Parti MUDA harus diberikan ruang untuk membuktikan diri


Setelah seminggu bekas menteri belia dan sukan yang juga bekas ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan pembentukan parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), penubuhan  parti tersebut mendapat pelbagai reaksi spontan daripada pelbagai pihak.

Ada yang mengalu-alukan pembentukan Parti MUDA manakala ada yang memandang serong terhadap rancangan Syed Saddiq berbuat demikian, manakala daripada kalangan ahli-ahli politik kanan masa kini, ramai yang mengejek, memberikan gambaran negatif dan yang lebih teruk lagi memanggil beliau dengan pelbagai nama seperti "cucu", "budak mentah", "kecik" dan berbagai-bagai panggilan yang tidak masuk akal.

Ya, Syed Saddiq dan kumpulan ahli-ahli jawatankuasa penaja Parti MUDA itu semuanya muda-muda belaka, daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang masyarakat yang pelbagai. Selain daripada itu, barisan kepimpinan Parti MUDA yang diketengahkan oleh Syed Saddiq itu punyai suatu kepelbagaian yang unik dan khusus di mana kebanyakan parti-parti politik pada hari ini tidak menampakkan keberkesanannya, yakni berorientasikan dasar (policy-oriented or policy driven), mempunyai suatu pandangan yang merangkumi keseluruhan masyarakat dan menyatakan aspek-aspek kepentingan negara serta tidak menyentuh sebarang isu yang berpaksikan perkauman atau agama, sebaliknya lebih bertumpu kepada keperluan untuk semua (all-needs based).

Bagi kami, penubuhan Parti MUDA ini tidak seharusnya dipandang dengan hina ataupun rendah khususnya oleh beberapa pemimpin kanan politik semasa. Sebaliknya, kedatangan golongan muda-mudi yang baru di arena politik yang semakin rancak ini hendaklah dialu-alukan dan para pemimpin dan ahli-ahli Parti MUDA ini wajar diberikan ruang untuk menawarkan kepelbagaian dasar mereka kepada rakyat jelata sebagai suatu alternatif, menggantikan amalan lama dan lapuk, serta menggalakkan pertukaran pandangan, perdebatan yang lebih luas, keberanian bersuara dengan harapan semua rakyat dapat bersama-sama membina semula sebuah negara yang selama ini dikongkongi cara dan amalan yang lama, kuno dan sikap takut akan perubahan.

Apa yang kit telah nampak pada hari ini, dalam politik ini, selama ini, adalah ianya masih berbentuk status quo ataupun asyik-yang-sama-saja amalannya. Tiga gabungan parti-parti politik yang bertindih antara satu sama lain serta agak mengelirukan, Barisan Nasional (BN), Parti Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) yang semuanya merangkumi Umno, PPBM, PAS, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Solidariti Tanah Air (STAR), Penggerak Komuniti Negara (PKN) dan baru-baru ini pula Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), sebuah parti yang dahulunya berada di dalam BN kini menyatakan hasratnya untuk menyertai PN. 

Setelah sekian lama diperhatikan cara, dasar dan tingkah laku mereka, kamu dapati parti-parti politik yang secara bertindih menyertai BN, PN dan MN ini hanya berminat untuk mengekalkan amalan dan cara pemerintahan mereka yang lama dan dengan kerasnya menidakkan sebarang bentuk atau cubaan untuk merubah, merombak apajua amalan ataupun sistem yang sedia ada untuk cuba menempuhi sesuatu yang baru demi memesatkan kemajuan dan pembangunan semasa. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga adalah amalan tradisi mereka yang tidak dapat mereka abaikan kerana telah berabad-abad menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Sementara di sebelah Pakatan Harapan (PH) yang kini merangkumi KeAdilan, DAP dan Amanah yang telah berkerajaan selama 22 bulan sejak dari Mei 2018 hingga Februari 2020 telah mengketengahkan idea-idea reformasinya di dalam pilihanraya umum yang lalu, tetapi tidak berani bertindak dengan lebih agresif di dalam merealisasikan beberapa siri pembaharuannya kerana bimbang tindakan mereka akan diambil kesempatan pihak lawan terutamanya yang melibatkan isu-isu kaum dan agama dan kebimbangan kehilangan sokongan undi juga merupakan faktor utama mengapa dasar dan pembaharuan PH agak lambat dilaksanakan.

Selain daripada itu, sokongan yang kuat PH terhadap amalan demokrasi dan kebebasan bersuara juga telah banyak memakan diri mereka apabila Umno, PAS, MCA, MIC sering mengambil kesempatan tersebut dengan menimbulkan pelbagai isu-isu yang melibatkan perkauman dan agama, sejurus itu, timbul pula kemarahan pelbagai masyarakat, wujudnya perasaan syak wasangka di kalangan masyarakat yang turut menampakkan PH lambat atau tidak bertindak untuk membendung perbuatan-perbuatan "subversif" yang seringkali ditimbulkan oleh khususnya Umno dan PAS.

Itulah, yang berjuang habis-habisan untuk merealisasikan reformasi dan keinginan membina semula negara, kini hanya tinggal dalam bab-bab kenangan sahaja apabila PPBM, PKN memberontak terhadap PH dan bersekongkol pula dengan BN dan MN untuk membentuk sebuah kerajaan pemberontak setelah kerajaan PH berjaya digulingkan.

Oleh yang demikian, ada dua aspek ketidakberkesanan di sini, BN, PN dan MN menidakkan sekeras-kerasnya sebarang perubahan ataupun pembaharuan yang dilihatnya boleh menggugat kuasa dan kedudukannya sekarang. Di sebelah PH pula, mereka mengketengahkan pelbagai idealisme yang baru bagi menjana pembaharuan dan reformasi bagi membina semula negara, tetapi dari segi perlaksanaan PH tidak berkesan kerana seringkali disabataj oleh pihak dalaman dan kelembapan tindakan PH di dalam menangani masalah tersebut menyebabkan PH dilihat seringkali asyik "memadamkan kebakaran" sahaja daripada merealisasikan pelbagai siri pembaharuan dan reformasinya. Selain daripada itu juga, kedudukan PH pada masa itu juga dapat dilihat sering diganggu-gugat oleh para pemimpin PPBM dan pergolakan dalaman KeAdilan menyebabkan banyak perlaksanaan tertunda, tergendala dan ada pula yang hilang tumpuan.

Inilah masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata sekarang. Di sebelah BN. PN dan MN mereka tetap dengan pendirian, cara dan status yang sedia ada asalkan kedudukan dan kuasa mereka terjamin, manakala di sebelah PH pula keberanian dan aksi mereka dalam mengajukan reformasi dan pembaharuan memang tiada tandingan, tetapi apabila berada diperingkat perlaksanaan, mereka seringkali menjadi serba salah, bimbang dasar-dasar baru tersebut akan menyebabkan PH menjadi tidak popular, kehilangan sokongan dan timbul isu perkauman dan agama. Kerana PH terlalu taksub dengan amalan demokrasi terbuka dan kebebasan bersuara turut memakan diri, apabila Umno dan PAS mengambil kesempatan bertindak secara "subversif" dengan kerap menimbulkan sentimen-sentimen kemarahan dan kebencian dengan pelbagai tindakan dan karenah kaum dan agama.

Oleh yang demikian, kita perlukan suatu politik yang baru, berani, cekap dan tegas dalam membawa negara kita melalui arus pembinaan semula dan kami yakin dengan adanya Parti MUDA, harapan untuk melihat satu Malaysia yang benar-benar baru dapat direalisasikan jika kita bersama-sama membantu mereka mencapai tujuan tersebut. Ini kerana Parti MUDA mempunyai aspek dan penglihatan yang agresif ke arah hala tuju tersebut. 

Parti MUDA percaya, kejayaan sesebuah parti politik adalah bergantung kepada pembuatan dan pembentangan dasarnya kepada rakyat. Yang kami lihat pada kini adalah Parti MUDA itu akan miri gaya dan cara Partai Solidaritas Indonesia (PSI) pimpinan Grace Natalie yang berjaya memecahkan benteng tradisi politik Indonesia di dalam pemilihan umum negara itu yang lalu. Meskipun PSI tidak berjaya memperoleh sebarang kerusi di dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), namun mereka berjaya memenangi banyak kerusi di peringkat wilayah di beberapa Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) yang ditandingi.

Kami percaya, sekiranya Parti MUDA berpendirian agresif, menguatkan dengan pendirian mereka, memperkukuhkan pembuatan dasar mereka dan penyampaian mereka yang berkesan kepada rakyat jelata, kami yakin, mereka akan dapat menembusi benteng tradisi politik tersebut tidak lama lagi.

Parti MUDA parti yang baru, berilah ia peluang, jika parti yang lama, yang sedia ada enggan mendengar lagi, parti yang lama degil, bongkak dan sombong, parti yang lama dan sedia ada tidak lagi guna akal dan fikiran untuk kebaikan rakyat dan negara. Berilah Parti MUDA ruang untuk membuktikan kewibawaan dan kebolehan mereka untuk membantu membina semula negara ini.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

No action against YBs without speaker's consent