Isu Bersih 2.0: 1Malaysia pun haram

Bersih 2.0 itu sebenarnya bukanlah sebuah pertubuhan seperti yang kerap didakwa oleh menteri dalam negeri dan naib-presiden Umno Hishammuddin Hussein. Walaupun NGO-NGO yang menyokong himpunan Bersih 2.0 telah beberapa kali memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Bersih 2.0 itu bukanlah sebuah pertubuhan, namun Hishammuddin tetap meneruskan kempennya yang mendakwa Bersih 2.0 itu adalah merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar dan haram.
Bersih 2.0 sebenarnya adalah merupakan suatu program atau bentuk kempen yang dianjurkan oleh gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dan kebajikan yang kesemuanya telah lama didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Tujuan kempen Bersih 2.0 ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada rakyat jelata bertapa pentingnya keperluan untuk mengubah bentuk dan cara pilihanraya umum dilaksanakan di negara kita ini agar ianya dapat berfungsi dengan lebih adil dan saksama.
Namun demikian, demi untuk menghalang terus kempen Bersih 2.0 ini daripada sampai kepada rakyat jelata, menteri dalam negeri tersebut tetap berkeras dengan mengatakan Bersih 2.0 itu sedang berfungsi sebagai sebuah pertubuhan dan tidak berdaftar, oleh itu ianya adalah haram.
Jikalau begitulah makna dan tafsiran yang dibuat oleh menteri dalam negeri tersebut mengenai kempen Bersih 2.0 (sebagai sebuah pertubuhan haram), maka kita perlu juga menggesa kementerian dalam negeri agar mengkaji dengan lebih mendalam kewujudan kempen konsep 1Malaysia berdasarkan tafsiran yang sama terhadap Bersih 2.0.
Dan jika tafsiran Hishammuddin terhadap Bersih 2.0 itu diajukan dengan cara yang sama terhadap 1Malaysia itu, maka bolehlah kita lihat di sudut yang sama bahawa konsep dan kempen 1Malaysia itu juga adalah haram mengikut Akta Pertubuhan 1966 kerana 1Malaysia itu juga tidak didaftarkan dan ianya bergerak secara tidak sah dan haram di seluruh negara.
Ya, benar. Jika sekiranya Bersih 2.0 itu haram mengikut Akta tersebut, maka 1Malaysia juga perlu diharamkan kerana ia juga bergerak secara tidak sah. Untuk makluman, 1Malaysia itu adalah suatu konsep dan kempen yang ditiru dari negara Israel yang telah mengguna pakai konsep 1Israel.
Dan begitu jugalah dengan segala bentuk kempen dan konsep yang dikelola oleh kerajaan ataupun badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta, kesemuanya akan menjadi haram kerana tidak didaftarkan.
Nasihat kami kepada Hishammuddin, kalau Bersih 2.0 dah haram, mintalah agar haramkan 1Malaysia juga! Jangan jadi hipokrit!