Kehilangan Pesawat MH370: Kenapa Khabar Angin Terus Berleluasa?

Rencana saya ini telah diterbitkan di rakyattimes.com pada 10/3/2014

Sejak tersebar dan terumumnya berita bahawa pesawat MAS penerbangan MH370 hilang sewaktu di dalam perjalanannya ke Beijing, China pada Sabtu yang lalu, pelbagai kerisauan dan kebimbangan yang timbul baik di pihak kerajaan, ahli-ahli keluarga mangsa, mahupun orang ramai.

Manakala di pihak kerajaan pula, mereka sering mengutuk penyebaran pelbagai bentuk dan jenis khabar angina mengenai kehilangan pesawat MH370 terutamanya di media-media sosial dan ada kala memberi amaran agar khabar-khabar angina tersebut tidak melampaui batas dan dihentikan segera agar ianya tidak memudaratkan lagi keadaan.

Masalah yang paling besar di sini adalah kerana pihak kerajaan dan MAS masih belum memahami dengan sepenuhnya kenapa khabar-khabar angin mengenai MH370 itu masih tersebar dengan begitu luas sekali. Ini adalah kerana pihak kerajaan dan MAS gagal menyampaikan maklumat-maklumat yang tepat kepada umum dan ahli-ahli keluarga mangsa.

Di dalam usaha mencari dan menyelamat yang diselenggarakan oleh pihak kerajaan khususnya, terdapat banyak andaian, ketidakpastian, maklumat-maklumat yang teragak-agak dikeluarkan oleh para menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan segala perbuatan yang tidak tentu arah tersebut telah mengelirukan orang ramai.

Tambah pula, terdapat juga banyak perbincangan demi perbincangan serta program-program yang disiarkan di dalam stesyen television kerajaan yang hanya memberikan penekanan terhadap pencapaian dan mutu teknikal pesawat jenis Boeing 777 yang begitu baik serta juruterbang-juruterbang MAS yang “berdedikasi”, “baik” dan “cekap”.

Dan ini sekaligus telah menimbulkan kemarahan ahli-ahli keluarga mangsa dan juga orang ramai kerana perbuatan “mempromosikan” diri mereka (kerajaan dan MAS) di dalam keadaan yang sedemikian yang tidak sepatutnya dilakukan dan ianya boleh dianggap agak keterlaluan.

Oleh kerana segala usaha kerajaan dan MAS tidak menampakkan sebarang hasil yang positif, ahli-ahli keluarga mangsa dan orang ramai terpaksa mengalih tumpuan mereka kepada laman media-media sosial bagi mendapatkan maklumat serta bergantung penuh kepada maklumat-maklumat yang disalurkan oleh pelbagai agensi-agensi berita negara asing yang dilihat lebih cepat di dalam penyampaian maklumat-maklumat mereka berhubung dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 itu.

Justeru daripada itu, pihak kerajaan dan MAS serta pihak polis tidak seharusnya mempersalahkan orang ramai mengenai penyebaran khabar-khabar angin tersebut yang kebanyakannya juga harus diteliti kerana ianya berkemungkinan dapat membantu di dalam operasi mencari dan menyelamat.

Sebagai contoh, sebuah gambar yang diambil oleh seorang peniaga dari negara China sewaktu penerbangan beliau dari Beijing ke Kuala Lumpur baru-baru ini yang menunjukkan bermacam-macam cebisan yang pelik di atas laut, apabila disampaikan kepada pihak berkuasa setibanya di KLIA tidak diambil perhatian secara serius oleh pihak berkuasa, lantas daripada itu, gambar tersebut terus disalurkan kepada pihak media-media internet. Kita masih tidak memahami kenapa pihak berkuasa tidak menyiasat gambar-gambar yang diambil oleh peniaga dari negara China tersebut dengan teliti.

Peristiwa kehilangan pesawat MH370 ini boleh dianggap sebagai suatu tragedi pada hari ini kerana ianya telah melibatkan sebuah badan kerajaan, kehilangan nyawa bukan sahaja rakyat negara kita tetapi juga rakyat negara-negara asing. Masyarakat antarabangsa kini sedang memerhati segala gerak-geri pihak kerajaan dan MAS mengenai cara dan langkah-langkah mereka di dalam mengatasi masalah tersebut. Malah, kerajaan China kini sedang memberikan tekanan yang lebih terhadap kerajaan Malaysia dan MAS agar meningkatkan tahap kecekapan mereka di dalam usaha mencari dan menyelamat mereka, menyampaikan maklumat-maklumat dengan lebih tepat, tidak merahsiakan sebarang hasil-hasil penyiasatan dan sebagainya.

Jika sekiranya pihak kerajaan dan MAS menguruskan usaha-usaha mereka dengan lebih cekap dan efesien, ini akan dapat membantu mengurangkan penyebaran khabar-khabar angin yang begitu meluas sekarang. Janganlah asyik menyalahkan pihak lain jika sekiranya khabar-khabar angin tersebar, kerana pihak kerajaan dan MAS juga seharusnya bertanggungjawab dan menyalurkan maklumat-maklumat yang sebenarnya kepada orang ramai, khususnya ahli-ahli keluarga mangsa daripada terus membiarkan mereka menunggu dengan terlalu lama

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork