Dendam SPR terhadap rakyat masih membara
(Rencana ini telah disiarkan
di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)
Untuk
itu, pendekatan politik yang menyeluruh adalah perlu di dalam merealisasikan
pembaharuan di dalam dengan lebih efektif.
Setelah
didesak dan dikritik oleh rakyat jelata,
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik,
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya terpaksa akur terhadap tuntutan rakyat
pada keseluruhannya dengan membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja dan
bermastautin di luar negara untuk mengundi di dalam pilihanraya umum (PRU) yang
akan datang.
Akan tetapi,
SPR didapati tidak ikhlas di dalam usaha membenar rakyat Malaysia yang berada
di luar negara untuk mengundi kerana SPR menetap syarat bahawa mereka yang
berada di luar negara perlu kembali ke negara ini sekurang-kurangnya sekali
dalam lima tahun sebelum PRU yang akan datang.
SPR membelakangi Perlembagaan
Syarat yang
dikenakan oleh SPR terhadap rakyat Malaysia yang berada di luar negara itu
telah diumumkan oleh pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz baru-baru ini.
Sedarkah
pihak SPR yang syarat yang dikenakan tersebut itu bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan yang mana ianya menjamin hak setiap rakyat Malaysia
yang berumur 21 tahun dan ke atas untuk mengundi di dalam setiap PRU? Selain
daripada itu, syarat yang dikenakan oleh SPR itu juga bertentangan dengan hak asasi
kemanusiaan dan demokrasi sosial.
Oleh kerana
pengerusi SPR itu juga seorang ahli Umno, belum dapat dipastikan sama ada
syarat yang ditetapikan olehnya itu ada kaitan dengan pemimpin tertinggi Umno
dan BN.
Sehingga
kini, pengerusi SPR itu telah berkali-kali menafikan keahliannya di dalam Umno,
walaupun telah terdapat banyak bukti yang jelas telah diketengahkan bagi
mempersoalkan kesahihan kedudukannya di dalam SPR.
Siapakah
yang sebenarnya yang memberikan arahan agar syarat tersebut dikenakan? Adakah
orang yang memberikan arahan itu tahu yang ianya bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan dan sengaja melakukannya?
Karenah-karenah SPR yang lalu
Sebelum ini,
terdapat juga pelbagai karenah-karenah SPR yang lalu seperti enggan mengakui
wujudnya pengundi hantu dengan menjelaskan tidak nampak mana-mana “pengundi
yang terapung” sewaktu PRU yang lalu, enggan mengakui yang terdapat ramai warga
asing yang didaftarkan sebagai pengundi dengan menggunakan kad pengenalan
palsu, enggan mempamerkan senarai daftar pemilih untuk tatapan umum dan
pelbagai masalah lagi.
Selain
daripada itu, SPR juga didapati tidak serius apabila ramai pengundi membuat
aduan mengenai kehilangan nama mereka daripada senarai daftar pemilih di
kawasan mereka, nama-nama pengundi telah dipindahkan ke daerah mengundi yang
lain secara tidak sah, wujudnya terlalu ramai pengundi yang mendaftar
menggunakan alamat yang sama, butir-butir pengundi dijumpai sama dengan seorang
lagi pengundi, kewujudan nama seseorang pengundi di dua daerah mengundi yang
berasingan pada masa yang sama.
Ini
menunjukkan bertapa angkuhnya para pegawai kanan SPR khususnya pengerusi dan
timbalan pengerusinya.
Di manakah kedudukan SPR?
Mengikut
Artikel 113 and 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR sepatutnya bertanggungjawab
terus kepada Yang Di Pertuan Agong dan parlimen.
Akan tetapi,
SPR sehingga pada hari ini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perdana
Menteri (JPM) dan pengerusi SPR itu seolah-olah bertanggungjawab kepada perdana
menteri dan bukannya kepada Yang Di Pertuan Agong ataupun parlimen.
Ini dengan
jelas menunjukkan bahawa kedudukan SPR yang berada di bawah JPM adalah
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, kedua-dua pengerusi dan
timbalan pengerusi SPR juga didapati telah lama menjadi ahli-ahli Umno sebelum
ini.
SPR perlu jalani pembaharuan
SPR
sememangnya perlu menjalani suatu arus pembaharuan yang menyeluruh memandangkan
keseluruhan organisasi dan pentadbirannya kini berada di dalam tahap yang
paling kritikal sekali.
Karenah-marenah
dan masalah yang telah dan sedang berlaku, tambah lagi dengan pelbagai syarat
yang tidak munasabah dikenakan bagi membebankan pengundi tidak henti-henti
menular keluar daripada organisasi tersebut.
Karenah-karenah
dan masalah tersebut juga telah mengakibatkan rakyat jelata mula hilang
keyakinan ke atas kredibiliti SPR oleh kerana segala tindakannya sekarang
menunjukkan seolah-olahnya SPR berkhidmat untuk kepentingan perdana menteri,
Umno dan BN, dan bukannya bertanggungjawab kepada parlimen dan rakyat jelata.
Ini
merupakan suatu keadaan yang tidak sihat dipandang, jika sekiranya mayarakat
antarabangsa melakukan pemerhatian. SPR telah hilang kredibilitinya sebagai
sebuah badan yang bebas daripada pengaruh mana- mana kuasa politik.
Oleh itu,
keseluruhan SPR perlu dirombak bagi menampakkan profesionalisma, ketelusan,
kebebasan dan tanggungjawabnya kepada negara dan rakyat jelata. Sebuah
jawatankuasa peringkat parlimen perlu dibentuk bagi memantau prestasi,
pengurusan dan apa-apa perlaksanaan yang dilakukan di dalam SPR, disamping
bertindak sebagai pengaudit, memeriksa, menyiasat dan meluluskan calon-calon
untuk dilantik sebagai pengerusi, timbalan pengerusi dan para persuruhjaya SPR
bagi penggal-penggal yang ditetapkan.