Bebaskan Parlimen Negara Kita Daripada Cengkaman Jabatan Perdana Menteri

Sehingga pada hari ini, ramai di antara kita masih belum menyedari kenapa dan bagaimana Umno dan parti-parti gabungannya di dalam Barisan Nasional (BN) masih dapat menguasai suasana dan pentadbiran Parlimen, baik di Dewan Rakyat (Dewan Perwakilan), mahupun di Dewan Negara (Senat).

Hakikatnya adalah kerana Parlimen adalah di bawah cengakaman Jabatan Perdana Menteri, di mana ianya mempunyai satu Bahagian khusus yang menguruskan segala hal-ehwal pengurusan, keputusan dan perjawatan di dalam Parlimen.

Seorang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman, dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala aspek yang berkaitan dengan Parlimen.

Kedua-dua Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat dan Dewan Negara, walaupun dipilih daripada kalangan ahli-ahli parlimen dan senator, namun kedua-dua mereka ini wajib bertanggungjawab melaporkan diri mereka kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman di dalam apajua aspek pentadbiran, prosiding dan keputusan di dalam kedua-dua Dewan tersebut.

Justeru daripada itu, adakah Parlimen di negara kita ini benar-benar bebas? Ianya sebenarnya tidak. Sepatutnya Parlimen adalah salah satu daripada tiga institusi utama negara yang bebas daripada satu sama lain, iaitu Eksekutif (Kerajaan), Perundangan (Parlimen) dan Kehakiman.

Akan tetapi, di Malaysia, kerajaan di Putrajaya sedang menguasai segala aspek pentadbiran parlimen yang sebenarnya perlu bebas daripada pengaruh mana-mana cabang eksekutif negara.

Ini adalah di antara sebab-sebab mengapa parti-parti pembangkang selalunya tidak dapat mengemukakan usul-usul mereka untuk diperbahaskan kerana ianya sering ditolak oleh Yang Dipertua Dewan, tidak ada jawatankuasa-jawatankuasa khusus untuk memantau pentadbiran, pencapaian dan belanjawan setiap kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Ahli-ahli parlimen Umno dan BN sering menggunakan seesi kedua-dua Dewan untuk merendah-rendahkan, memaki, mencaci dan menghina ahli-ahli parlimen daripada parti-parti pembangkang tanpa perlu bimbang yang tindakan tatatertib bakal menanti mereka ini.

Yang Dipertua Dewan yang wajib menerima arahan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri selalunya akan menolak sebarang usul, cadangan ataupun resolusi yang diketengahkan oleh ahli-ahli parlimen daripada parti-parti pembangkang dengan alasan, ianya “tidak melibatkan kepentingan negara”, “ianya sedang disiasat oleh pihak berkuasa”, “sedang dibicarakan di dalam mahkamah”, “tajuk yang diusulkan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi” dan bermacam-macam lagi karenah.

Perbuatan ini adalah untuk menutup segala bentuk perbuatan salahlaku, skandal, penyalahgunaan kuasa dan penggelapan wang yang berlaku di dalam kerajaan. Ini bermakna, apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan umum telah dirahsiakan ataupun dihadkan perbincangannya di dalam parlimen.

Apakah rakyat jelata perlu lakukan dengan sebaik-baiknya? Rakyat adalah penentu segala aspek negara melalui undi mereka di dalam setiap pilihanraya umum. Rakyat perlu sedar, jika sekiranya pemerintah seperti Umno dan BN masih dikekalkan majoriti mereka di dalam parlimen, mereka akan menggunakan segala-gala kuasa yang ada untuk menambahkan lagi kuasa mereka bagi mengekang segala pengaruh parti-parti pembangkang, menghapuskan sebarang kritikan dan kecaman terhadap kerajaan melalui perluasan kuasa kepolisan dan pemerhatian terhadap sentimen rakyat jelata.

Rakyat jelata perlulah menggunakan undi-undi mereka secara bersungguh-sungguh dengan memilih lebih ramai ahli-ahli parlimen daripada parti-parti pembangkang bagi mengekang kuasa dan pengaruh Umno dan BN daripada terus bermaharajalela, seterusnya memperluaskan lagi pemantauan parti-parti pembangkang terhadap segala kegiatan-kegiatan kerajaan bagi mengelak salahlaku dan penyalahgunaan kuasa daripada terus berleluasa, memberikan penekanan yang lebih menyeluruh terhadap pembaharuan di dalam sistem parlimen, seterusnya membebaskan Parlimen daripada cengkaman kuasa kerajaan.

Jika perlu, tukar terus kerajaan di dalam pilihanraya umum yang akan datang daripada asyik mengekalkan Umno dan BN di Putrajaya.

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork