Usaha "Guling Kerajaan", Tanggungjawab Murni Rakyat

Baru-baru terdapat banyak bentuk dakwaan dan cerita daripada pihak polis dan kementerian dalam negeri bahawa ada beberapa kumpulan sedang mengusahakan satu bentuk kegiatan untuk "menggulingkan" kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kata seorang timbalan ketua polis Kuala Lumpur, kumpulan-kumpulan terbabit juga turut merancang menggunakan "bom tangan" di dalam usaha mereka untuk "menggugat" dan "mengancam" keselamatan orang ramai ketika sambutan tahun baru yang bakal diadakan pada malam 31hb Disember 2013 ini. Kenapa hanya menggunakan "bom tangan" dan tidak ada "mesingan", "meriam", dan "kereta kebal" yang boleh "menjayakan penggulingan" kerajaan BN?

Kita semua telahpun mengetahui bahawa kerajaan BN yang ada sekarang banyak menindas dan kejam terhadap rakyat. Selain daripada itu, kerajaan BN ini juga telah banyak mengamalkan budaya yang tidak sihat untuk kepentingan diri mereka dan para kroni-kroni pilihan mereka. Akibat daripada itu, amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang rakyat semakin berleluasa dan ianya telah menyebabkan perbendaharaan negara kehilangan berbilion-bilion Ringgit pada setiap tahun sehinggakan defisit negara sudah tidak dapat dikawal lagi.

Dan disebabkan oleh itulah, subsidi-subsidi beberapa kemudahan rakyat terpaksa ditarik balik dan ianya telah menjejaskan kehidupan rakyat jelata dengan kenaikan harga minyak, harga barangan keperluan harian, serta kemudahan awam seperti bekalan elektrik dan air. Dan oleh kerana kenaikan harga keperluan-keperluan tersebut berlaku secara mendadak dan sekaligus, kadar inflasi juga semakin meningkat.

Rakyat yang miskin akan menjadi semakin miskin melarat, rakyat berpendapatan sederhana akan juga mula merasai keperitan hidup akibat daripada kenaikan kos sara hidup harian. Oleh kerana budaya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan sudah tidak dapat dikawal lagi, matawang Ringgit juga menjadi semakin tidak bernilai lagi untuk diperniagakan di pasaran matawang antarabangsa.

Dan di dalam suasana ekonomi dan keadaan sosial yang tidak menentu dalam negara kita ini, rakyat jelata akan menjadi semakin tidak puashati dengan karenah kerajaan BN yang sudah terbukti telah gagal untuk menguruskan ekonomi negara dan kebajikan rakyat jelata dengan teratur. Dengan itu, bantahan demi bantahan daripada rakyat jelata akan menjadi semakin ketara dan terbuka.

Jika sekiranya terdapat usaha untuk "menggulingkan" kerajaan BN sepertimana yang didakwa oleh pihak polis, kita beranggapan bahawa tindakan tersebut adalah merupakan satu tanggungjawab murni yang perlu dipikul oleh setiap rakyat oleh kerana kerajaan BN ini sudah tidak lagi mengendahkan keadaan sosio-ekonomi, kehidupan dan kebajikan rakyat jelata, sebaliknya lebih mementingkan kekayaan para pemimpin BN serta kroni-kroni mereka.

Kalau kerajaan BN bertanya kenapa rakyat perlu menggulingkannya sedangkan terdapat pilihanraya umum pada setiap lima tahun untuk memberikan peluang kepada rakyat jelata untuk merubah kerajaan pilihan mereka, jawapannya adalah kerajaan BN telah menipu rakyat jelata dengan memanupulasikan keputusan pilihanraya umum. Malah, seorang bekas pengerusi suruhanjaya pilihanraya (SPR) turut mengakui bahawa sepanjang tempoh beliau mengetuai SPR, beliau telah banyak mengusahakan kaedah-kaedah pilihanraya yang memihak dan menguntungkan kerajaan BN.

Jadi, proses pilihanraya umum telahpun dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan BN mengikut kehendak dan nafsu mereka, apakah itu demokrasi tulen dan adil? Oleh itu, rakyat jelata terpaksa bangkit dan melaksanakan bantahan mereka secara beramai-ramai.

Usaha rakyat jelata tesebut menunjukkan bahawa mereka ini amat prihatin terhadap keadaan sosio-politik dan ekonomi negara. Mereka inilah rakyat yang bertanggungjawab dan cintakan tanah tumpah darah mereka dan ingin terus untuk menetap di sini buat selama-lamanya. Rakyat jelata berhak menuntut kembali hak mereka sebagai rakyat Malaysia, menuntut kembali hak demokrasi mereka, hak mereka untuk menentukan siapakah yang sepatutnya menjadi kerajaan pilihan mereka dan sebagainya.

Oleh kerana kerajaan BN yang ada sekarang penuh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan penipuan yang telahpun mematikan proses dan amalan demokrasi yang sebenarnya dalam negara kita ini, adalah merupakan satu kewajiban rakyat jelata untuk bangun dan menggerakkan usaha untuk merubah keadaan di dalam negara kita ini. Apajua cara, termasuk usaha untuk "menggulingkan" kerajaan BN adalah merupakan suatu tanggungjawab murni rakyat jelata yang cintakan negara mereka.

"Gulingkan" kerajaan yang diterajui oleh para pemimpin yang mengkhianati negara dengan amalan-amalan mereka yang penuh dengan  rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan penipuan.Marilah kita semua bersama-sama keluar untuk menunaikan tanggungjawab murni kita sebagai rakyat Malaysia yang sejati.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork