Jangan biarkan PENCURI memerintah negara kita lagi

Parlimen negara kita telahpun terbubar dan penamaan calon juga telah menyaksikan calon-calon yang bakal bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sebelum parlimen dibubarkan, Akta Berita Palsu dan persempadanan semula kawasan parlimen dan dewan undang negeri telah dibentang dan diluluskan dalam parlimen dalam keadaan tergesa-gesa. Sepanjang pemerintahan Barisan Nasional (BN), kita telahpun melihat beberapa siri rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidaktelusan di dalam pentadbiran kerajaan BN di mana ianya telah mengakibatkan kehilangan wang negara berbilion-bilion ringgit.

Selain daripada itu, di bawah para pemimpin BN, daripada perdana menteri sehinggalah ke peringkat menteri dan bahagian-bahagian Umno, skandal demi skandal tidak henti-henti menjelma, tetapi mereka semua ini tidak pula menginsafi akan segala perbuatan mereka sebaliknya berbangga dengan segala perbuatan keji mereka dengan berselindung di sebalik pelbagai undang-undang serta agama dan bangsa sering diperalatkan bagi mengancam rakyat jelata.

Ini jelas terbukti apabila sewaktu kempen pilihanrayanya, seorang calon BN-MCA menjelaskan kepada para pengundi yang mempersoalkan skandal 1MDB, bahawa tindakan perdana menteri Najib Razak yang mengambil wang negara untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah tidak salah kerana wang simpanan rakyat jelata di dalam akaun bank masing-masing tidak pernah diganggui pengerusi BN itu, sambil menegaskan bahawa tindakan Najib itu adalah tidak kena mengena dengan rakyat kerana itu adalah hal peribadinya.

Rakyat kini terpaksa menanggung beban hutang negara melalui kadar cukai pendapatan yang begitu tinggi dan pemotongan peruntukan kerajaan di samping perlaksanaan GST yang telah mengakibatkan kenaikan harga barangan secara mendadak menyebabkan kadar inflasi negara berada di tahap yang paling tinggi sekali baru-baru ini.

Apa pula jawapan para menteri kabinet BN mengenai kadar inflasi yang tinggi dan pendapat kasar setiap keluarga yang semakin berkurangan? “Jika ada rungutan tentang inflasi dan pendapatan yang semakin berkurangan, janganlah kita membeli barangan tersebut dan lakukan dua jenis pekerjaan bagi menampung kehidupan harian yang semakin terhimpit”.

Inilah jawapan penyelesaian yang telah dicadangkan oleh menteri-menteri kabinet BN sambil mendakwa mereka turut mempunyai “dua hingga tiga jenis pekerjaan” seperti seseorang ahli parlimen yang juga menteri dan merangkap pengerusi sesebuah badan berkanun dan sebagainya. Ini adalah merupakan jawapan dan cara seseorang menteri BN yang hanya bercakap sambil lewa sahaja tanpa mempedulikan masalah dan kerumitan yang dihadapi oleh rakyat jelata.

Penjelasan para menteri BN ini jelas membuktikan mereka ini bukan sahaja tidak peka dengan masalah rakyat jelata malah langsung tidak berminat untuk membantu rakyat jelata di dalam meringankan beban mereka, kerana para pemimpin Umno ini hanya berminat untuk memastikan kekayaan diri mereka serta kroni-kroni bertambah.

Apabila rakyat jelata mula menyuarakan ketidakpuashati mereka terhadap kerajaan BN di bawah Najib, para pemimpin BN atau Umno pula mengeluarkan ancaman penderhakaan negara dan agama jika sekiranya kerajaan BN terus dipersoal mengenai masalah dan ketidakprihatinan mereka terhadap rakyat.

Selain daripada itu, para pengkritik dan penegur yang sering mempersoalkan ketidakadilan kerajaan BN sering diancam pula dengan dakwaan bahawa mereka menghina pemimpin BN dan menghasut rakyat untuk memberontak terhadap raja dan negara. Kenapa pula kritikan dan persoalan boleh diputarbelitkan oleh BN untuk mendakwa dan memenjarakan rakyat jelata yang menegur ketidakseimbangan dasar-dasar dan amalan mereka? Adakah BN dan Umno ini kebal atau setaraf dengan raja-raja serta Tuhan atau Allah s.w.t. sehinggakan para pemimpinnya kebal dan tidak boleh dikritik, ditegur atau dipersoal?

Yang rakyat jelata cuba ketengahkan kepada umum adalah kelemahan sistem pentadbiran kerajaan BN yang banyak dibelenggui rasuah, salahguna kuasa dan ketidaktelusan di dalam pentadbiran mereka. Bagaimana segala masalah ini boleh pula dikaitkan dengan perbuatan menghina agama, bangsa, pemimpin ataupun penderhakaan kepada raja dan negara? Ini adalah amat jelas bahawa BN sedang menyalahgunakan kuasa mereka untuk mengekang suara dan kritikan rakyat jelata terhadap mereka.

Janganlah kita semua terkeliru dengan agenda-agenda BN yang menakut-nakutkan serta ancaman yang sering dilemparkan ini. BN dan Umno sedang mengelirukan rakyat dengan mendakwa bahawa apa yang rakyat sedang lakukan seperti mengkritik, menegur dan mempersoal adalah salah di sisi undang-undang, agama dan bangsa. Kesemua dakwaan tersebut adalah karut sama sekali. BN dan Umno kini jelas cuba membelakangkan dan seterusnya memansuhkan terus amalan demokrasi di dalam negara kita ini.

Adalah amat jelas sekali, 1MDB telah digunakan oleh pengerusi BN dan para pemimpin yang lain sebagai landasan untuk menggelapkan sebahagian besar perbendaharaan negara untuk kegunaan peribadi mereka. Pengubahan wang 1MDB secara haram di beberapa buah bank di seluruh dunia telahpun diketahui umum dan pihak berkuasa beberapa buah negara yang terlibat telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menegakkan keadilan demi rakyat Malaysia. Namun demikian, kerajaan BN masih tetap menafikan salahlaku mereka walaupun pendedahan di serata dunia telah membuktikan penglibatan mereka di dalam kecurian wang negara kita, malah kerajaan BN kini sedang mengunakan Akta Berita Palsu bagi mengekang segala maklumat berhubung dengan skandal 1MDB tersebut daripada rebaknya ke seluruh negara.

Tidak kurang pula, kerajaan BN juga mendakwa langkah-langkah beberapa kerajaan negara asing yang telah memulakan siasatan terhadap pengubahan wang haram 1MDB adalah suatu “komplot” atau “konspirasi” yang dilaksanakan oleh Israel atau Zionis untuk merosakkan kredibiliti dan menjatuhkan kerajaan “Islam” BN yang dipimpin oleh Umno.

Para pemimpin Umno mendakwa bahawa merekalah pejuang tunggal di dalam mempertahankan hak masyarakat Melayu dan parti-parti politik yang lain akan cuba memusnahkan hak dan agama mereka.

Jika Umno lah yang sering mempertahankan kedaulatan dan keistimewaan orang-orang Melayu, kenapa pula FELDA, MARA, NFC dan Tabung Haji diselembungi dengan skandal kehilangan berbilion-bilion ringgit? Kesemua badan-badan berkanun ini adalah dibawah pengawasan para pemimpin Umno itu sendiri. Bagaimana pula DAP ataupun PKR dapat mencapai segala keuntungan daripada FELDA, MARA, NFC ataupun Tabung Haji sedangkan kesemua badan-badan ini adalah di bawah genggaman Umno sejak daripada 1957 lagi.

Akibatnya, hak dan kedudukan orang-orang Melayu kini tergadai di bawah pengawasan Umno kerana kehilangan dan kerugian yang kian runcing. Jadi, adakah Umno itu masih dianggap sebagai pejuang dan pelindung masyarakat Melayu?

Hak dan kedudukan masyarakat Melayu kini sedang hilang satu persatu tanpa disedari di bawah Umno. Kesemya skandal ini berlaku kerana PENCURI yang sedang merompak hak dan kekayaan negara kita ini dengan jelas dan terang di mata umum dan mereka menggunakan isu perkauman dan agama untuk mempertahankan perbuatan keji mereka dengan sewenang-wenangnya.

Adakah PENCURI ini telah insaf? Jikalau beliau telah insaf, mustahil beliau akan menggunakan undang-undangnya untuk mengekang hak asasi kemanusiaan dan cuba memansuhkan satu demi satu amalan demokrasi negara ini. Malah, PENCURI kini sedang mengambil langkah-langkah perlu bagi MENCURI pilihanraya umum ke-14 kali ini agar beliau dapat terus berkuasa.

Pilihanraya umum ke-14 akan menjelang tidak lama lagi. Janganlah kita mmberi satu lagi peluang kepada PENCURI untuk MENCURI pilihanraya kali ini. KECURIAN yang dilakukan oleh beliau haruslah dihentikan serta-merta. Janganlah kita memberi peluang kepada PENCURI ini untuk memerintah negara ini sekali lagi.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork