Apakah yang terkandung dalam buku Irshad Manji? Apakah keimanan seseorang itu begitu lemah sekali?
(Rencana ini telah disiarkan
di kolum saya dalam portal berita Malaysia-Chronicle)
Apa
yang terkandung di dalam buku- buku Irshad ataupun lain-lain penerbitan akan sentiasa
mencabar kebijaksanaan kita untuk berfikir dan seterusnya melahirkan keputusan
kita. Dan jika kita yakin dengan keimanan kita, kenapa bimbang atau risau
sangat akan ancaman yang pihak lain akan mempengaruhi kita? Fikirkanlah!
Irshad Manji
adalah seorang penulis rakyat Kanada berketurunan Uganda yang telah menyatakan
bahawa beliau adalah seorang penganut Islam yang taat dan beriman terhadap
agama yang dianutinya selama ini.
Baru-baru
ini, beliau telah datang ke Malaysia bagi melancarkan satu lagi hasil
penulisannya yang bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” yang telah
diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun,
belum sempat buku tersebut diedarkan ke seluruh negara, kementerian dalam
negeri (KDN) yang bertindak atas aduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
dan Jabatan Hal-ehwal Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah menggunakan
Seksyen 7 (1) Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 untuk mengharamkan buku
tersebut dengan alasan isi kandungannya adalah jelas bertentangan dengan ajaran
al-Quran dan Hadis.
Pengharaman
ini adalah kali kedua buat buku hasil karya Irshad Manji. Buku pertamanya yang
dikarang yang bertajuk, “Masalah Islam Pada Hari Ini” juga telah diharamkan
oleh KDN pada tahun 2009. Kerajaan pusat telah melihat beliau sebagai suatu
ancaman yang serius buat Islam.
Dunia telah
melihat Irshad Manji sebagai seorang tokoh pembaharuan Islam, seorang professor
dan pensyarah terkemuka Universiti New York, tetapi, bagi KDN, Jakim dan Jawi,
Irshad telah dicapkan oleh mereka
sebagai seorang penganut Islam yang sesat oleh kerana beliau juga adalah
merupakan aktivis yang giat memperjuangkan hak asasi bagi kumpulan lesbian, gay,
biseksual dan transeksual (LGBT) yang sering ditindas. Oleh kerana itulah,
kedua-dua buku yang dikarang oleh beliau itu telah diharamkan dengan begitu
cepat sekali.
Selepas
pengharaman buku-bukunya, Irshad juga telah dituduh secara meluru oleh KDN, Jakim
dan Jawi yang mengatakan bahawa Irshad telah cuba merombak Islam sedangkan
hasrat murni beliau yang sebenarnya adalah untuk mempertingkatkan pemahaman
Islam oleh para umatnya.
Irshad
melancarkan usaha tersebut kerana beliau sedar bahawa ajaran yang daripada
al-Quran pada hari ini kebanyakannya telah diputarbelitkan, disalahtafsir oleh
ramai pihak dan umatnya bagi menyokong banyak elemen-elemen yang negatif
seperti, keganasan, pengeboman, pembunuhan, diskriminasi terhadap wanita, kaum
dan agama yang lain, penyiksaan terhadap wanita, adat menyembah kubur,
kekejaman terhadap umat seagama, penghapusan etnik dan sebagainya.
Surah-surah
daripada al-Quran seringkali diambil atau dipilih, separuh atau sebahagian
daripadanya untuk dijadikan sebagai rujukan, diintepretasikan mengikut cara dan
pemikiran seseorang itu sendiri dan ditafsirkan kepada para umatnya dengan cara
yang tidak tepat. Jika sekiranya Islam adalah merupakan agama yang berpandukan
pada keamanan dan kemuliaan, jadi dari manakah kesemua bentuk salahtafsir ini
berasal? Siapakah yang menyalahtafsirkan kesemua Surah-surah ini kepada para
umat Islam?
Dan kenapa
pula kesemua kepercayaan, amalan dan ikutan yang penuh sesat ini terus
menghantui dan mempengaruhi umatnya dengan begitu mendalam sekali? Siapakah
yang menggalakkan penyebaran fahaman-fahaman tersebut? Siapakah yang sebenarnya
mempengaruhi umat-umat ke arah dan jalan yang sesat ini?
Di dalam
al-Quran (13:11), ianya juga ada menyebut, “Allah tidak akan mengubah keadaan
seseorang itu melainkan seseorang itu sendiri yang akan mengubah dirinya dan
keadaan tersebut”. Jadi, kesemua bentuk pemesongan disebut tadi adalah jelas
perbuatan manusia yang memegang kuasa itu. Kita tengoklah di negara-negara yang
mempunyai jumlah penganut Islam yang paling ramai seperti, Afghanistan,
Bangladesh, Mesir, Arab Saudi, Pakistan, Sudan, Yemen, Iran dan Somalia punyai
pemerintahan yang paling tidak stabil, penuh dengan kekejaman, diskriminasi,
pengeboman, kebencian dan ancaman terhadap hak asasi kemanusiaan serta bermacam-macam
lagi ketidakadilan.
Kesemua
bentuk jenayah, kekejaman dan diskriminasi ini oleh umat Islam terhadap
mereka-mereka yang seagama dengan mereka, oleh kerana terhadap sedikit
perbezaan pendapat, mahzab, peraturan dan pendapat. Selain daripada itu, isu
suku kaum turut dijadikan alasan kekejaman dan diskriminasi tersebut dilakukan.
Adakah Islam pernah mengajar umat-umatnya membunuh atau melakukan kekejaman
sesama mereka jika sekiranya terhadap sebarang perbezaan pendapat atau kaum?
Sudah tentunya tidak!
Di dalam
krisis ini, Islam tidak sepatutnya dipersalahkan kerana para pemimpinnyalah
yang menyesatkan ajaran-ajaran dan menyalahtafsirkan Surah-surah daripada
al-Quran kepada para umatnya.
Tindakan
drastik KDN, Jakim dan Jawi terhadap Irshad jelas menggambarkan seolah-olah
ketiga-tiga agensi kerajaan ini takut dan cuba mengelak daripada berhadapan dan
menghadapi fakta-fakta yang sebenarnya sedang berlaku di dunia pada hari ini.
Khusus
kepada Jakim dan Jawi, jika sekiranya kedua-dua agensi agama ini benar-benar
merupakan institusi-institusi yang mendukung Islam dan memartabatkan al-Quran
sebagai rujukan amalan kehidupan, kenapa kedua-dua Jakim dan Jawi enggan
bersemuka dengan Irshad secara terbuka, profesional dan berperikemanusiaan?
Ijtihad – Pemikiran Intelektual
Kita semua
telah mengetahui bahawa Irshad Manji yang menulis kedua-dua buku itu bukannya
seaorang yang sebarangan. Beliau adalah seorang yang berpendidikan tinggi, yang
mempunyai kedudukan yang dihormati di dunia pendidika dan pengajian tinggi,
sekaligus meletakkan beliau di barisan golongan intelektual.
Selain
daripada itu, Irshad juga menggalakkan orang ramai untuk bersemuka dan
berdialog, malah beliau juga seringkali menerima undangan untuk berdialog
dengan pihak-pihak yang menentang ajaran Islam, iaitu agama yang dianutinya
selama ini.
Apajua
pendapat-pendapat yang bertentangan dengan agama yang dianutinya tetapi
dihadapi oleh beliau dengan tenang dan diikuti pula dengan penjelasan
fakta-fakta yang beliau kemukakan bagi menerangkan perkara-perkara di dalam
Islam yang telah dijadikan isu-isu.
Jadi, ini
adalah merupakan sesuatu yang sihat dan juga digalakkan oleh bukan sahaja
Islam, malah agama-agama lain seperti, Buddha, Hindu, Tao, Kristian, Bahai dan
sebagainya turut memberikan penekanan yang menyeluruh terhadap pemikiran dan
perbincangan secara terbuka bagi menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam.
Sebelum ini,
Irshad juga ada mencadangkan agar diadakan beberapa siri dialog dan pemikiran
Islam dengan para intelek Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan
Monash University Kampus Malaysia, namun cadangan beliau itu dibantah dan
dihalang oleh pihak-pihak dari Jakim.
Persoalannya
adalah kenapa Jakim menghalang siri dialog dan pemikiran ini? Adakah Jakim
telah mengakui bahawa mereka kekurangan golongan intelek Islam yang berwibawa
di bawah agensrinya untuk bersemuka dengan Irshad mengenai isu-isu yang
berkaitan dengan Islam pada hari ini?
Pengharaman buku-buku Irshad
Daripada
tarikh pengharaman buku-buku yang ditulis oleh Irshad hinggalah ke hari ini,
pihak-pihak di KDN, Jakim dan Jawi masih gagal tampil kehadapan untuk
menjelaskan fakta-fakta yang terdapat di dalam buku-buku yang ditulis oleh
Irshad itu yang dianggap menghina dan mengancam Islam.
Rakyat
jelata perlu mengetahui sebab-sebab yang sebenarnya pengharaman buku-buku
tersebut dilakukan. Oleh yang demikian, KDN, Jakim dan Jawi perlu
mengketengahkan dengan jelas untuk tatapan umum apakah perkataan, ayat-ayat,
mukasurat, bahagian-bahagian dan sebutan-sebutan yang telah dikenalpasti oleh
KDN, Jakim dan Jawi sebagai suatu penghinaan dan ancaman terhadap Islam agar
rakyat dapat memahaminya dan membuat kesimpulan sama ada kesemua perkataan,
ayat-ayat, mukasurat, bahagian-bahagian dan sebutan-sebutan adalah
bertentangan, menghinakan ataupun merupakan suatu ancaman.
Takut dan tidak yakin pada diri?
Ya, ada
beberapa orang pegawai daripada Jakim yang pernah memberikan sebab-sebab isi
kandungan yang dikenalpasti daripada buku-buku Irshad yang diharamkan itu tidak
boleh diumumkan kepada orang ramai kerana bimbang ianya akan mengancam dan
mempengaruhi umat-umat Islam di negara ini.
Apakah KDN,
Jakim dan Jawi begitu takut sekali dan tidak yakin dengan kekuatan keimanan
umat-umat Islam di negara ini? Ataupun KDN, Jakim dan Jawi yang sebenarnya
takut dan tidak yakin pada diri mereka sendiri?
Dan jika
sekiranya KDN, Jakim dan Jawi langsung tidak yakin dengan kekuatan keimanan
umat-umat Islam di negara ini dan menganggap umat-umat Islam di negara ini akan
terbawa-bawa dengan buku-buku yang konon “sesat” dengan begitu mudah sekali,
maka itulah yang akan merupakan suatu penghinaan terhadap umat-umatnya di
negara ini oleh KDN, Jakim dan Jawi itu sendiri dan bukannya Irshad Manji.
Ini adalah
kerana KDN, Jakim dan Jawi sering melihat keimanan umat-umat Islam di negara
ini adalah sangat lemah dan tidak dapat berdaya saing. Lihat bertapa rendahnya
dipandang oleh KDN, Jakim dan Jawi terhadap keupayaan umat-umatnya sendiri.
Beza pendapat, pemahaman dan kesedaran
Sebenarnya
tidak terdapat sebarang ancaman mahupun penghinaan di dalam buku-buku yang
dikarang oleh Irshad. Yang ada hanya sedikit perbezaan pendapat mengenai cara
pemikiran dan pemahaman terhadap Islam itu perlu dilaksanakan.
Kita semua
tahu bahawa Irshad sendiri juga seorang penganut Islam dan beliau berpendidikan
tinggi dan kini berkhidmat dengan sebuah institusi pendidikan yang terkemuka.
Yang Irshad
cuba ketengahkan di dalam buku-buku beliau itu bukannya tajuk-tajuk mahupun
cadangan-cadangan untuk merombak keseluruhan agama Islam tetapi sebaliknya
idea-idea dan hasil daripada pemikiran beliau dan juga intelek-intelek yang
lain mengenai cara-cara untuk memartabatkan lagi pemahaman yang mendalam terhadap
ajaran Islam di kalangan umat-umatnya. Adakah ini salah dari sisi agama?
Apakah yang
Irshad cuba tekankan di dalam penulisannya adalah pemikiran, pemahaman dan
selepas itu kesedaran. Barulah umat-umat dapat menghayati dengan sebenarnya
ajaran-ajaran di dalam al-Quran dan
dengan itu Islam akan dapat membangun.
Lupakah
bahawa Tuhan yang mencipta manusia juga memberikan otak kepada setiap insan
yang diwujudkan itu dan Allah s.w.t. juga menyebut, “fikir, meneliti dan bukan
menerima apa saja yang diberikan”.
Yang Irshad
cuba ketengahkan di dalam penulisan beliau itu mungkin punyai sedikit perbezaan
mengenai cara-cara perlaksanaan tetapi adakah itu bertentangan dengan Islam. Adakah ianya salah untuk berbeza pendapat?
Berbeza pendapat, meluaskan pemikiran melalui perbincangan boleh membawa
kesedaran. Suatu amalan yang sihat,
bukan sahaja Islam, bahkan agama-agama yang lain turut menggalakkan amalan
sebegini.
Hanya
mereka-mereka yang berkuasa sahaja akan merasai kedudukan atau kuasanya
terancam dan mereka berbuat demikian supaya agar orang ramai akan menjadi lebih
takut akan kekuasaan dan “kekebalan” mereka.
Ada tak kekosongan?
Bukankah,
ianya lebih baik jika sekiranya rakyat Malaysia digalakkan, diajar dan dilatih
untuk berfikir dengan lebih tepat dan berkesan? Contohnya, kita boleh
membentang dan meluluskan undang-undang untuk menghukum mereka yang merompak,
menragut atau mencuri. Undang-undang akan menghukum mereka yang bersalah ini
dan pada keesokan hari mereka akan melakukan kesalahan-kesalahan itu sekali
lagi. Jadi, sebab itulah penjara-penjara di negara ini penuh dengan
pesalah-pesalah yang berulang.
Perkara yang
sama juga terletak di bahu Jakim sebagai sebuah institusi Islam yang utama di
negara ini. Jika sekiranya Jakim betul-betul menjalankan tanggungjawab mereka
dengan efektif, umat-umat Islam di negara ini akan memahami dengan lebih
mendalam dan menyeluruh dengan membezakan di antara yang tepat dengan yang
kurang tepat.
Salahkah
bagi seseorang itu, untuk memikir bagi memahami dan mendalami
kandungan-kandungan ajaran Islam yang
punyai makna-makna yang kompleks? Kenapa pihak berkuasa perlu menghadkan daya
pemikiran seseorang kepada setakat mematuhi arahan secara membabi buta sahaja?
Bukankah seseorang insan itu sepatutnya diajar agar ia dapat berfikir dengan
betul agar suatu keputusan yang tepat dapat dibuat?
Kerajaan
mungkin boleh menghalang Irshad daripada memasuki negara ini tetapi bolehkah
kerajaan menghalang semua rakyat negara ini daripada bertemu dengan Irshad di
luar sana? Jika sekiranya Irshad sendiri adalah benar-benar seorang lesbian,
ianya adalah hasil ciptaan Tuhan and biarkanlah Allah s.w.t. untuk menjalankan
tanggungjawabnya untuk menentukan sama ada beliau betul ataupun salah. Malah
Irshad juga pernah menyebut, “anda tidak perlu mengikut saya”.
Dan
akhirnya, Irshad juga pernah menyebut
“jawatan Tuhan telahpun diisi dan kekosongan sememangnya tidak wujud
lagi”. Jadi, bagi pihak berkuasa yang masih ingin menunjukkan kuasa mereka,
hentikan segala lakonan dan olok-olokan seolah-olah seperti Tuhan. Jika
sekiranya buku-buku Irshad telah diterbitkan dan diedarkan kepada umum, itulah
takdir Tuhan.