"Menghina", itulah istilah yang paling digemari pemimpin Umno
Baru-baru ini, untuk memperbesarkan sesuatu isu bagi menentang parti-parti lawan, Umno lebih gemar menggunakan perkataan "menghina" apabila mereka tidak setuju dengan pendapat, kritikan, teguran ataupun sebarang komentar yang tidak sedap bagi mereka.
Yang terbaru adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas presiden Umno dan bekas perdana menteri Najib Razak yang baru disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menyalahgunakan kuasa dan amalan rasuah sewaktu memimpin kerajaan dahulu. Kata Najib seorang pemimpin Parti Warisan "menghina" pasukan keselamatan negara dengan mendakwa pemimpin Warisan tersebut mempersendakan pasukan tersebut dalam krisis Lahad Datu yang lalu.
Cukup senang Najib Razak memutarbelitkan keadaan dan dengan itu mengambil kesempatan mendakwa ada penghinaan dilakukan oleh parti lawannya untuk mempersendakan pasukan keselamatan, selepas itu akan mempergunakan pula pihak polis untuk bertindak ke atas parti lawan tersebut dengan membuat seberapa banyak laporan polis yang perlu.
Lupakah Naib Razak bahawa dia sendiri telah melakukan suatu penghinaan yang paling besar dalam hidupnya dengan menggelapkan berbilion-bilion ringgit wang kerajaan sewaktu ia menjadi perdana menteri selama sembilan tahun lamanya.
Lupakah Najib Razak bahawa perbuatannya yang rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, mencuri wang daripada rizab negara, melarikan sejumlah besar khazanah negara? Perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan dan oleh itu ianya juga suatu penghinaan buat negara ini. Layakkah Najib Razak untuk melabelkan pihak lain sebagai "menghina"? Cerminkan diri sebelum menyatakan sesuatu yang ia sendiri telah lakukan.
Lupakah Najib Razak bahawa penggunaan pasukan pengiring polis untuk apajua perjalannya daripada semenanjung sehinggalah ke Sabah juga merupakan suatu penghinaan buat pasukan polis kerana Najib Razak kini telah dicapkan sebagai seorang pesalah setelah disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Najib Razak kini adalah seorang banduan yang sedang diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan.
Perbuatan para pemimpin Umno yang sering mengambil kesempatan mendakwa pihak lawannya "menghina" menunjukkan Umno terus ketandusan modal dan tidak dapat bersaing dengan menggunakan dasar dan perdebatan secara praktikal bagi memperoleh sokongan daripada pengundi.
Selain mempergunakan istilah "menghina", Umno juga sering menggunakan agama dan isu perkauman untuk meraih sokongan daripada orang ramai dengan menimbulkan pelbagai isu yang melibatkan perkauman dan agama agar rakyat jelata terus syak mensyaki antara satu sama lain dan berpecah-belah serta saling tidak mempercayai. Kerana Umno percaya jika ada perpaduan maka tujuan Umno untuk terus berkuasa tidak akan tercapai.