Peranan Parlimen Menyemak dan Menegur Kerajaan Bukan Mainan Politik


Kita telah pun lihat dan asyik mendengar kenyataan yang sering dikeluarkan oleh beberapa pemimpin kerajaan pemberontak yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) yang beberapa kali mendakwa ahli-ahli parlimen daripada parti-parti pembangkang yang menyemak, mempersoal dan menegur belanjawan, dasar dan perlaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan pemberontak PN ini sebagai suatu cubaan untuk mempolitikkan isu-isu dan menggugat kestabilan negara.

Ketua kerajaan pemberontak Muhyiddin Yassin, menteri kewangannya Tengku Zafrul Aziz serta beberapa menteri kabinetnya sering mendakwa ahli-ahli parlimen dari parti-parti pembangkang terus mencetuskan "keadaan politik yang tidak stabil" yang boleh "menggugat usaha pemulihan negara" yang kini sedang dilaksanakan, sebaliknya perlu menyokong sepenuhnya rancangan tersebut demi manfaat rakyat.

Ingin kami tegaskan bahawa kenyataan yang sering dibuat oleh para pemimpin PN ini sebagai memutarbelitkan keadaan, memberikan kenyataan yang tidak tepat, palsu dan kadang-kala memesongkan keadaan menggambarkan seolah-olah parti-parti pembangkang ini anti-rakyat, anti-kerajaan dan cuba menggagalkan pemulihan ekonomi negara yang kini sedang dilaksanakan. 

Bagi orang ramai yang masih kurang arif dengan maksud sistem demokrasi berparlimen akan mudah terpengaruh dengan segala dakyah palsu yang sering dikeluarkan oleh PN ini lantas akan marah dengan tindakan ahli-ahli parlimen parti pembangkang yang cuba sedaya upaya menyemak kegiatan-kegiatan kerajaan baik di dalam mahupun di luar parlimen.

Orang ramai perlu mendalami erti politik dan demokrasi berparlimen yang sebenarnya. Parti-parti pembangkang bukannya anti-kerajaan, parti-parti pembangkang juga bukannya musuh ketat kerajaan ataupun suka membabitkan diri dengan perebutan kuasa. Cara kerajaan pemberontak PN ini melabelkan parti-parti pembangkang dan ahli-ahli parlimennya adalah amat mendukacitakan kerana kerajaan ini tidak menganggap peranan pembangkang ini sebagai rakan atau usahasama demi memanfaat rakyat dan negara, sebaliknya cuba membuahkan suatu gambaran buruk terhadap ahli-ahli parlimen dari parti-parti pembangkang.

Hakikatnya adalah kerajaan pemberontak yang diterajui oleh PN inilah yang telah menyebarkan pelbagai berita palsu, fitnah dan tohmahan hampir pada setiap hari bagi mempengaruhi rakyat jelata mengenai "rancangan jahat" yang kini sedang dipelopori oleh ahli-ahli parlimen parti-parti pembangkang.

Di dalam amalan demokrasi berparlimen, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab secara berpelembagaan setiap ahli-ahli parlimen pembangkang untuk menyemak imbang, menegur dan mempersoalkan dasar-dasar, belanjawan dan apajua perlaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan bagi memastikan ianya dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan cekap agar rakyat jelata memperoleh kebaikan daripada dasar-dasar ataupun perlaksanaan tersebut. Ianya bukan suatu cubaan pembangkang untuk menghalang atau mensabotaj sesuatu kebaikan daripada disalurkan oleh orang ramai, tetapi ianya bertujuan untuk memastikan ianya disalurkan dengan lebih cekap dan berkesan agar tidak ada kelompok masyarakat yang akan terpinggir atau dipinggirkan sewenang-wenangnya.

Cubaan kerajaan pemberontak PN untuk terus menghalang parlimen daripada bersidang semula dalam masa yang terdekat dengan alasan penularan wabak covid-19 masih belum terkawal bukannya satu sebab yang dapat diterima dengan mudah. Ianya jelas satu cubaan kerajaan pemberontak ini untuk mengelak daripada bersemuka dengan ahli-ahli parlimen dan perbuatan mereka ini adalah amat mendukacitakan, tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya sidang parlimen tidak dapat diteruskan secara fizikal, ianya masih boleh dilaksanakan melalui platform talian (online), tetapi langkah alternatif ini turut ditolak oleh kerajaan pemberontak PN atas alasan mereka kekurangan sumber dan tenaga pakar untuk menganjurnya secara talian. Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan ini telah menjadi semakin tidak bertanggungjawab dan sanggup melakukan apajua cara bagi mengelak daripada bersemuka dengan parlimen.

Hampir pada setiap hari, kita telah melihat Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat secara talian dengan para pegawai tinggi kerajaan dan juga wakil-wakil negara-negara asing, menggunakan pelbagai peralatan talian yang canggih dan berteknologi tinggi. Dengan adanya pelbagai kemudahan-kemudahan canggih dan berteknologi tinggi di Jabatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian yang lain, agaknya kenapa mereka masih juga memberi alasan kekurangan sumber dan tenaga pakar untuk melaksanakan sidang parlimen secara talian? Kami amat yakin, bahawa ianya disengajakan bagi memastikan parlimen tidak diberi sebarang akses ataupun maklumat penuh berkenaan kegiatan harian dan dasar-dasar kerajaan.

Dan apabila ahli-ahli parlimen pembangkang cuba memasuki parlimen untuk bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat dan memulakan prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), wakil-wakil rakyat tersebut disambut dengan sekatan di jalan masuk ke parlimen oleh ratusan anggota polis yang ditempatkan di situ.

Beberapa hari kemudian, ahli-ahli parlimen ini pula dipanggil oleh pihak polis untuk disoalsiasat satu demi satu untuk diambil kenyataan mereka kononnya berlakunya suatu "perhimpunan haram" pada hari tersebut di jalan masuk ke parlimen dan di Dataran Merdeka. Apakah yang dimaksudkan "perhimpunan haram"? Ahli-ahli parlimen ini mempunyai hak seperti yang termaktub dalam perlembagaan untuk memasuki parlimen bagi menjalan apajua urusan rasmi walaupun tidak ada sebarang aturan mesyuarat pada hari tersebut.

Tindakan kerajaan pemberontak PN dan pihak polis ini jelas merupakan suatu kesalahan yang serius di bawah Seksyen 124, 124B, 124C Kanun Keseksaan di mana ahli-ahli parlimen telah dihalang daripada memasuki parlimen untuk menjalankan tugas mereka dan kerajaan pemberontak ini juga telah melakukan pelbagai cara yang dilihat mengganggu-gugat amalan demokrasi berparlimen.

Rakyat jelata perlu faham bahawa menyemak dan menegur kerajaan ini bukannya satu perbuatan yang "menentang kerajaan". Ianya adalah suatu bentuk semak dam imbang yang wajar  di dalam amalan demokrasi berparlimen. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan ahli-ahli parlimen untuk memainkan peranan mereka dalam menyemak imbang apajua kegiatan harian kerajaan bagi memastikan segala perlaksanaan dasar dan belanjawan dikelolakan secara telus, terbuka, cekap dan bertanggungjawab.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork