Pakatan Rakyat, kabinet bayangan dan nafsu BN yang amat buas


Sejak daripada tahun 2008 lagi, Barisan Nasional (BN) telah melancarkan serangan politik bertalu-talu terhadap Pakatan Rakyat (PR) dengan tujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap beberapa siri pencapaian PR yang memerintah beberapa buah negeri dan pada masa yang sama berharap agar rakyat jelata akan lupa dengan kelemahan yang ada pada BN dan pemerintahannya yang kucar-kacir.

Serangan BN terhadap PR ini hanyalah bertumpu kepada memburuk-burukkan PR semata-mata tanpa memberikan penekanan terhadap kualiti pemerintahan, pembangunan dan kebajikan untuk rakyat jelata.

Yang pihak BN tahu adalah hanya membuahkan isu-isu perkauman, kebencian, perpecahan, mengaitkan penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu dan yang paling terbaru mengaitkan PR dengan elemen-elemen Yahudi dan George Soros serta yang terbaru, ada cubaan untuk mengkristiankan negara ini.

Nafsu BN sememangnya amat buas buat masa kini. Selain daripada itu, BN juga sering menuduh PR yang kononnya gabungan pembangkang itu tidak dapat mendaftarkan diri kerana tidak sepakat dengan ideologi gabungan dan masing-masing tidak bersetuju dengan fahaman politik masing-masing.

Dalam pada itu, BN juga cuba mengelirukan rakyat dan menuduh PR kononnya gabungan pembangkang tersebut sehingga kini masih gagal mencapai kata sepakat mengenai pembentukan sebuah kabinet bayangan, lantas daripada itu tidak bersedia untuk berkerajaan selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Inilah yang BN hanya tahu. Memburuk-burukkan parti-parti lawan dengan politik yang tidak tentu arah, berharap agar rakyat mempercayai segala dakwaan BN, rakyat jelata akan lupa akan nafsu BN yang penuh dengan rasuah, perkauman dan kebencian.

Isu PR masih gagal mendaftar dengan ROS

Isu yang kononnya PR sehingga pada hari ini masih gagal mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih menjadi bahan politik utama BN yang sering mendakwa PR tidak dapat mendaftar sebagai sebuah gabungan parti-parti politik oleh kerana perbezaan pendapat PKR, DAP dan PAS adalah sangat ketara dan tidak dapat menyetujui ideologi yang diketengahkan oleh parti masing-masing.

Masalah yang sebenarnya di sini bukannya perbezaan ideologi parti masing-masing, seperti yang didakwa oleh BN. Di dalam mengetengahkan diri mereka sebagai sebuah gabungan parti-parti alternatif terhadap BN, PR telahpun mempunyai sebuah manifesto bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga PKR, DAP dan PAS, iaitu Buku Jingga.

Masalah yang kedua adalah, pucuk pimpinan PR telahpun mengemukakan permohonan mereka kepada ROS pada tahun 2009 bagi mendaftarkan gabungan mereka, tetapi sehingga pada hari ini ROS yang berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih gagal untuk mendaftarkan PR dengan alasan terdapat banyak “masalah teknikal” yang menghalang ROS untuk berbuat demikian, tetapi tidak pula menyatakan apakah “masalah teknikal” yang dihadapi oleh ROS bagi mendaftarkan PR.

Alasan yang tidak menusabah dan berdolak-dalih yang sering ditunjukkan oleh ROS ini telah menggambarkan niat BN yang sebenarnya. BN cuba menghalang PR daripada mendaftarkan diri mereka agar keadaan tersebut dapat memberikan peluang kepada BN untuk cuba memecahbelahkan parti-parti yang bergabung di bawah payung PR, dengan sering mengungkitkan apajua bentuk “perbezaan” mereka di mata umum, melaga-lagakan DAP dan PAS, PKR dengan DAP dan PKR dengan PAS. Mengaitkan DAP dengan negara Kristian, sementara PAS dengan negara Islam, manakala PKR yang amat rasuah dan sering berpecah puak.

Inilah taktik sebenarnya BN untuk cuba menghancurkan PR dengan mainan politik yang sungguh keji.

Soal PR tidak mempunyai kabinet bayangan

Satu lagi serangan yang sering dilemparkan oleh BN ialah, pihak PR sehingga pada hari ini masih gagal untuk membentuk sebuah kabinet bayangan bagi membuktikan kesediaan mereka untuk berkerajaan jika sekiranya mereka berjaya memperoleh kuasa di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Alasan yang sering diketengahkan oleh BN adalah sama, kononnya PKR, DAP dan PAS masih tidak dapat menyetujui pengagihan portfolio-porfolio kementerian di kalangan mereka dan oleh itu PR masih berpecah seterusnya tidak layak untuk membentuk kerajaan dan memerintah negara ini.

Kata BN bahawa PR gagal membentuk kabinet bayangan, tetapi yang peliknya kenapa pula BN tidak membentuk Exco bayangan di negeri-negeri di bawah PR bagi membukti keupayaan dan kesediaan mereka untuk merampas semula negeri-negeri PR pada pilihanraya umum yang akan datang? Nak menekan PR kerana tidak mempunyai kabinet bayangan tetapi BN sendiri pun telah gagal untuk membentuk Exco bayangan di negeri-negeri yang diperintah oleh PR. Malah di negeri-negeri di bawah PR juga tidak jelas siapakah sebenarnya menteri besar atau ketua menteri bayangan di pihak BN.

Di negara-negara seperti United Kingdom, Australia, New Zealand dan Thailand, barisan pembangkang di negara-negara tersebut diiktiraf sepenuhnya sebagai rakan kongsi di dalam parlimen dan kerajaan masing-masing. Malah kabinet bayangan yang dibentuk di negara-negara tersebut turut menerima peruntukan bagi kajian perlaksanaan tanggungjawab mereka di dalam memastikan kerajaan yang ada telus, adil dan bertanggungjawab terhadap kehendak rakyat jelata.

Selain daripada itu, ketua-ketua pembangkang dalam parlimen di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Thailand turut mendapat pengiktitarafan setaraf dengan perdana menteri masing-masing dan sering diberi peluang untuk berhadapan dengan perdana menteri di dalam isu-isu utama yang dibangkitkan sewaktu perbahasan dalam parlimen.

Akan tetapi, lain pula yang berlaku di dalam negara kita ini. Ketua pembangkang parlimen di negara ini langsung tidak dapat berdebat dengan perdana menteri di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan negara. Malah, di Malaysia, ahli-ahli parlimen pembangkang juga tidak layak untuk menerima peruntukan kewangan untuk kegunaan dan pembangunan kawasan-kawasan yang diwakili.

Adakah ahli-ahli parlimen pembangkang di negara kita ini diberikan penghormatan setaraf dengan rakan-rakan sejawat mereka berada di sebelah kerajaan BN? Tidak! Seringkali, ahli-ahli parlimen pembangkang negara ini dicapkan sebagai musuh nombor satu negara, digelar penderhaka, pembelot, penggugat kestabilan negara (sebenarnya kestabilan BN) dan dilihat sebagai golongan yang tidak mengenang budi.

Persoalannya adalah, jika sekiranya kabinet bayangan dibentuk oleh PR, adakah kerajaan BN bersedia untuk membentangkan rang undang-undang yang baru bagi mengiktiraf kedudukan dan peranan kabinet bayangan tersebut di dalam parlimen? Adakah kabinet bayangan PR ini akan diberikan peruntukan bagi melaksanakan tanggungjawab mereka untuk rakyat? Adakah kerajaan BN akan memberikan ruang yang lebih luas kepada kabinet bayangan PR untuk melaksanakan amanat perseimbangan dan pemeriksaan (check and balance) terhadap dasar-dasar yang dijalankan oleh setiap kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan?

Inilah persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh pihak BN sehingga pada hari ini. Kalau BN benar-benar ingin memperluaskan demokrasi, kenapa tidak mengusahakan pembaharuan di dalam parlimen bagi membolehkan pihak pembangkang memainkan peranan mereka dengan lebih meluas?

Jawapannya adalah sungguh mudah. BN takut kehilangan kuasa dan pengaruh. Oleh itu, ia akan berusaha bersungguh-sungguh bagi menghadkan amalan demokrasi di dalam negara ini.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

No action against YBs without speaker's consent