan asyik
melabelkan para pemimpin pembangkang sebagai pengkhianat negara dan bangsa,
penderhaka, pendusta, anti-Melayu, anti-Islam serta ancaman Kristian terhadap
Islam dan Melayu.
Apa yang
didakwa oleh kebanyakan perwakilan dan pemimpin Umno ini, kononnya masyarakat
Melayu sendang diancam oleh orang-orang Kristian, orang-orang Melayu akan pupus
jika Umno tidak ada lagi, negara ini akan menjadi sebuah republik, kesemuanya
ini adalah sandiwara Umno semata-mata bagi membangkitkan api kemarahan
masyarakat Melayu terhadap kaum yang lain.
Nampaknya
perhimpunan agong Umno yang diadakan setiap tahun selalunya telah disia-siakan
dengan begitu sahaja dengan adegan-adegan yang hanya bertumpu kepada politik
dengki, benci membenci, dendaman serta tajuk yang sering diulangi kononnya
orang-orang Melayu sedang diancam oleh pihak asing. Rupa-rupanya semua pihak
disekeliling Umno selalunya salah dan hanya Umno sahaja yang betul-betul
“suci”.
Bagaimana
pula dengan negara ini? Lupakah Umno tentang pembaharuan? Lupakah Umno akan
pentingnya ekonomi negara? Lupakah Umno yang negara ini merangkumi penduduk berbilang
kaum, agama dan budaya? Kenapa asyik berdebat mengenai kepentingan politik di
dalam Umno sahaja selama ini?
Dan Najib
ada memberitahu Pekida, “jika sekiranya kita membuat perhitungan salah dan
silap memilih parti untuk memerintah negara ini, Malaysia akan menjadi satu
lagi Greece” (sebuah negara di benua Eropah yang telah bankrap akibat
penyelewengan).
Sudah
tentunya Najib sedang merujuk kepada BN dan Umno khususnya. Buktinya sudahpun
berada di depan mata umum. Projek dan kontrak diberikan kepada kroni-kroni Umno
yang langsung tidak berpengalaman, terus membenarkan aktiviti perolehan
(pembelian) di jabatan-jabatan kerajaan dengan kadar yang melebihi harga
pasaran sebanyak 150 peratus, walaupun ketua audit negara telah memberi amaran
mengenai kegiatan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa itu, pemberian
wang tunai kepada umum secara berlebihan untuk mendapatkan undi, meluluskan
kenaikan gaji yang begitu tinggi sekali untuk semua kakitangan awam semuanya
semata-mata untuk menambat hati para pegawai kerajaan bagi memastikan undi
mereka kepada BN adalah kukuh.
Jumlah
kakitangan awam pula telah meningkat dengan begitu mendadak sekali sehingga
mencapai angka 1.4 juta orang pada hari ini. Menurut seorang pegawai kanan
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jumlah 1.4 juta orang itu adalah sangat
“memadai”.
Di negara
Jepun yang mempunyai seramai 127 juta penduduk hanya mempunyai jumlah
kakitangan awam di seluruh negara seramai 1.45 juta orang. Malaysia yang hanya
mempunyai jumlah penduduk seramai 28 juta orang mempunyai jumlah kakitangan
awam yang hampir sama dengan negara Jepun. Nampaknya adalah perlu untuk
mengurangkan saiz perkhidmatan awam di negara ini yang dianggap telah melebihi
apa yang sepatutnya bagi mengelakkan Malaysia daripada menjadi muflis seperti
Greece.
Oleh itu,
rakyat jelata perlu mengelakkan satu lagi risiko dengan Umno. Negara ini
sudahpun memperlihatkan parti-parti alternatif (Pakatan Rakyat) yang kini
memerintah empat buah negeri telah membuahkan hasil dengan berjaya meningkatkan
pendapatan kerajaan negeri, mengurangkan bebanan hutang negeri dan menghapuskan
pelbagai bentuk penyelewengan dan pemborosan dalam sektor kewangan kerajaan
negeri. Malah, ketua audit negara turut memuji kecekapan dan pencapaian
negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kerana dasar mereka yang
telah memperkukuhkan hasil kewangan setiap kerajaan negeri yang diuruskan oleh
mereka.
Siapakah sebenarnya pengancam orang-orang Melayu?
Sewaktu
perhimpunan agong Umno, Najib dan para pemimpin Umno yang lain asyik melabelkan
keadaan yang tidak waras mengenai bagi
DAP untuk menakut-nakutkan masyarakat Melayu dengan menggelar DAP sebagai
anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja Melayu, komunis dan DAP akan jadikan negara
ini sebuah republik Kristian.
Apabila PAS
berjaya menguasai Terengganu yang majoritinya penduduk Melayu pada tahun 1999,
siapakah yang telah menarik balik royalti minyak untuk negeri tersebut dan
digantikan pula dengan tabung Wang Ehsan yang lebih kecil saiznya? Adakah itu
perbuatan DAP?
Siapakah
yang telah mencetuskan krisis perlembagaan pada tahun 1983 dengan mengurangkan
kuasa dan peranan raja-raja Melayu? Adakah itu perbuatan DAP?
Pada tahun
2008, siapakah yang membantah titah Sultan Terengganu pada masa itu yang tidak
melantik semula Datuk Idris Jusoh sebagai menteri besar dan mencaci baginda
sultan dengan perkataan “binatang” yang tertulis pada kain rentang sewaktu
bantahan itu? Adakah itu perbuatan DAP?
Siapakah
yang telah melelong kewarganegaraan Malaysia kepada para pendatang asing tanpa
izin (PATI) di negeri Sabah untuk memastikan Umno kekal berkuasa di negeri
tersebut pada setiap pilihanraya negeri? Adakah itu perbuatan DAP?
Jadi, di
manakah kebenarannya jika sekiranya BN dan Umno tidak dipilih semua di dalam
PRU yang akan datang, orang-orang Melayu akan diancam kepupusan? Siapakah yang
sebenarnya mengancam kedudukan orang-orang Melayu selama ini?
Namun, Najib
terus menyeru Pekida agar “mempertahankan kerajaan (Umno) yang ada sekarang”
demi memastikan kedudukan istimewa orang-orang Melayu terjamin, mengukuhkan
kedudukan Islam dan mendaulatkan keagongan raja-raja Melayu sambil menambat
dadanya, Najib melaungkan, “kita adalah pahlawan Melayu” dan seterusnya para
perwakilan Pekida bangkit dengan laungan. “Hidup Melayu”.
Dengan
kenyataan Najib dan suasana di dalam perhimpunan Pekida itu, seolah-olah negara
kita ini sedang menghadapi peperangan atau serangan daripada pihak asing.
Siapakah Pekida sebenarnya?
Di dalam
suasana Umno yang sedang “diancam”, tiba-tiba timbul sebuah pertubuhan NGO yang
bergelar Pekida, entah keluar dari lubang mana untuk mempertahankan
habis-habisan Umno yang kian pupus itu.
Apakah itu
Pekida sebenarnya dan siapakah mereka? Pertubuhan ini bagaikan sebuah kumpulan
samseng ataupun kongsi gelap yang berdaftar. Mereka berhubung berpandukan
kod-kod rahsia seperti cara mereka berjabat tangan, merokok dan memberikan
isyarat muka. Pekida mendakwa kini mempunyai dua juta orang ahli di seluruh
negara.
Sewaktu
penayangan filem Melayu “KL Gangster” di pawagam-pawagam pada tahun 2011 yang
lalu, Pekida pernah mengemukakan bantahan mereka apabila panggilan seperti
“abang long” dan “ayahanda” digunakan di dalam filem tersebut.
Ini
mendorong seorang penulis blog bebas untuk mempersoalkan bantahan Pekida itu,
“apakah benar kononnya filem tersebut telah mendedahkan kod-kod rahsia Pekida?
Terkejut juga dengan pertubuhan kebajikan dan dakwah itu yang turut bercirikan
pertubuhan bawah tanah dan kongsi gelap! Pekida adalah gangster Melayu?
Perlukah pertubuhan ini disiasat polis? Mana ada pertubuhan kebajikan dan
dakwah Islam yang mengguna pakai kod-kod rahsia untuk berhubung?”
Rayuan Najib
untuk mendapatkan bantuan Pekida bagi menghadapi serangan parti-parti
pembangkang menunjukkan bahawa Umno kian terdesak kerana parti tersebut
telahpun kehabisan modal untuk terus memerintah.
Umno
sememangnya sudah tidak dapat bertahan lagi. Jadi apa yang ada padanya hanyalah
serangan demi serangan terhadap lawannya dengan fitnah-fitnah yang dicipta,
tuduhan palsu, asyik memainkan tayangan berunsurkan seks, menerbit video-video
lucah, memainkan isu-isu perkauman, agama dan raja-raja Melayu yang kononnya
ketiga-tiga institusi ini sedang diserang, diancam dan dipinggirkan oleh
“pihak-pihak” yang tertentu.
Dan dengan
cara sebeginilah Umno berharap akan dapat terus hidup. Bagaimana? Dengan terus
membangkitkan adegan-adegan yang kononnya orang-orang Cina akan melenyapkan
semua orang-orang Melayu, orang-orang Cina akan mengKristiankan masyarakat
Melayu, orang-orang Cina akan menggulingkan raja-raja Melayu, memansuhkan
Bahasa Melayu, menghapuskan agama Islam dan menjadikan Malaysia sebuah republik
Kristian atau komunis.
Dengan cara
inilah, Umno berharap akan dapat menakutkan masyarakat Melayu dan sekaligus
membuahkan api kemarahan dan kebencian orang-orang Melayu terhadap kaum-kaum
yang lain. Seterusnya, Umno akan mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut
untuk keluar menjadi “juara” dengan memimpin “perjuangan” mereka di dalam
“mempertahankan” seluruh umat Melayu, kononnya.
Cara ini
menyamai taktik politik perkauman yang digunakan oleh Adolf Hitler dan Parti
Nazi pimpinannya sewaktu berada di kemuncak kekuasaan di negara Jerman sebelum
perang dunia kedua.
Jadi, apa
yang Umno hanya berminat adalah perkauman, kebencian, peperangan, keganasan,
pertumpahan darah, ketuanan dan kuasa mutlak ke atas hamba-hamba abdinya.
Apakah kesemua ini dapat membawa sebarang faedah dari segi memupuk semangat
perpaduan di antara kaum ataupun untuk memajukan ekonomi negara kita ini?
Tidak, sebaliknya ianya akan hanya membawa negara ini ke kancah kemusnahan dan
kebankrapan sama seperti yang sedang dialami Greece.
Janganlah
kita diperdayakan lagi oleh Umno yang akan membankrapkan negara ini.