Kenapa SPRM begitu mendendami pengkritik?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua persuruhjayanya baru-baru ini telah mengeluarkan amaran terhadap ketua menteri Pulau Pinang menuntut agar beliau memohon maaf di atas dakwaannya bahawa SPRM telah melalukan tangkapan yang tidak sah terhadap seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Setelah itu, ketua persuruhjaya SPRM turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengkritik ataupun mengecam agensi tersebut lagi atau berhadapan dengan tindakan dan tangkapan serta pendakwaan. Peruntukan manakah di bawah Akta SPRM 2009 yang membolehkan SPRM menangkap dan mendakwa orang yang mengkritik agensi tersebut?

Persoalannya adalah, kenapa perlu ketua persuruhjaya SPRM itu mengeluarkan kenyataan demi kenyataan seakan-akan mendendami para pengkritik agensi tersebut? Kami bukannya penyokong tegar ketua menteri Pulau Pinang itu, tetapi kami hairan kenapa SPRM perlu menghabiskan begitu banyak masa, tenaga dan sumber-sumber yang ada untuk memerangi para pengkritik yang sering mengecam tindakan SPRM yang dilihat berat sebelah oleh orang ramai? Kenapa SPRM tidak dapat menerima hakikat akan kelemahan yang masih dapat dilihat sehingga pada hari ini? Kenapa tidak menggunakan segala masa, tenaga dan sumber yang ada untuk memerangi amalan rasuah habis-habisan daripada peringkat atasan sehinggalah ke bawah bagi mendapat semula kepercayaan daripada orang ramai mengenai kredibiliti SPRM?

SPRM dan ketua persuruhjayanya perlu berhadapan dengan hakikat bahawa, setiap agensi kerajaan mempunyai kelemahan dan hadnya dari segi pengurusan, kuasa mahupun peranan dan akibat daripada itu akan senantiasa dikritik dan dikecam oleh orang ramai dari masa ke semasa. Oleh itu, SPRM tidak perlu menggunakan kaedah yang seolah-olah seperti “ketua samseng” dengan memberikan amaran kepada umum bahawa mereka yang mengkritik SPRM akan berhadapan dengan tindakan daripada agensi tersebut. Adakah tindakan tersebut merupakan cara untuk membuktikan kewibawaan mereka di hadapan umum? Adakah ancaman tindakan SPRM tersebut akan menakutkan orang ramai agar SPRM akan menjadi satu agensi yang dihormati ramai? Tidak, sebaliknya SPRM akan menjadi sebuah agensi yang paling digernui dan ditakuti ramai akibat daripada dasar kuku besi yang dilaksanakan oleh SPRM itu.

Jika SPRM adalah sebuah agensi yang digeruni dan ditakuti ramai, adakah SPRM akan menjadi sebuah agensi kerajaan yang boleh dipercayai dan dihormati? Sebaliknya tidak. SPRM akan dipenuhi dengan pelbagai persoalan mengenai kredibilitinya, ketelusannya yang meliputi kaedah penyiasatan dan pengurusannya. Lebih banyak persoalan akan timbul jika sekiranya SPRM ingin dilihat sebagai sedemikian.

Cuba kita bayangkan, adainya SPRM mempunyai senjata api dan pasukan khasnya sendiri (special forces), adakah SPRM akan menggunakan dua kemudahan tersebut untuk memerangi pengkritik dan bukannya memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semain berleluasa?

Ingin kami tegaskan, dengan ancaman yang dibuat melalui kenyataan ketua persuruhjaya SPRM tersebut, agensi pencegahan rasuah tersebut akan berhadapan dengan lebih ramai pengkritik yang akan mempersoalkan SPRM dengan lebih kerap. Jadi adakah SPRM akan bertindak dengan mengeluarkan tangkapan terhadap semua pengkritik tersebut?

Kami ingin menyeru agar SPRM tidak bersikap kebudak-budakan dan berlakukan kekerasan di dalam usahanya menangani kritikan daripada orang ramai. SPRM perlu tangani pelbagai kritikan dan kecaman daripada orang ramai dengan cara yang lebih professional bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap agensi tersebut.

Selain daripada itu, SPRM perlu sedar bahawa peranannya tidak sepatutnya dibayangkan dengan keinginan “membalas dendam”, sebaliknya perlu menumpukan sepenuh tenaga dan sumbernya untuk memerangi amalan rasuah yang semakin berleluasa di negara kita ini. Jika sekiranya rasuah yang semakin tidak terkawal ini tidak ditangani dengan segera, dibimbangi ianya akan membinasakan ekonomi negara kita dan seterusnya para pelabur asing hilang kepercayaan terhadap prestasi negara kita.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork