“Keganasan” Umno perlu ditamatkan dengan segera
(Rencana ini telahpun disiarkan dalam kolum saya di Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Pada hari
ini ramai di antara kita telahpun memerhati bagaimana beberapa buah negara
Eropah yang telah tumbang dan terus menjadi bankrap akibat daripada krisis
matawang Euro yang sedang berlaku.
Sepanyol, Itali,
Greece adalah di antara negara di benua itu yang paling awal mengalami
kebankrapan akibat krisis matawang tersebut, sementara kerajaan di beberapa
buah negara lagi mulai goyah akibat tidak dapat bertahan dengan kejatuhan teruk
matawang itu dan juga ekonomi masing-masing yang tidak dapat dipulihkan lagi.
Selain
daripada itu, keadaan yang serupa turut mempengaruhi Amerika Syarikat yang mana
defisit belanjawannya telahpun mencecah begitu tinggi sehingga menyebabkan
ekonomi kiasa besar itu turut terancam dengan ditambah lagi dengan kadar
inflasi yang semakin runcing.
Bagaimana
perbendaharaan kerajaan itu diuruskan akan dijadikan penentu yang mutlak sama
ada sesebuah kerajaan itu cekap, berhemah dan akan dapat bertahan di dalam
suasana dan krisis ekonomi yang sedemikian.
Malaysia
tidak terkecuali di dalam menghadapi situasi tersebut. Menteri di jabatan
perdana menteri Datuk Seri Idris Jala pernah memberi amaran pada tahun 2010
yang lalu bahawa negara ini akan mengalami kebankrapan jika sekiranya subsidi-subsidi
di luar sana tidak ditarik balik dengan segera.
Walaupun
terdapat beberapa percanggahan pada angka yang dibentangkan, namun ramai di
antara kita yang akan menyetujui defisit belanjawan negara ini perlulah
dikurangkan dengan segera dan bukan sebaliknya. Sama ada ianya akan dapat
dicapai, itu yang menjadi persoalan sekarang berdasarkan kedudukan defisit
kerajaan BN yang telahpun berrlarutan selama 14 tahun lamanya yang tidak pernah
dikurangkan.
Belanjawan
2012 yang dibentangkan oleh perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak pada
tahun lalu telah menyaksikan defisit yang semakin meningkat. Apakah yang sedang
berlaku? Jikalau defisit belanjawan negara ini makin naik dan dengan mendadak
sekali pada setiap tahun, sudah pasti terdapat sesuatu yang tidak kena sedang
atau telah berlaku selama ini dan begitu juga dengan cara BN menguruskan
perbendaharaan negara.
Belanjawan Pulau Pinang dan Selangor
Xetelah kita
melihat bertapa peritnya belanjawan kerajaan persekutuan BN yang terus
mengalami defisit selama 14 tahun berturut-turut, mari kita melihat pula
bagaimana belanjawan di negeri Pulau Pinang dan Selangor diuruskan sejak
daripada bulan Mac 2008 yang lalu sehinggalah kini.
Pembentangan
belanjawan pada setiap tahun adalah merupakan masa yang tepat untuk menilai
prestasi sesebuah kerajaan dalam pengurusan kewangan sama ada ianya dilakukan
dengan cekap, amanah dan telus atau sebaliknya.
Di dalam
ucapan pembentangan belanjawan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
memberikan tema “perbelanjaan berhemah”, “penggurangan beban hutang negeri”,
“meningkatkan pendapatan kerajaan”, dan “pengurusan kewangan berasaskan konsep
CAT (Cekap, Akauntabel, Telus)”, sementara Menteri Besar Selangor Tan Sri
Khalid Ibrahim pula menawarkan tema “pendapatan negeri untuk faedah rakyat” dan
“pengurusan kewangan yang cekap”.
Ya,
sememangnya tema-tema yang dikemukakan oleh Guan Eng dan Tan Sri Khalid bagi
belanjawan negeri masing-masing bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja kerana
kedua-dua kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya membuktikan
kebolehan mereka dalam pengurusan tadbir yang jauh lebih baik daripada BN
ataupun Umno.
Di Pulau
Pinang, umpamanya, kerajaan negeri telah berjaya mengurangkan defisit negeri
daripada RM630.2 juta pada tahun 2008 (sebelum Mac) kepada RM29.7 juta pada
tahun 2011. Ia menunjukkan kadar penurunan defisit negeri sebanyak 95.3% dalam
masa tiga tahun sahaja, iaitu suatu pencapaian yang begitu memberangsangkan
dari segi pengurusan kewangan kerajaan negeri.
Perkara yang
sama juga telah dibuktikan di negeri Selangor apabila kerajaan negeri telah
mencatatkan kenaikan simpanan tunainya yang paling tinggi sekali dalam 28
tahun, jumlah RM1.2 bilion yang merangkumi RM946.7 juta dalam bentuk tunai
sementara bakinya terletak di dalam tabung amanah negeri. Data yang diperolehi
daripada perbendaharaan negeri Selangor telah menunjukkan pencapaian negeri
Selangor yang begitu memberangsangkan selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih
teraju pemerintahan negeri pada tahun 2008 yang lalu.
Peningkatan
rizab tunai kerajaan negeri Selangor juga membuktikan pengurusan kewangan yang
lebih efisien serta pengurusan sumber-sumber negeri yang lain, pungutan hasil
yang tertunggak dan pengurusan aset negeri yang lebih teratur dan profesional.
Kedua-dua
kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah membuktikan komitmen mereka
dengan sumber kewangan negeri yang ada bagi membantu proses pendemokrasian
dengan menggalakkan penyertaan dan perdebatan masyarakat, memastikan agar
ketelusan dan akauntabiliti terjamin sepanjang masa.
Di Pulau
Pinang contohnya, kerajaan negeri telah membentuk sebuah Perbadanan Kemajuan
Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi memajukan kaum hawa dengan pelbagai program,
latihan dan pembangunan. Indeks akauntabiliti turut diperkenalkan kepada semua
kakitangan kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan petadbiran dan pengurusan.
Kerajaan
negeri Selangor pula telah memperkenalkan “Geran Selangorku” di mana pelbagai
peruntukan akan disalurkan bagi membantu kaum wanita, latihan untuk para
peniaga kecil, pengukuhan demokrasi, sumbangan kepada aktiviti kebudayaan dan
masyarakat.
Dalam pada
itu, kedua-dua belanjawan negeri juga turut memperuntukan jumpah yang
berpatutan untuk keselamatan sosial dan juga bantuan untuk keluarga-keluarga
yang miskin dalam negeri-negeri tersebut.
Kedua-dua
kerajaan negeri tersebut sememangnya patut diberikan kepujian kerana
langkah-langkah yang telah diambilnya itu jelas memberikan pelbagai manfaat
kepada rakyat jelata. Adakah rakyat menikmati keindahan sedemikian sewaktu
pemerintahan BN dan Umno?
Pembentangan
belanjawan negeri yang berdasarkan tumpuan yang lebih menyeluruh terhadap
pembangunan ekonomi dan rakyat di negeri masing-masing sambil memberikan
penekanan kepada pencapaian dan mutu perkhidmatan serta pengurusan kewangan yang
lebih efisien, teratur dan profesional.
Dengki Umno makin mendalam terhadap kejayaan Pakatan
Rakyat
Dengan
negeri Pulau Pinang dan Selangor yang semakin mengecapi kejayaan demi kejayaan
di dalam pentadbirannya baik dari segi pengurusan kewangan, mahupun kebajikan
rakyat, Umno pula mula merasakan yang kedudukan mereka yang semakin goyah.
Ini adalah
kerana, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperbetulkan berbagai-bagai
bentuk kesilapan dan penyelewengan lampau sehinggalah bulan Mac 2008 yang lalu
dan dibongkarkan pula dengan pelbagai salahguna kuasa, rasuah dan penawaran
tender-tender serta projek yang tidak mengikut peraturan dan melanggar
undang-undang yang telah lama dilakukan oleh Umno.
Dan oleh
kerana Umno telah tidak dapat bertahan dengan pembongkaran mengenai pelbagai
bentuk salahlaku dan perbuatan jahatnya sebelum ini, para pemimpin Umno mula
beralih pula kepada taktik bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada dosa-dosa
lampau Umno dengan membangkit isu-isu perkauman dan agama.
Dari Pulau
Pinang sehinggalah ke Selangor gertakan perkauman Umno semakin ganas dan
mengancam dengan pelbagai bentuk dakwaan dan tuduhan kononnya kedua-dua
kerajaan negeri tersebut telah meminggirkan masyarakat Melayu, orang-orang
Melayu diseksa, tanah orang Melayu dirampas, para peniaga dan penjaja Melayu
dihalau, surau-surau diroboh, tanah masjid dijual kepada pemaju Cina dan
macam-macam lagi yang bertujuan untuk membangkitkan api kemarahan dan kebencian
masyarakat Melayu terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.
Dengan
tindakan sedemikian rupa, Umno berharap akan dapat memperoleh semula sokongan
orang-orang Melayu terhadapnya dan pada masa yang sama dapat mengalihkan
tumpuan masyarakat Melayu terhadap kejayaan urus tadbir kewangan, ekonomi dan
kebajikan di kedua-dua negeri oleh Pakatan Rakyat dan juga segala dosa-dosa serta
pengkhianatan yang telah Umno lakukan selama ini terhadap orang-orang Melayu.
Umno
sememangnya telah kehabisan modal untuk terus memerintah dan oleh itu, mereka
akan terus menyemarakkan lagi sentimen perkauman, keganasan, dengki dan
kebencian terhadap mana pihak yang cuba membongkar rahsia jahatnya.