Soal Kerajaan Bayangan, BN yang sedang menipu rakyat selama ini

Sejak kebelakangan ini, para pemimpin utama Barisan Nasional (BN) asyik menghentam Pakatan Rakyat (PR) atas "kegagalan" mereka untuk membentuk sebuah kerajaan bayangan (shadow cabinet) di peringkat parlimen sejak berjaya memperkuatkan kedudukannya di parlimen pada tahun 2008.

Malah, para pemimpin BN asyik menuduh para pemimpin PR yang tidak bersependapat sehingga pada hari ini mengenai isu "pembahagian portfolio" yang dipercayai telah menggagalkan pembentukan kerajaan bayangan tersebut.

Nampaknya pembohongan BN itu berjaya mempengaruhi sejumlah besar rakyat yang sedang memerhati perkembangan politik semasa. Kita sememangnya berharap agar rakyat jelata tidak akan terus termakan dengan segala dakyah dan pembohongan yang dilakukan oleh BN selama ini. Kenapa PR tidak membentuk sebuah kabinet bayangan di parlimen, tetapi sebaliknya hanya berpandukan kepada jawatankuasa-jawatankuasa parlimen berportfolio (frontbench committees) yang dianggotai oleh 3 wakil daripada setiap parti komponen PR?

Sebab utama ketiadaan kabinet bayangan di pihak pembangkang adalah amat jelas. Institusi parlimen di negara ini langsung tidak mengiktiraf pembentukan sebuah kabinet bayangan di barisan pembangkang, malah ianya juga langsung tidak mempunyai peruntukan bagi membolehkan kabinet bayangan tersebut dibentuk oleh pihak pembangkang. Ini bermakna, institusi parlimen di negara kita ini tidak memberikan pengiktirafan terhadap pembentukan dan peranan sebuah kabinet bayangan bagi mengimbangi kuasa dan dasar kerajaan pada keseluruhannya.

Siapa yang menipu di sini? BN ataupun PR? Jelas BN yang sedang menipu rakyat selama ini dengan mengatakan bahawa parti-parti komponen PR masih tidak dapat bersatu ataupun bersepakat mengenai pembahagian portfolio untuk kerajaan bayangan. Dan kalaulah kerajaan bayangan PR itu betul-betul dibentuk, adakah menteri-menteri bayangan PR ini akan diberikan laluan atau akses yang sepenuhnya oleh kementerian-kementerian kerajaan bagi menjalankan kajian-kajian dan dasar-dasar yang diketengahkan oleh kementerian-kementerian tersebut?

Adakah kabinet bayangan PR ini akan memperoleh peruntukan kewangan yang sewajarnya pada setiap tahun daripada pihak kerajaan bagi menjalankan tanggungjawab mereka untuk rakyat dan negara ini? Sebenarnya, apabila institusi parlimen di negara ini tidak mempunyai sebarang peruntukan ataupun undang-undang bagi membenarkan pembentukan sebuah kabinet bayangan, ianya akan gagal sama sekali kerana pembentukan itu tidak akan diiktiraf.

Jika sekiranya pihak BN benar-benar ikhlas di dalam usaha untuk menyuburkan amalan demokrasi di dalam negara kita ini, para pemimpin BN ini sepatutnya mengusahakan beberapa pindaan terhadap undang-undang parlimen dan juga menambahbaik beberapa artikel-artikel di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan institusi kabinet bayangan itu diiktiraf sepenuhnya oleh sistem parlimen negara ini. Akan tetapi, sehingga pada hari ini, BN masih gagal untuk melakukan usaha tersebut. Inilah dikatakan tidak ikhlas.

Satu lagi isu yang rakyat perlu sedar adalah, PR telahpun menghantar permohonan untuk mendaftarkan gabungan pembangkang tersebut pada tahun 2009 dan sewaktu proses tersebut, pihak PR menghadapi banyak karenah demi karenah daripada Pendaftar Pertubuhan. Sehingga ke hari ini, Pendaftar Pertubuhan dan Kementerian Dalam Negeri masih gagal memberikan penjelasan yang menyeluruh kenapa permohonan PR untuk didaftarkan itu masih tidak diluluskan, walaupun pihak PR telah berkali-kali berkunjung ke pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk mengikuti perkembangan tersebut?

Apakah helah yang sebenarnya di sebalik Pendaftar Pertubuhan dan Kementerian Dalam Negeri untuk tidak meluluskan permohonan pendaftaran PR? Kenapa menteri berkenaan, Datuk Hishammuddin Hussein masih membisu mengenai perkara tersebut apabila ditanya mengenai kedudukan permohonan pendaftaran PR yang masih belum diluluskan sehingga ke hari ini?

Dengan kedudukan PR yang masih belum menjadi sebuah gabungan rasmi, pihak BN pula mengambil kesempatan untuk menipu rakyat jelata yang kononnya parti-parti komponen PR masih tidak dapat bersetuju  dan bersepakat mengenai logo, ideologi dan manifesto tunggal untuk gabungan tersebut. Dakyah dan pembohongan BN ini juga nampaknya berjaya.

Pihak PR juga perlu tegas dengan kedudukan mereka, perlu senantiasa membangkitkan isu permohonan pendaftaran mereka yang masih terlantar di pejabat Pendaftar Pertubuhan, agar rakyat jelata akan terus mengingati helah dan politik kotor BN yang keji itu untuk menangguhkan pendaftaran PR sewenang-wenangnya.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Federal Constitution that Safeguards the Legitimate Rights and Interest of All Malaysians