Gabungan MCA, Gerakan dan SUPP. Kesudahan Tetap Sama

Baru-baru ini, terdapat banyak perbincangan di kalangan pemimpin dan ahli-ahli politik daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh kaum Cina, khususnya MCA, Gerakan dan SUPP mengenai keperluan untuk bergabung bagi menjadi satu parti kaum Cina yang terbesar di negara ini.

Namun demikian, presiden SUPP sudahpun menolak cadangan tersebut dengan mendakwa bahawa parti pimpinan beliau bukannya sebuah parti yang mewakili kaum Cina sahaja.

Sementara di pihak MCA dan Gerakan pula, para pemimpin kedua-dua parti tersebut kini cuba menolak persoalan tersebut dengan menggesa agar menunggu sehingga persidangan agung tahunan dan pemilihan kedua-dua parti itu selesai.

Walaubagaimanapun, bergabung ataupun tidak bergabung, kesudahan ketiga-tiga parti komponen BN ini adalah tetap sama. Mereka telah kehilangan sokongan bukan sahaja daripada masyarakat Cina tetapi kesemua rakyat Malaysia pada keseluruhannya.

Macam manapun MCA, Gerakan dan SUPP bergabung, rakyat masih tidak akan menggembalikan undi mereka kepada ketiga-tiga parti tersebut jika sekiranya MCA, Gerakan dan SUPP benar-benar ingin menjadi satu entiti yang lebih besar.

Nampaknya para pemimpin ketiga-tiga parti komponen BN yang mempunyai jumlah keahlian kaum Cina yang lebih besar ini masih tidak faham apa aspirasi rakyat yang sebenarnya dan kenapa rakyat telah menolak mentah-mentah ketiga-tiga buah parti komponen BN tersebut di dalam pilihanraya umum yang lalu. Jelas, mereka semua ini masih tertidur dan masih belum lagi sedar.

Hakikatnya adalah, MCA, Gerakan dan SUPP ini terlalu tunduk kepada UMNO (di Semenanjung) dan PBB (yang mendominasi BN Sarawak) dan ketiga-tiga parti tersebut juga tidak tegas di dalam mempertahan hak-hak asas, apa yang mereka dakwa masyarakat yang mereka wakili selama ini.

Contoh yang paling jelas, ketuanan dan dominasi yang ditonjolkan oleh Umno selama ini yang menunjukkan seakan-akan parti tersebut ingin membolot segala-galanya. Selain daripada itu, agenda perkauman Umno yang sangat ekstrim dan radikal, serta tindakan mereka seperti ingin menghapuskan hak-hak kaum dan masyarakat lain di dalam negara ini.

Dalam pada itu, Umno juga didapati sering menyalahgunakan agama untuk kepentingan politiknya sendiri bagi menandingi pengaruh PAS yang semakin meningkat di kalangan masyarakat bukan Islam. Apa kata MCA, Gerakan dan SUPP di dalam masalah tersebut? Mereka ini hanya berdiam diri sahaja dan tunduk kepada segala kemahuan Umno.

Begitu juga dengan MCA, yang sehingga pada hari ini masih menyasarkan serangannya terhadap DAP yang kononnya parti pembangkang tersebut adalah hanya alat rakannya PAS yang bercita-cita membentuk sebuah negara Islam.

Apa yang jelas di sini adalah, sasaran MCA terhadap DAP itu adalah bertentangan dengan apa yang disebut oleh Umno, iaitu DAP ingin membentuk sebuah negara Kristian di Malaysia. Siapakah yang bercakap benar di sini, Umno ataupun MCA?

Kembali kepada kelemahan MCA, Gerakan dan SUPP pula, ketiga-tiga parti komponen BN ini juga telah gagal menunjukkan kedudukan politik mereka dengan tegas apabila berhadapan dengan pelbagai masalah dan isu-isu yang menyentuh serta mengancam sensitiviti agama-agama lain selain daripada Islam. Pendeknya, mereka telah gagal mewakili apa yang mereka dakwa kaum-kaum dan masyarakat yang mereka dukung selama ini.

Tundukan mereka kepada dominasi dan ketuanan kuasa Umno khususnya secara berterusan telah menjejaskan kredibiliti mereka pada keseluruhannya, apatah lagi kekuatan dan pengaruh mereka terhadap masyarakat yang mereka "wakili" turut terhakis dengan begitu cepat sekali.

Oleh yang demikian, selagi MCA, Gerakan dan SUPP tidak mengubah daripada sikap politik tunduk kepala kepada suatu ketegasan politik yang berteraskan kesamarataan sesama parti-parti komponen BN, selagi itulah kekalahan demi kekalahan akan terus menghantui ketiga-tiga buah parti komponen BN tersebut.

Janganlah tertidur dengan begitu lama. Sedarlah sebelum terlambat.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork