Adakah kerajaan campuran yang baru ini akan juga tumbang tak lama lagi?
Baru selesai naib presiden Umno, Datuk Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang kesembilan pada Jumaat yang lalu, kini timbul pula satu pertelingkahan terbuka mengenai nama kerajaan yang bakal dibentuk ini.
Bekas perdana menteri yang juga presiden PPBM merangkap pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah mengucapkan tahniah kepada perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan mengatakan bahawa Ismail Sabri akan meneruskan pemerintahan "kerajaan PN" dengan memberikannya suatu nafas kepimpinan baru.
Setelah kenyataan ucap tahniah Muhyiddin tersebut, setiausaha-agung Umno, Datuk Ahmad Maslan dan ahli majlis tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan menolak mentah-mentah kenyataan Muhyiddin yang mendakwa kerajaan baru yang bakal dipimpin Ismail Sabri itu adalah kerajaan PN kerana ianya terdiri daripada campuran tiga gabungan BN, PN dan GPS serta Parti Bersatu Sabah (PBS).
Lantas daripada itu, majlis pimpinan tertinggi PN hari ini telah mengadakan mesyuarat tergempar di ibupejabatnya pada hari ini bagi membincangkan pertelingkahan terbuka tersebut dan berikutan mesyuarat PN tersebut ahli-ahli majlis pimpinan tertinggi PN telah memutuskan bahawa kerajaan baru yang bakal dibentuk Ismail Sabri adalah sebenar-benarnya kerajaan PN kerana PNlah yang mempunyai jumlah kerusi yang terbanyak, yakni 50 jika dibandingkan dengan BN yang hanya mempunyai sejumlah 41 kerusi, sementara GPS dan PBS masing-masing memegang 18 dan 1 kerusi.
Sementara itu, maklumbalas daripada presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan masih belum diperolehi berikutan pertelingkahan terbuka yang baru tercetus.
Persoalannya, adakah kerajaan campuran baru yang bakal dibentuk Ismail Sabri yang merangkumi gabungan-gabungan politik terdahulu, PN, BN dan GPS akan juga tumbang di masa yang terdekat ini berikutan persengketaan PPBM dan Umno ini yang dilihat masih belum reda berikutan perletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri sebelum ini kerana telah berkali-kali gagal menangani masalah penularan wabak covid-19 yang kini telah hilang kawalan walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah berlanjutan selama setahun lebih, namun masih tidak menampakkan sebarang kemajuan mahupun pengurangan penularan wabak tersebut.
Ini adalah kerana PN dan BN masing-masing mempunyai jumlah kerusi sebanyak 54 dan 41, manakala GPS pula memiliki sejumlah 18 kerusi parlimen. Walaupun "kekuatan" PN dapat dilihat mempunyai kelebihan kerusi berbanding BN, namun masing-masing juga boleh mengugut di antara satu sama lain memandangkan perbezaan jumlah kerusi kedua-dua gabungan tersebut adalah tidak jauh, manakala GPS dari negeri Sarawak pula akan menjadi pengimbang di antara kedua-dua gabungan tersebut.
Dalam erti kata yang sebenarnya, GPS juga boleh mengugut kedua-dua gabungan PN dan BN sekiranya permintaannya tidak dapat dipenuhi oleh kedua-dua belah pihak.
Jadi, walaupun PN dan BN masing-masing mendakwa mereka masih boleh bekerjasama dalam kerajaan baru tersebut, namun, kita masih dapat melihatnya dengan jelas akan "dendam" yang masih tersimpan di dalam hati PPBM kerana Umno lah kerajaan negeri Perak dan pusat pimpinan PN tumbang berikutan penarikan sokongan oleh Umno sebelum ini.
Oleh yang demikian, keadaan yang serupa masih juga boleh berlaku sekiranya PN ingin bertindakbalas terhadap BN yang telah dua kali "menindas" kedudukannya sebelum ini. Untuk makluman PN juga kini mempunyai kelebihan apabila mereka berjaya mendapat "sokongan" daripada dua parti komponen BN, iaitu MCA dan MIC, apabila kedua-dua parti komponen BN tersebut telah menyokong secara terbuka kepimpinan Muhyiddin apabila kedudukan beliau digugat oleh Umno sewaktu itu.
Kini, baru genap hari yang ketiga, sengketa terbuka PPBM (PN) dan Umno (BN) telahpun meletus dengan begitu sengit dalam isu sama ada ia seharusnya dinamakan kerajaan PN ataupun kerajaan BN, adakah kerajaan baru pimpinan Ismail Sabri ini akan bertahan lebih daripada setahun? Adakah perdana menteri yang kesembilan ini akan dapat menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang telah ditinggalkan oleh PN kini menjadi semakin runcing? Sekiranya BN juga gagal menangani krisis tersebut, adakah PN akan juga bertindak untuk menarikbalik sokongannya terhadap Ismail Sabri?
Antara dua gajah yang masih hendak berperang di sebalik "kerjasama rapat" ini, rakyat jelatalah yang akan terus menderita keperitan hidup yang masih tidak menampakkan sebarang penyelesaian yang menyeluruh.