Buktikan yang kadar jenayah telah menurun
Bagaimana pula Hishamuddin boleh mengatakan bahawa Tan Sri Khalid tidak menghargai sumbangan dan kejayaan polis selama ini? Kata Hishamuddin juga kerana polis kadar jenayah di negara kita ini telah menurun.
Bolehkah Hishamuddin tolong buktikan yang kadar jenayah telah menurun? Ini adalah kerana selama ini kami semua hanya menerima laporan demi laporan tanpa menunjukkan fakta-fakta yang tepat.
Jenayah yang semakin berleluasa selama ini telah memaksa kebanyakan persatuan penduduk mengambil inisiatif untuk membentuk pasukan keselamatan mereka sendiri dan mendirikan pagar berdawai ataupun kawat berduri bagi melindungi rumah-rumah mereka daripada dicerobohi penjenayah.
Kesemua ini dibuat atas inisiatif para penduduk dengan perbelanjaan wang mereka sendiri tanpa meminta bantuan daripada mana-mana pihak.
Hishamuddin perlu memahami bahawa masih ramai di antara kita yang merasa tidak selamat walaupun dengan kehadiran pihak polis. Kalau ada polis yang meronda di situ, seseorang yang tidak bersalah pula akan diheret dan ditampar dimukanya, manakala seorang lagi peniaga pula ditahan dan dibelasah di tengah-tengah jalan tanpa sebab-sebab yang munasabah.
Jadi, walaupun dengan kehadiran polis, adakah kita selamat? Adakah kita akan terasa aman damai seperti yang diharapkan dan dikadarkan jenayah itu telah menurun? Polis pun lakukan jenayah!
Oleh yang demikian, Hishamuddin kenalah lebih memahami aspek dan tujuan kerajaan negeri Selangor memohon untuk menubuhkan pasukan polis bantuan bukannya untuk merendahkan martabat dan kredibiliti pasukan polis yang sedia ada. Kenalah lihat dari sudut positif bahawa niat Tan Sri Khalid yang sebenarnya adalah baik dan murni, iaitu mencegah dan membendung jenayah.
Kenyataan Hishamuddin yang menentang cadangan Tan Sri Khalid ini lebih kepada bersikap kebudak-budakkan.