RELA dan Wataniah komponen baru politik BN

RELA atau nama penuhnya Ikatan Relawan Rakyat Malaysia telah ditubuhkan pada 11 Januari 1972 di bawah Akta (Kuasa-kuasa perlu) Darurat 1964, Pindaan 2005 (RELA).

Pembentukan RELA adalah untuk memberikan peluang kepada rakyat jelata untuk tampil ke hadapan untuk berkhidmat untuk negara melalui penglibatan secara sukarela di dalam pasukan keselamatan tersebut, umumnya membantu kerajaan memelihara keamanan dan keselamatan negara.

Akan tetapi, RELA yang sepatutnya menjadi benteng keselamatan dan pertahanan negara selain daripada angkatan tentera dan pasukan polis, telah dipolitikkan oleh kerajaan pusat.

Penglibatan ramainya ahli-ahli dan pemimpin akar umbi parti-parti politik yang memerintah khususnya daripada kalangan Umno dan MCA telah mengakibatkan pasukan RELA tersebut telah dijadikan seperti satu lagi komponen politik untuk Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa yang mereka sedang nikmati sekarang berikutan kemerosotan pengaruh mereka di dalam tsunami politik pada tahun 2008 yang lalu.

Pada asasnya seseorang yang baru menganggotai RELA perlu menjalani pelbagai jenis latihan dan kursus bagi menyediakan mereka untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh mengancam keselamatan negara pada amnya. Kursus Asas RELA adalah dikelolakan bagi melatih ahli-ahli RELA yang baru di dalam selok belok asas mengenai peperangan, pemetaan, jungle tracking dan sebagainya, manakala Kursus Ketua Platun pula dikhususkan untuk calon-calon daripada kalangan ahli-ahli RELA yang berpotensi untuk menjadi pegawai ataupun pegawai tanpa tauliah.

Pegawai RELA yang dimaksudkan adalah yang berpangkat Leftenan Muda ke atas (diikuti dengan Leftenan, Kapten, Mejar, Leftenan Kolonel, Kolonel, Brigadier Jeneral dan sebagainya), manakala pegawai tanpa tauliah adalah terdiri daripada Sarjan Mejar ke bawah (dituruti dengan Sarjan, Koperal dan Lans Koperal).

Politik mengatasi Profesionalisme RELA

Adalah amat berdukacita bahawa, pihak kerajaan, khususnya kementerian dalam negeri telah mempergunakan institusi RELA ini untuk tujuan-tujuan politik BN dengan sepenuhnya, sekaligus telah mengabaikan satu demi satu sistem latihan ketenteraan dan profesionalisme dalam badan keselamatan sukarela tersebut.

Didapati ramai ketua-ketua Bahagian Umno dan MCA yang berpengaruh telah diajak untuk menyertai pasukan RELA di bahagian-bahagian Umno dan MCA masing-masing dan terus dianugerah pangkat Leftenan Kolonel, Mejar, Kapten dan Leftenan tanpa perlu menghadiri pelbagai latihan dan kursus wajib bagi mengesahkan kebolehan dan tauliah mereka.

Malah ada juga menteri-menteri dan timbalan menteri diberikan pangkat Brigadier Jeneral dan Kolonel di kawasan-kawasan RELA yang tertentu.

Keadaan yang mempolitikkan organisasi pasukan keselamatan RELA ini jelas telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan ahli-ahli RELA yang telah bertahun-tahun bertungkus lumus berjuang untuk menegakkan keamanan dan keselamatan negara kita ini.

Apa yang mereka-mereka ini dapat pada akhirnya? Ya, hanya dinaikkan pangkat ke Lans Koperal, Koperal ataupun Sarjan sahaja, sementara pangkat Sarjan Mejar di kebanyakan kawasan telah tidak diisi lagi.

Yang menjadi pegawai-pegawai berpangkat tinggi di atas itulah terdiri daripada kalangan para pemimpin Umno dan MCA bahagian yang kebanyakan daripada mereka ini langsung tidak tahu menahu mengenai apa sebenarnya RELA. Yang mereka mengetahui adalah hanya berbangga dengan “pangkat” dan pakaian seragam yang mereka perolehi daripada kementerian dalam negeri bukannya hasil daripada titik peluh mereka dalam RELA tetapi lebih kepada kedudukan mereka sebagai ketua-ketua bahagian Umno dan MCA di kawasan parlimen masing-masing.

Dengan kebanggaan “pangkat” dan pakaian seragam yang mereka perolehi daripada pihak kerajaan, kedudukan istimewa mereka ini telah mengakibatkan ketua-ketua bahagian Umno dan MCA ini mula bertindak seperti panglima-panglima perang ataupun “warlord” di kawasan masing-masing, kononnya dengan “pangkat” dan pakaian seragam mereka, maka mereka juga “berkuasa” di sesuatu kawasan yang “diamanahkan” kepada mereka itu.

Wataniah turut dijangkiti politik

Yang memburukan lagi keadaan sekarang adalah pertubuhan Rejimen Askar Wataniah, iaitu sebuah pasukan simpanan sukarela tentera darat di setiap negeri turut mula dijangkiti dengan politik-politik Umno dan MCA tersebut seperti juga yang sedang dialami oleh RELA.

Di kawasan-kawasan parlimen atau dewan undangan negeri, di mana sekiranya slot-slot “pegawai” RELA telah dipenuhi oleh pemimpin Umno dan MCA yang tertentu, maka para pemimpin-pemimpin tempatan Umno dan MCA ini masih mempunyai peluang untuk mejawat “pangkat ketenteraan” di Rejimen Askar Wataniah.

Baru-baru ini kementerian pertahanan yang dipimpin oleh seorang naib presiden Umno telah mengemuka dan melaksanakan langkah-langkah agresif untuk membentuk pasukan-pasukan Askar Wataniah di setiap kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di mana pasukan-pasukan tentera simpanan tersebut akan diletakkan di bawah jagaan ahli-ahli parlimen, ahli-ahli dewan undangan negeri ataupun ketua-ketua bahagian Umno dan MCA (sekiranya kedua-dua parti tidak mempunyai wakil rakyat di kawasan tersebut) dan diberikan pangkat “Mejar” atau “Kapten” tanpa perlu menjalani latihan asas ketenteraan yang wajib.

Akibat daripada itu, nampaknya pasukan tentera juga kini sedang menghadapi krisis dijangkiti penyakit politik yang sedang berleluasa ini yang dibimbangi akan juga terus menjejaskan organisasi dan profesionalisme di dalam pasukan tentera tersebut.

Apakah akan terjadi seterusnya?

Dengan penularan pengaruh politik yang berterusan di dalam pasukan keselamatan RELA dan pertubuhan Rejimen Askar Wataniah ini, ianya boleh mengakibatkan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut disalahgunakan oleh para pemimpin-pemimpin Umno dan MCA bagi mencapai tujuan dan agenda politik mereka.

Dan apabila terjadi atau berlakunya peperangan, dan sekiranya ianya berlaku pada keesokan hari, adalah dibimbangi bahawa para “pegawai-pegawai” yang berpangkat Jeneral, Kolonel, Mejar dan Kapten semua ini akan terus lari bertempiaran meninggalkan divisyen, unit, kompeni dan platun pimpinan mereka kerana ketiadaan pengalaman danlangsung tidak menjalani latihan ataupun berkemungkinan besar akan dirasuah oleh pihak musuh.

Seterusnya, sekiranya pasukan tentera sepenuh masa juga turut tidak dapat bertahan, maka negara kita akan tumbang begitu sahaja.

Pengalaman di Iraq

Kita boleh lihat keadaan yang sama berlaku di negara Iraq sewaktu ianya diserang oleh Amerika. Iraq tumbang dengan begitu cepat sekali dengan hanya serangan peluru berpandu daripada tentera Amerika kerana Jeneral-jeneral Parti Arab Sosialis Ba’ath Iraq yang memimpin kebanyakan divisyen-divisyen tentera Iraq tidak mempunyai pengalaman dan hanya dilantik atas pengaruh politik parti mereka dan difahamkan mereka ini telah lari meninggalkan medan perang setelah dirasuah oleh agen-agen CIA yang berjaya menyusup masuk ke negara tersebut.

Akibat daripada itu, rakyat Iraq terus menderita kerana keganasan yang berterusan di negara tersebut sehingga ke hari ini.

Jika benar perang berlaku, perlukah negara kita menghadapi keadaan yang sama seperti di Iraq? Oleh yang demikian, rakyat negara kita ini perlu peka terhadap keadaan sekarang. Campurtangan politik yang berterusan di dalam pasukan RELA dan Askar Wataniah perlu dihentikan segera agar kemantapan keselamatan di negara kita terjamin.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

No action against YBs without speaker's consent