Kabinet Baru BN, Hanya Berupa Tin Kosong
Senarai ahli-ahli kabinet menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional (BN) baru yang telah diumumkan oleh perdana menteri dan pengerusi BN, Najib Razak pada minggu yang lalu adalah merupakan satu kabinet yang berupa tin kosong sahaja. Boleh juga dianggap sebagai kabinet boneka.
Kenapa kita menyatakan sedemikian? Ya, ramai yang tertanya-tanya mengenai gelaran yang kita berikan kepada para menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri di bawah pimpinan Najib. Daripada apa yang kita perhatikan, jumlah keanggotaan di dalam kabinet ini telah berkurangan, dan ditambah pula dengan jumlah menteri-menteri di jabatan perdana menteri (JPM).
Ini bermakna, kabinet baru yang dibentuk oleh Najib kini telah memusatkan segala kuasa mutlaknya di dalam JPM sahaja sementara kementerian-kementerian lain adalah bagaikan tin kosong ataupun bahan petunjuk ala boneka sahaja. Kita tengoklah menteri-menteri di JPM yang dahulunya hanya mempunyai lima orang menteri, tetapi di dalam kabinet baru ini, jumlah menteri-menteri di JPM telah ditambah daripada lima orang ke lapan orang. Nampaknya JPM kini adalah merupakan kementerian yang paling besar dan berkuasa sekali di dunia. Boleh juga dikatakan JPM turut mempunyai amaun belanjawan yang paling tinggi sekali dan juga mempunyai jumlah kakitangan yang paling ramai sekali di dunia.
Marilah kita perhatikan apakah agensi-agensi dan jabatan-jabatan khusus yang berpusat di JPM. Antaranya adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Pejabat Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan (Suhakam), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Biro Pengaduan Awam (BPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Audit Negara (AGO), Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Parlimen Malaysia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan bermacam-macam badan-badan serta agensi-agensi yang berkaitan.
Nampaknya amat benar sama sekali bahawa JPM adalah merupakan antara kementerian yang paling berkuasa sekali di dunia. Maka perdana menteri itu juga turut menjadi orang yang paling berkuasa sekali, bagaikan seorang diktator. Kita tengoklah beberapa contoh, SPRM, SPR, AGC, Suhakam, SPK, Jabatan Parlimen Malaysia dan EAIC yang sepatutnya berada di bawah pengawasan langsung parlimen, tetapi ianya semua berpusat di dalam JPM. Beberapa jabatan dan agensi yang turut mempunyai pertindihan kuasa dan tugas dengan kementerian-kementerian yang sedia ada seperti SPP (dengan kementerian pelajaran dan pengajian tinggi), SPAD (dengan kementerian pengangkutan), APMM (dengan kementerian dalam negeri atau kementerian pertahanan), BPH (yang sepatutnya berada di bawah penyeliaan kementerian kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan), FELDA dan PERDA pula sepatutnya berada di bawah kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah. Manakala EPU adalah sebuah agensi yang sepatutnya berada di bawah kelolaan kementerian kewangan.
Bukan sahaja peranan dan kuasa agensi-agensi di bawah JPM ini bertindih dengan beberapa kementerian-kementerian yang telah wujud dan sedia ada, bahkan, ianya turut wujud suatu keadaan di mana peranan dan tanggungjawab penguatkuasaan sesuatu undang-undang diduplikasikan tanpa arah dan halatuju yang jelas mengenai siapakah yang sepatutnya merealisasikannya dan ke tahap mana. Terdapat banyak kekeliruan yang timbul akibat daripada bermacam-macam bentuk pertindihan dan duplikasi tanggungjawab. Akhirnya sekali, para pegawai di kedua-dua belah pihak akan bertindak sambil lewa oleh kerana tidak ada maklumat dan peraturan yang jelas mengenai kuasa, peranan dan setakat mana mereka perlu jalani peranan-peranan dan tanggungjawab tersebut.
Masalah serius yang satu lagi adalah, kenapa kabinet ini asyik memerlukan dua orang menteri kewangan di mana salah seorang daripadanya adalah perdana menteri, dan begitu juga dengan kementerian pelajaran dan pengajian tinggi yang turut mempunyai dua orang menteri. Negara manakah di dalam dunia ini yang mempunyai dua orang menteri dalam satu portfolio yang sama? Kecuali jika sekiranya sesebuah negara berkenaan tidak dapat mencapai kata sepakat di dalam persengeketaan atau perbalahan politik ataupun suatu penyelesaian untuk menamatkan satu siri perang saudara, maka terpaksalah kedua-dua pihak bersetuju dengan wakil-wakil daripada dua kumpulan politik yang bertentangan dilantik untuk sama-sama mengelola kementerian-kementerian atau jabatan-jabatan kerajaan yang kritikal seperti pertahanan, hal elwal dalam negeri, kehakiman dan sebagainya. Contoh yang paling ketara adalah di negara Kemboja (Cambodia) sewaktu selepas tamatnya perang saudara di antara puak-puak pimpinan Hun Sen dan Norodom Ranarinh yang menyaksikan kedua-dua pemimpin bertelagah itu dilantik sebagai perdana menteri bersama, diikuti juga dengan beberapa perlantikan menteri-menteri bersama seperti pertahanan, kehakiman, kewangan dan keselamatan dalam negeri.
Tetapi situasi tersebut tidak berlaku di dalam negara kita ini. Jadi kenapa pula BN perlu melantik dua orang menteri untuk menguruskan sesebuah kementerian yang tertentu? Ya, kita setuju bahawa ada kementerian-kementerian itu terlalu penting peranannya, tetapi adalah ianya terlalu kritikal sehinggakan ianya tidak mampu diuruskan oleh hanya seorang menteri sahaja? Ataupun pemimpin politik tersebut tidak yakin atau tidak mampu untuk berdikari? Kalaulah begitu, lantiklah daripada kalangan golongan teknokrat yang pakar di dalam bidang-bidang tertentu untuk menguruskan kementerian-kementerian yang "kritikal" tersebut. Kenapa pula beberapa orang calon menteri daripada kalangan golongan teknokrat itu perlu dipusatkan di dalam JPM sahaja? Ianya akan menghadkan pergerakan menteri-menteri yang pakar di dalam bidang-bidang tertentu ini daripada menjalankan kewajiban mereka dengan lebih arif dan profesional.
Satu lagi rangkaian yang diwujudkan oleh perdana menteri, iaitu majlis ekonomi (economic council) yang dibentuk pada tahun 2008 dan dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri. Adalah didapati bahawa majlis ekonomi ini bersidang lebih kerap daripada kabinet, dan ianya sering juga membuat keputusan yang mengatasi segala-galanya yang dibuat oleh kabinet. Jadi, peranan kabinet telah menjadi terbengkalai rupa-rupanya.
Pendek kata, perdana menteri kini menguasai segala-galanya dengan pemusatan kuasa di dalam JPM dengan penambahan menteri-menteri di JPM serta pertindihan dan duplikasi peranan dan tanggungjawab di antara JPM dan kementerian-kementerian yang tertentu.
Bukan sahaja kabinet ini hanya berupa tin kosong ataupun boneka semata-mata, bahkan struktur kerajaan tersebut adalah juga membazir dari segi kewangan dan tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat jelata pada keseluruhannya. Ianya hanya akan memberikan faedah kepada golongan politik bagi memuaskan nafsu kuasa dan perluasan pengaruh politik mereka, pada masa yang sama untuk mengisi kuota perlantikan ke jawatan-jawatan kerajaan untuk parti-parti komponen BN yang kini merangkumi lima belas parti-parti politik.