MCA mahu ketengahkan perkasa Cina

Sesudah MCA kalah teruk di dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu, MCA mula menjadi huru-hara dan tidak tentu arah di dalam agenda politiknya. Ada pemimpin yang asyik menyalahkan sesama sendiri, ada yang menyalahkan Umno kerana sifat perkauman parti itu dan sekarang pula MCA cuba menyalahkan DAP yang kononnya "perkauman" menyebabkan masyarakat Cina tidak lagi menyokong MCA tetapi sebaliknya untuk DAP.
Siapakah Cina perkauman yang sebenarnya di dalam agenda ini? Semua orang jelas dengan keadaan sekarang. Cina perkauman yang sebenarnya adalah MCA! Di dalam agenda politiknya selama ini, MCA asyik dengan agenda keCinaannya, sama seperti Umno dengan agenda keMelayuannya dan MIC dengan objektif keIndiaannya. Kesudahannya adalah, walaupun terdapat sebuah Barisan Nasional (BN) yang menggabungkan ketiga-tiga parti etnik utama ini di dalam sebuah kerajaan campuran, namun tujuan dan objektif mereka masih berpecahbelah dan matlamat mereka adalah hanya untuk kaum masing-masing, bukannya untuk keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latarbelakang kebudayaan. Ini disebut dengan jelas sebagai Dasar Pecah Dan Perintah (Divide and Rule Policy).
Dan oleh kerana MCA sudah tidak ada lagi agenda untuk diketengahkan bagi meraih semula sokongan kaum Cina di negara ini, MCA mula beralih kepada ancaman kepada masyarakat tersebut dengan memberikan kata dua sama ada menyokong MCA atau hilang terus perwakilan masyarakat Cina di dalam kerajaan pusat.
Bagi kami, selain daripada ancaman, tindakan MCA tersebut juga jelas membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa MCA telah ketandusan modal dan tidak lagi dapat bangun sebagai sebuah parti yang mewakili masyarakat Cina. Dan oleh yang demikian, dendam MCA sekarang adalah pada DAP yang dikatakan telah banyak "merampas" kerusi-kerusi Cina daripadanya.
Apa Cina lagi? Sekarang negara kita Malaysia telah beralih zaman di mana kemajuan, teknologi dan perpaduan yang jitu telah banyak mengatasi tajuk-tajuk perkauman yang kuno ini. Agenda-agenda perkauman yang masih diketengahkan oleh Umno, MCA, MIC dan parti-parti kaum yang lain sebenarnya telah ketinggalan zaman dan konservatif.
Rata-rata rakyat Malaysia kita pada hari ini lebih mementingkan identiti mereka sebagai seorang Malaysian daripada sebagai seorang Melayu, Cina dan India. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa apabila rakyat kita berada di sesebuah negara asing, negara tuan rumah tersebut akan lebih mengutamakan identiti kita sebagai seorang Malaysian daripada Melayu, Cina mahupun India.
MCA itu parti konservatif, masih dengan perjuangan lamanya yang hanya mementingkan satu kaum sahaja. Tindakan MCA tersebut juga akan mengakibatkan rakyat negara kita ini akan lebih berwaspada dengan parti tersebut, kerana tindakan parti tersebut boleh dikatakan lebih kepada berbentuk subjek keCinaannya yang berkiblat ke negara China ataupun Taiwan.
Malah, memang tidak dapat dinafikan juga lambang MCA itu hingga ke hari ini masih mirip lambang Parti Kuomintang (KMT) China dan Taiwan. Bolehkah kita katakan yang MCA masih rindukan tanah besar China sehingga kini?
Janganlah lagi asyik mempermainkan agenda kaum Cina lagi di negara kita ini. Kita telah merdeka selama lebih 50 tahun yang lalu dan perpaduan di negara kita ini telahpun mencapai suatu tahap yang boleh dikatakan matang dengan sepenuhnya.
MCA perlu mengetahui bahawa masyarakat Cina di negara ini tidak lagi menyokong parti tersebut bukan kerana agenda perkauman Cinanya yang tidak efektif, tetapi iainya lebih menekankan kepada tiupan dan angin perkauman yang dilaung-laungkan oleh bapa tirinya, iaitu Umno dan MCA sebagai parti nombor dua di dalam gabungan BN itu tidak dapat berbuat apa-apa sehingga kini.
Selain daripada itu, masyarakat Cina di negara ini tidak lagi menyokong MCA kerana kegiatan penyalahgunaan kuasa, rasuah, diskriminasi dan ketidakadilan di dalam kerajaan BN telah menjadi semakin berleluasa dan ini juga MCA sebagai parti nombor dua di dalam gabungan BN itu tidak dapat berbuat apa-apa sehingga pada hari ini.
Oleh yang demikian, MCA perlu sedar dan bangun dari mimpinya dan menerima kenyataan bahawa masyarakat Cina di negara ini tidak lagi menyokong MCA bukan kerana parti tersebut kurang keCinaannya tetapi lebih kepada soal kepentingan negara dan dasar kerajaan BN pada keseluruhannya.
Kalau MCA nak menafikan lagi perkara yang sebenarnya, itulah haknya dan kita juga mempunyai hak kami untuk mengundi menolak MCA. Jadi, janganlah mengancam kami lagi dengan soal ketiadaan perwakilan masyarakat Cina di dalam kerajaan pusat. Perkara ini sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat diguna pakai lagi pada hari ini.