Banteras Rasuah dengan Segera

Pakatan Harapan (PH) telahpun mengambil-alih tampuk pemerintahan kerajaan pusat dan beberapa buah kerajaan negeri sejak 9 Mei 2018 yang lalu.

Agenda utama kerajaan-kerajaan PH sekarang adalah untuk membanteras gejala rasuah dengan segera sebelum gejala ini menumbangkan ekonomi dan seterusnya negara kita di suatu hari nanti.

Kami sebagai rakyat tidak mengundi PH untuk menduduki tampuk pemerintahan semata-mata hanya untuk memenuhi janji-janji manifesto pilihanraya dalam tempoh 100 hari, dan jika ada di kalangan yg asyik menegaskan bahawa janji 100 hari itu perlu dikotai dengan segera, maka mereka inilah yang tidak memahami keadaan yang sebenarnya serta berfikiran cetek.

Sudah beberapa dekad negara kita diperintah Barisan Nasional (BN) dan kuasa memerintah dimonopoli oleh parti komponen utama BN, yakni Umno. Monopoli politik oleh Umno inilah yang menyebabkan parti itu menjadi terlalu berkuasa sehinggakan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam kerajaan menjadi serius dan sukar ditangani pada masa itu.

Monopoli kuasa Umno terhadap banyak institusi kerajaan pada masa itu adalah sama dengan monopoli kuasa Parti Komunis China (CCP) terhadap kesemua institusi kerajaan di negara terbesar itu dan oleh kerana monopoli sedemikianlah gejala rasuah dan salahguna kuasa berkembang akibat daripada ketamakan kuasa para pemimpin dan ketiadaan suatu bentuk pemantauan yang berkesan serta tidak wujudnya dasar keterbukaan yang menggalakkan rakyat memerhati, memantau dan mengkritik dasar-dasar yang dipelopori parti tersebut.

Justeru dari itu, kerajaan PH sekarang harus mempertingkat langkah-langkah pembanterasan rasuah di dalam kerajaan dengan sekadar segera bagi membendung gejala tersebut daripada terus menjadi sebahagian daripada budaya dalam sektor awam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberikan lebih kuasa agar badan tersebut dapat bertindak dengan lebih cekap dan pantas dalam menangani gejala tersebut kerana jika diperhatikan daripada tindakan yang dilaksanakan oleh SPRM pada hari ini masih tidak berkesan dan lambat bukannya kerana para pegawai bandan tersebut tidak cekap, tetapi terhalang oleh undang-undang dan sistem pendakwaan yang kurang berkesan, kekurangan kuasa untuk bertindak, tidak ada kuasa pendakwaan dan karenah birokrasi yang masih wujud di kalangan institusi-institusi kerajaan yang terlibat serta kurangnya kerjasama daripada ketua-ketua jabatan.

Selain daripada itu, kerajaan PH juga perlu melaksanakan beberapa siri pembaharuan dalam sistem parlimen agar dapat diwujudkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan parlimen (parliamentary select committees) bagi memantau perlaksanaan dasar, belanjawan dan kegiatan di setiap kementerian dan agensi kerajaan agar institusi-institusi kerajaan tersebut dapat dibebaskan daripada gejala negatif tersebut.

Inilah dua langkah utama yang seharusnya dilaksanakan oleh kerajaan PH bagi memastikan kembalinya keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara kita.

Selain daripada itu, kerajaan PH juga harus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi membasmi elemen-elemen pro-BN atau pro-Umno yang masih memegang jawatan di dalam kerajaan agar kegiatan mensabotaj dasar-dasar baru kerajaan PH tidak berlaku lagi. Adalah amat dibimbangi jika sekiranya elemen-elemen anti-kerajaan ini masih dibiarkan terus di dalam sektor awam, kredebiliti dan kedudukan PH mungkin akan terjejas dengan lebih teruk lagi.

Oleh yang demikian, kerajaan PH harus bertindak pantas sebelum menjelang pilihanraya umum yang ke-15 kerana jika asyik terus berpolitik atau terpengaruh dengan perkara-perkara remeh dan asakan politik perkauman dan agama Umno dan PAS, masa akan berlalu dengan cepat sekali.

Tumpukanlah sepenuh masa terhadap pembuatan dasar, pembaharuan dan pemulihan negara.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Federal Constitution that Safeguards the Legitimate Rights and Interest of All Malaysians