Kenapa Menteri, Timbalan menteri, MB, Exco, MP, ADUN Perikatan Nasional dikecualikan daripada PKP?

Daripada gambar-gambar yang telah tular di dalam media sosial dan beberapa akhbar tempatan baru-baru ini, nampaknya menteri, timbalan menteri, menteri besar, ahli exco negeri, ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri daripada Perikatan Nasional (PN) boleh dikecualikan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan mereka mengadakan acara dan kegiatan beramai-ramai, majlis makan tengahari bersama dan bersama para penyokong mereka.

Sama ada mereka telah dikecualikan secara rasmi oleh pihak berkuasa ataupun mereka mendapat surat kebenaran daripada pengerusi PN ataupun presiden parti-parti komponen PN (Bersatu, Umno, PAS, GPS) masing-masing, itu kita belum dapat memastikannya lagi. Tetapi yang jelas sekali kelihatan para Yang-yang Berhormat dan Yang Amat Berhormat ini sedang menghadiri dan merasmikan majlis atau acara masing-masing di dua kawasan yang berlainan.

Oleh kerana pencalonan bagi pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah ditutup sebelum bermulanya PKP, senarai pencalonan Bersatu bakal menyaksikan beberapa pertandingan sengit di antara pemimpin-pemimpin Bersatu. Belum pasti lagi sama ada presiden Bersatu selaku perdana menteri juga telah memberikan kelonggaran PKP kepada para pegawai atau penyokong bawahannya untuk memulakan kempen bagi pihaknya di seluruh negara.

Kejadian seperti yang telah dilaporkan di atas, jika sekiranya ada “pengecualian” khas buat semua pemimpin PN ini, kami ingin mempersoal kredebiliti kerajaan pemberontak ini. Kenapa ada dua set peraturan “mengikut darjat” dilaksanakan? Satu set peraturan digunakan untuk rakyat biasa dengan pengenaan hukuman penjara maksimum terhadap mereka yang melanggari PKP, manakala satu lagi set peraturan PKP yang membenarkan para YB, YAB ataupun maha VVIP daripada PN meneruskan kegiatan keramaian mereka pada setiap hari.

Sekiranya para YB, YAB ataupun maha VVIP ini benar-benar telah melanggari peraturan di bawah PKP, kenapa pihak berkuasa enggan mengeluarkan sebarang tangkapan terhadap pelanggaran yang dilakukan oleh golongan-golongan bangsawan daripada Perikatan Nasional ini?

Di New Zealand, Australia dan United Kingdom umpamanya, beberapa orang menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen daripada ketiga-tiga negara tersebut yang dikesan melanggari PKP meletakkan jawatan kabinet mereka dengan sukarela, dengan segera apabila perbuatan mereka dibongkar oleh orang ramai. Akan tetapi, apabila perkara tersebut berlaku di negara kita, para pemimpin PN ini seolah-olahnya meraikannya, bahkan dengan bangga menunjukkan gambar-gambar mereka kepada orang ramai yang terkurung di bawah PKP buat masa ini.

Ingin kami tegaskan di sini, pelanggaran peraturan dan syarat PKP oleh golongan inilah yang telah menyebabkan orang ramai tidak bahkan enggan lagi menghormati PKP yang sedang dikuatkuasakan sekarang kerana para YB, YAB, maha VVIP daripada PN sendiri turut menolak PKP yang telah menghalang “tugasan” dan kegiatan mereka selama ini.

Oleh itu, di harap pihak berkuasa dapat memberikan maklumat yang tepat dan jelas mengenai dasar dan pengecualian PKP untuk perkara-perkara dan kegiatan yang tertentu dan mohon penjelasan kenapa pengecualian tersebut adalah perlu dan apa kepentingannya kepada umum.

Pada pendapat kami adalah tidak wajar jika peraturan dan syarat PKP ini terbahagi kepada dua kategori kerana  perlaksanaan ini, jika benar, adalah tidak adil kerana ianya menyentuh hukuman maksimum terhadap para pesalah.

https://malaysiadateline.com/timbalan-menteri-kesihatan-exco-perak-langgar-pkp/
https://malaysiagazette.com/2020/04/18/viral-gambar-timbalan-menteri-langgar-arahan-pkp/
https://www.malaysiakini.com/news/521268
https://www.malaysiakini.com/news/521284
https://www.malaysiakini.com/news/521279
https://www.malaysiakini.com/news/521285

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

No action against YBs without speaker's consent