Kerajinan SPRM berat sebelah

Di dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes yang disyaki ataupun dilaporkan mempunyai unsur-unsure rasuah dan penyalahgunaan kuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau lebih dikenali sebagai SPRM telah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi khususnya apabila mereka ini berhadapan dengan dakwaan kononnya ada unsur rasuah di dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Kes khusus yang kita sedang lihat sekarang adalah di negeri Selangor, di mana Pakatan Rakyat sedang menerajui pentadbiran tersebut. Pergerakan SPRM untuk menyiasat kes tersebut amat laju sehinggalah menyebabkan salah seorang pegawai kerajaan negeri terbunuh, entah apa sebabnya kami belum pasti sehingga kini.

Katanya polis sedang menggulung penyiasatan, sehingga kini tidak ada sebarang hasil, minggu hadapan inkues majistret akan memulakan siasatan pula bagi mengenalpasti punca kematian pegawai kerajaan negeri tersebut, sambil diperuntukan pula dengan suruhanjaya diraja bagi menyiasat prosedur-prosedur penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Keseluruhan proses ini telah diputarbelitkan dan dikelam-kabutkan semata-mata untuk mengelirukan rakyat mengenai apa sebenarnya telah berlaku dan bagaimana. Rakyat kita telah bosan dengan pelbagai karenah yang diajukan oleh BN selama ini.

Di dalam kesibukan SPRM untuk menyiasat setiap dakwaan yang mempunyai impak terhadap Pakatan Rakyat, SPRM telah lupa ataupun sengaja melupakan segala-gala kesalahan, kegiatan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan rasuah yang diamalkan oleh para pemimpin BN khususnya daripada Umno.

Apakah Istana Khir Toyo dan Istana Zakaria itu adalah merupakan hak kebal dan ketuanan Umno? Apakah kes penyelewengan Pelabuhan Bebas Klang (PKFZ) itu hanya merupakan perkara remeh dan tidak penting? Apakah kehilangan sejumlah wang di dalam Maika Holding dan cabang pendidikannya MIED itu merupakan suatu kegiatan judi secara kecil-kecilan? Apakah kes penyelewengan tanah di Pulau Pinang oleh kerajaan negeri pimpinan BN-Gerakan yang lalu itu hanyalah satu kesalahan kecil yang tidak perlu dipandang?

Apakah SPRM berpendapat bahawa apa yang dibuat oleh BN, Umno, MCA, MIC dan Gerakan itu adalah tidak penting walaupun, berbilion ringgit wang rakyat telah hilang atau ditelan bulat-bulat oleh pemimpin mereka yang keji ini adalah betul?

Apakah SPRM berpendapat bahawa apabila Pakatan Rakyat tercicir wang yang hanya berjumlah di antara 10 sen hingga 80 sen itu adalah merupakan suatu kesalahan yang amat memudaratkan keselamatan negara? Pakatan Rakyat baru tidak sampai setahun memerintah dan pengalaman berkerajaan pun tidak begitu cukup lagi.

Kenapa pula SPRM tidak menyiasat para pemimpin BN yang berpengalaman luas di dalam bidang salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan penindasan. Selama 51 tahun BN memerintah, rakyat kita masih menderita dan dahagakan perubahan. Di manakah wang berbilion ringgit yang sepatutnya disalurkan kepada akar-umbi rakyat yang memerlukannya selama ini?

Apakah SPRM telah lupa akan segala-gala kegiatan keji yang dilakukan oleh para pemimpin BN selama ini. SPRM mudah lupa ataupun berat sebelah? Kerajinan SPRM itu hanya untuk membantu BN untuk mencapai matlamat politiknya dan bukannya untuk memerangi rasuah yang sebenarnya.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork