BN Yang Perkenalkan Perlantikan Penyelaras DUN dan Parlimen

Soalan yang dikemukakan oleh ketua pembangkang DUN Pulau Pinang, Jahara Hamid (Umno-Teluk Air Tawar) di dalam persidangan dewan undangan negeri baru-baru ini mengenai perlantikan 10 orang penyelaras DUN di kawasan-kawasan DUN yang dimenangi Umno oleh kerajaan negeri Pulau Pinang telah menarik perhatian kami untuk membalasnya oleh kerana menurut Jahara, beliau sebenarnya "tidak tahu" mengenai perlantikan penyelaras-penyelaras DUN dan parlimen oleh kerajaan BN untuk ditempatkan di kawasan-kawasan DUN dan parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Kami ingin bertanya sama ada Jahara itu benar-benar tidak tahu apa yang dilakukan oleh pemimpinnya sendiri ataupun berpura-pura tidak tahu oleh kerana ingin mengelak daripada dipersoal mengenai perlantikan penyelaras-penyelaras DUN dan parlimen oleh BN untuk kawasan-kawasan yang diwakili oleh parti-parti pembangkang.

Tujuan Politik?

Ya, sebenarnya, kedua-dua belah pihak sama ada ianya daripada BN mahupun Pakatan sememangnya mempunyai matlamat politik utama mereka di dalam hal perlantikan para penyelaras untuk ditempatkan di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh lawan masing-masing.

Apakah masalah yang Jahara cuba ketengahkan di dalam hal tersebut? Ya, persoalan beliau juga boleh dikatakan cuba mempolitikkan isu tersebut dengan panjang lebar. Berkemungkinan beliau sudah mulai merasakan bahawa para ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN) daripada Umno (termasuk dirinya sendiri) sudah lama tidak dapat menikmati kemudahan peruntukan daripada kerajaan negeri oleh kerana mereka kini di sebelah pihak yang membangkang di peringkat negeri.

Pengenalan : Perlantikan Penyelaras DUN dan Parlimen

Sebenar-benarnya, kerajaan BN yang memulakan sistem perlantikan penyelaras-penyelaras untuk ditempatkan di kawasan-kawasan DUN dan parlimen yang dimenangi parti-parti pembangkang.

Kalau di pandang oleh pihak luar, mungkin boleh juga dikatakan para penyelaras DUN dan parlimen ini adalah wakil-wakil rakyat palsu atau tidak sah laku di dalam DUN ataupun di parlimen.

Biasanya mereka-mereka yang dilantik untuk menjadi penyelaras DUN dan parlimen ini semuanya adalah calon-calon BN yang telah kalah di dalam pilihanraya umum yang lalu. Adakah kesemua penyelaras DUN dan parlimen BN ini dibayar gaji dan elaun? Ya, mereka semuanya adalah digaji oleh Unit Peryelarasan dan Perlaksanaan (Implementation and Coordination Unit - ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui kontrak selama lima tahun.

Peruntukan DUN dan Parlimen

Jika pihak pembangkang yang memegang kerusi-kerusi DUN dan parlimen di sesuatu kawasan, ahli-ahli DUN dan parlimen ini tidak akan menikmati sebarang peruntukan tahunan daripada kerajaan pusat atau negeri-negeri yang diterajui oleh BN.

Sebaliknya, peruntukan tersebut akan disalurkan pula melalui para penyelaras DUN dan parlimen yang dilantik untuk "menjaga" atau "mentadbir" kawasan-kawasan yang sedang dikuasai oleh parti-parti pembangkang.

Oleh itu, ahli-ahli DUN dan parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat jelata telah dinafikan hak dan faedah peruntukan tahunan mereka untuk kegunaan kawasan masingh-masing. Jadi, adakah ini dikatakan demokrasi di sebelah pihak BN?

Tahukah si Jahara akan kebenaran ini?

JKKKP Lawan JKKK

Selain daripada perlantikan penyelaras-penyelaras DUN dan parlimen BN di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh parti-parti pembangkang (Pakatan), kerajaan BN bertindak nekad dengan melantik para pemimpin BN peringkat tempatan untuk menduduki kerusi-kerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pusat (JKKK) di negeri-negeri yang sedang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Untuk makluman semua, di dalam peringkat negeri pula, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan-kerajaan negeri untuk melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di semua perkampungan di dalam negeri di bawah pentadbirannya.

Dan oleh kerana ada kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui oleh pihak Pakatan sebelum ini dan pada masa sekarang (seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor), kerajaan pusat BN telah mewartakan pembentukan JKKKP di semua perkampungan negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan bagi menandingi JKKK lantikan kerajaan negeri yang sedia ada.

Bermakna, di dalam setiap perkampungan dan pekan terdapat dua bentuk JKKK yang bertentangan, iaitu satu yang asal - lantikan kerajaan negeri, manakala di sebelah pihak yang memakai huruf "P" di belakangnya - kononnya orang-orang lantikan kerajaan pusat.

Ini jelas bertentangan dengan amalan demokrasi. Tahukah si Jahara akan kebenaran ini?

Penghulu Pusat Lawan Penghulu

Selain daripada JKKKP melawan JKKK, kerajaan pusat BN turut melantikan Penghulu-penghulu Pusatnya sendiri bagi "mentadbir" kampung-kampung yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Ini juga bermakna di setiap kampung-kampung di dalam negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat, terdapat dua orang Penghulu yang bertentangan di antara satu sama lain, satu dilantik secara sah oleh kerajaan negeri, manakala yang berlawanan itu adalah lantikan pusat.

Tahukah si Jahara akan kebenaran ini juga?

Pembaziran Wang Rakyat

Perbuatan kerajaan BN untuk menafikan hak-hak ahli-ahli DUN dan parlimen, JKKK dan penghulu yang sah sememangnya mempunyai tujuan "pemberontakan" terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat jelata.

Selain daripada itu, perbuatan tersebut juga jelas membazirkan wang rakyat, menduplikasikan peranan-peranan dan jawatan-jawatan yang sudah sedia ada, wujud sekian lama sebelum ini. Ianya seolah-olahnya membelakangkan calon-calon pilihan rakyat dan langsung tidak menghormati amalan demokrasi yang sejagat.

Tahukah si Jahara akan kebenaran ini juga?

Menurut Jahara lagi, bantuan kerajaan negeri Pulau Pinang yang disalurkan sejak lima tahun yang lalu banyak bertumpu di kawasan-kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat dan mengabaikan kawasan DUN yang diwakili oleh BN.

Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi oleh pihak pembangkang dan diabaikan secara langsung oleh kerajaan pusat BN dengan penafian pemberian peruntukan-peruntukan tahunan yang sepatutnya diterima oleh setiap ahli-ahli parlimen?

Bagaimana pula dengan pengabaian oleh kerajaan pusat BN di kawasan-kawasan parlimen pembangkang sedangkan kawasan-kawasan yang diwakili oleh BN menikmati pembangunan yang melambak?

Ahli-ahli parlimen daripada parti-parti pembangkang telah juga membuktikan bahawa mereka juga mampu berkhidmat dan membantu rakyat jelata yang memilih dan mengundi mereka. Justeru daripada itu, kerajaan pusat BN juga tidak perlu melantik penyelaras-penyelaras parlimen di kawasan-kawasan yang sedang diwakili oleh wakil-wakil rakyat parti pembangkang.

Kenapa pula perlu membazir wang rakyat untuk membayar gaji para penyelaras ini untuk berkhidmat di kawasan-kawasan yang sudah wujudnya wakil-wakil rakyat yang dipilih?

Tahukah si Jahara akan kebenaran ini juga? Dapatkah Jahara bangkit dan menyeru kerajaan pusat yang diterajui pimpinan BN-Umno agar tidak terus membazir wang melalui kaedah yang sebegini rupa?

Sebelum mendakwa dirinya tidak diberikan yang ini atau yang itu, lihatlah di permukaan cermin terlebih dahulu mengenai perbuatan dirinya terhadap pihak lain.

Usahlah menafikan bahawa BN yang mula-mulanya telah memperkenalkan perlantikan "overlapping coordinators" kerana tidak dapat menerima keputusan pilihanraya dan pilihan rakyat dengan hati yang terbuka.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork