Gerakan masih tiada arah

Ini adalah kerana tidak ada sebarang pencapaian langsung dari segi penetapan halatuju parti tersebut, malah beberapa orang ahli ketika ditemui mengadu masih kurang faham dengan persidangan tersebut kerana tidak ada sebarang pencapaian konkrit yang boleh menaikkan semula semangat ahli-ahli parti.
Selain daripada itu, kebanyakan perwakilan yang hadir pada persidangan tersebut juga melahirkan rasa kurang faham mereka terhadap kenyataan terakhir presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon yang mengatakan beliau sanggup berkorban demi kepentingan parti.
Kenyataan Dr Koh itu sekaligus telah menimbulkan beberapa persoalan dan tanda tanya mengenai maksud sebenarnya presiden Gerakan itu, sama ada beliau akan meletakkan jawatannya sebagai presiden parti, senator dan menteri, ataupun akan bertanding di kawasan yang tidak selamat di pilihanraya yang akan datang, ataupun tidak akan bertanding langsung di dalam pilihanraya yang akan datang.
Malah kenyataan Dr Koh itu dikatakan gagal menaikan semangat para perwakilan pada hari terakhir persidangan parti kerana lebih daripada separuh perwakilan telahpun meninggalkan dewan persidangan beberapa jam sebelum ianya tamat. Ini bermakna, sebahagian besar dewan persidangan telahpun kosong sebelum berakhirnya persidangan.
Pemulauan beberapa bahagian
Di persidangan parti Gerakan kali ini, juga telah menyaksikan pemulauan secara terbuka oleh beberapa bahagian parti tersebut dari negeri Pulau Pinang khususnya, serta beberapa cawangan di Selangor, Kedah dan Perak kerana ketidakpuasan mereka terhadap kepimpinan Dr Koh yang dikatakan semakin lemah dan senantiasa ditekan oleh Umno, yang merupakan ketuanan besar di dalam gabungan Barisan Nasional (BN).
Ini menunjukkan bahawa Gerakan di bawah Dr Koh masih tidak dapat menunjukkan kepada para perwakilan dan para pemimpin akar umbi apakah sebenarnya halatuju yang boleh membawa parti tersebut keluar daripada keadaan yang terlalu lemah sekarang serta menguatkan semula parti tersebut bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang.
Perselisihan puak masih ketara di Pulau Pinang
Walaupun Gerakan Pulau Pinang telah banyak kali menunjukkan bahawa mereka masih “bersatu”, namun perselisihan di antara puak yang berpengaruh di dalam parti tersebut dikatakan masih ketara, malah ada ahli-ahli parti juga berpendapat bahawa perselisihan yang telah menjadi-jadi tersebut juga disebabkan oleh perebutan kuasa dan tempat sebagai “Calon Ketua Menteri” Pulau Pinang sekiranya parti tersebut berjaya merampas semula Pulau Pinang di pilihanraya yang akan datang.
Sebelum ini juga terdapat usaha yang aktif beberapa bahagian di Pulau Pinang untuk menumbangkan pengerusi perhubungan negerinya, Dr Teng Hock Nan yang mendukung kuat presiden Gerakan Dr Koh melalui penganjuran persidangan luarbiasa negeri, namum beliau berjaya mengekalkan kedudukannya dengan majoriti yang tipis.
Akibat daripada kemenangan tipis itu, Dr Teng telah berusaha mengukuhkan kedudukan beliau dengan menggugurkan beberapa orang pemimpin kanan daripada jawatankuasa perhubungan negeri yang dikatakan tidak sependapat dengan beliau.
Pemimpin Gerakan Kedah letak jawatan
Selepas tamatnya persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan baru-baru ini juga telah menyaksikan perletakan jawatan setiausaha organisasi Gerakan Kedah, Tang Liang Hye oleh kerana beliau tidak puashati dengan kelemahan parti yang masih gagal diperbaiki oleh Dr Koh setelah mengalami kekalahan yang teruk di dalam pilihanraya umum tahun 2008 yang lalu.
Tang, yang juga pegerusi Gerakan bahagian Padang Serai telah meletakkan semua jawatan bahagian dan cawangannya sebagai membantah corak kepimpinan yang ada sekarang yang masih tidak mempunyai halatuju yang terang bagi membolehkan Gerakan menuju ke hadapan dengan suatu harapan yang baru.
Perlukah ahli-ahli menunggu lagi?
Persoalan yang kritis dan kritikal di sini adalah, bolehkan ahli-ahli Gerakan bersabar lagi dengan keadaan partisekarang yang mereka anggotai sekian lama ini? Tahap mana kesabaran tersebut akan bertahan dan bilakah Dr Koh akan mengumumkan pelan untuk mengukuhkan Gerakan bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang?
Selain daripada itu, persoalan yang paling ketara di kalangan ahli-ahli Gerakan, adakah parti tersebut akan dapat bangkit semula di bawah kepimpinan Dr Koh. Ini adalah kerana ramai ahli-ahli parti yang mengatakan bahawa kepimpinan beliau saban hari mengelirukan lagi mereka.
Perlukah ahli-ahli Gerakan menunggu lagi dan mendapat satu lagi tamparan? Terpulanglah!